18 Mac 2023, 18:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bengkel Falls and Frailty anjuran Special Interest Group (SIG) Geriatrik, Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) yang diadakan di Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaras dengan saranan kerajaan dalam memperkukuh agenda membela warga emas bagi menghadapi cabaran negara tua telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari ini diadakan untuk meningkatkan kemahiran dalam aspek penilaian risiko jatuh dalam kalangan warga emas, memberikan pendedahan beberapa faktor dan risiko jatuh serta rawatan dan senaman yang berkesan bagi golongan pesakit yang berusia atau warga emas.

Bengkel Falls and Frailty anjuran Special Interest Group (SIG) Geriatrik, Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) yang diadakan di Klinik Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Bengkel ini dilaksanakan sebagai satu daripada usaha murni yang dilakukan oleh MPA untuk membawa nama ahli fisioterapi ke peringkat antarabangsa sekali gus melahirkan ahli fisioterapi yang berkualiti selari dengan keperluan pada masa ini,” ujar Pengarah Bengkel Falls and Frailty, YBrs. Dr Azliyana Azizan ketika berucap dalam bengkel berkenaan.

Kemerosotan fungsi fizikal dan jatuh dalam kalangan warga emas menjadi satu masalah yang harus ditangani oleh semua pihak. Peranan ahli fisioterapi amat penting dalam mencegah, merawat dan memberikan nilai kesedaran berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh golongan warga emas.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan UKM, YBrs. Profesor Dr. Devinder Kaur Rajt Singh menyatakan bahawa bengkel yang diadakan ini dapat menarik minat golongan fisioterapi muda untuk mempelajari sesuatu yang baharu dan mempunyai kualiti maklumat yang baik agar dapat digunakan dalam perawatan terhadap pesakit warga emas.

Ahli fisioterapi dan akademik di King’s College London, United Kingdom, YBrs. Dr. Julie Whitney, merangkap penceramah bagi bengkel ini, mempunyai kepakaran dalam bidang geriatrik dan rehabilitasi.

Bengkel yang disertai oleh 32 orang ahli fisioterapi dari pelbagai institusi kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia itu menerapkan nilai prinsip dan kajian dalam penilaian pesakit, punca warga emas jatuh, kerapuhan tulang (osteoporosis), penyakit kesihatan mental (demensia) serta praktikal dalam aspek senaman.

Ahli jawatankuasa MPA dan peserta yang terlibat dalam Bengkel Falls and Frailty di Klinik Fisioterapi, FSK, UKM pada hari ini.

“Saya amat berpuas hati dengan ilmu berlandaskan kajian dan beberapa kelas praktikal yang dijalankan. Pelaksanaan aktiviti dalam bengkel ini dapat memberikan keyakinan kepada diri saya untuk merawat pesakit dengan sebaik-baiknya” ujar salah seorang peserta dalam bengkel tersebut.

Selain itu, penganjuran bengkel ini telah membuka mata masyarakat akan kekurangan pusat atau kelompok kesihatan, khususnya yang memberikan penekanan kepada warga emas. Peningkatan usia warga emas seharusnya diiringi dengan kualiti kehidupan yang baik.

Sesi praktikal yang dijalankan semasa bengkel Falls and Frailty berlangsung.

“Saya baru sedar akan kepentingan aspek penilaian yang berkesan dalam memberikan teknik rawatan yang menyeluruh dan saya bercita-cita ingin membuka pusat rawatan fisioterapi, khususnya untuk kemudahan warga emas di Malaysia,” kata seorang lagi peserta yang menyertai bengkel ini.

Bengkel ini telah berjaya mencapai objektifnya, terutamanya kepada semua ahli fisioterapi di Malaysia yang berminat dalam menceburi bidang penuaan sihat. Hal ini membuktikan bahawa penuaan sihat memainkan peranan yang sangat penting melalui kesedaran dan peningkatan ilmu pengetahuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.