6 Mac 2023, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Psoriasis ialah penyakit kulit yang tidak berjangkit akibat gangguan sistem imun pada badan yang dialami oleh lebih daripada 60 juta populasi dunia. Menurut laporan tahunan yang dikeluarkan oleh Persatuan Dermatologi Malaysia, sebanyak 21 770 individu dewasa dilaporkan menghidap penyakit tersebut.

Psoriasis plak (psoriasis vulgaris) ialah psoriasis yang paling umum dengan gejala tompok merah dan bersisik putih dengan pelbagai saiz dan ketebalan di kulit kepala, lutut, siku dan badan yang boleh menyebabkan kegatalan dan kemerahan. Gejala ini mampu memberikan impak kepada kualiti hidup pesakit kerana menganggu kehidupan seharian dan prestasi di tempat kerja. Selain itu, penghidap pesakit ini juga terpaksa menampung kos perbelanjaan rawatan yang tinggi.

Walaupun penyebab penyakit ini tidak dapat dikenal pasti, penyakit lain seperti kencing manis, hiperlipidemia, obesiti, tekanan darah tinggi dan stres dikaitkan dengan faktor risiko berlakunya psoriasis. Amalan permakanan yang tidak sihat seperti pengambilan makanan yang mempunyai lemak yang tinggi dan rendah serat di samping pengambilan alkohol boleh mempengaruhi keterukan simptom psoriasis.

Selain itu, gaya hidup yang tidak aktif dan merokok boleh memburukkan lagi psoriasis.

Kajian terkini menunjukkan bahawa keterukan simptom psoriasis dan kualiti hidup dapat dipertingkatkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Bagi penghidap psoriasis, menjaga pemakanan boleh membantu dalam mengurangkan gejala penyakit tersebut.

 

 

Antara saranan pemakanan bagi mengurangkan keradangan dalam kalangan pesakit psoriasis termasuklah:

Diet Rendah Lemak dan Kalori

Diet rendah kalori, yakni kurang daripada 1000 kilokalori (kcal) per hari bukan hanya dapat mengurangkan berat, malah memberikan manfaat kepada pesakit psoriasis. Namun demikian, diet rendah kalori perlulah diawasi oleh pegawai dietetik kerana sebahagian besar penghidap penyakit ini mempunyai penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan intervensi diet secara individu.

Diet Mediterranean

Amalan pemakanan yang seimbang dapat mengurangkan keradangan sistemik pada badan. Diet Mediterranean yang kaya dengan nutrien antiradang menekankan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang, ikan, minyak zaitun, bijirin penuh dan legum.

Buah-buahan dan sayur-sayuran segar juga mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi seperti antosianin. Antaranya termasuklah brokoli, bayam, bunga kubis, kubis daun, strawberi, anggur, rasberi, pisang dan oren. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sekurang-kurangnya lima hidangan setiap hari disyorkan untuk memenuhi keperluan nutrisi dalam badan.

Selain itu, makanan yang mengandungi asid lemak monotaktepu seperti kekacang dan minyak zaitun serta asid lemak politaktepu, terutamanya omega-3 yang tinggi dalam ikan laut seperti ikan sardin, tuna, makerel dan salmon juga digalakkan. Kajian menunjukkan bahawa pengamalan diet Mediterranean juga dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Diet Mediterranean mempunyai kesan antiradang dan antioksidan.

Diet Bebas Gluten

Penghidap psoriasis mempunyai risiko tiga kali lebih tinggi untuk mendapat penyakit seliak yang juga merupakan penyakit gangguan autoimun. Kajian menunjukkan bahawa dengan mengelakkan makanan yang mempunyai kandungan gluten yang tinggi seperti barli, oat, tepung gandum dan rai dapat mengurangkan tahap keradangan psoriasis.

Namun begitu, diagnosis pemakanan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum mengamalkan diet ini. Diet jenis ini juga harus dipantau oleh pegawai dietetik bagi mengelakkan kekurangan zat makanan.

Makanan Tambahan

Pengambilan makanan tambahan seperti vitamin D, terutamanya vitamin D2 dan probiotik dapat mengurangkan dan membantu mengawal penyakit psoriasis. Walau bagaimanapun, pesakit perlulah berunding dengan doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Secara umumnya, walaupun tabiat pemakanan dapat mengurangkan keterukan gejala psoriasis, namun amalan dan gaya hidup yang sihat juga memainkan peranan yang penting dalam mengawal penyakit psoriasis. Mengurangkan pengambilan alkohol, menghentikan tabiat merokok dan meningkatkan aktiviti fizikal juga bermanfaat membantu penghidap psoriasis.

Amalan gaya hidup sihat yang boleh dilakukan oleh pesakit psoriasis.

 

Aktiviti Fizikal untuk Menurunkan Berat Badan.

Penurunan berat badan boleh mengurangkan gejala psoriasis pada kulit. Yayasan Psoriasis Kebangsaan mengesyorkan penghidap penyakit psoriasis perlu melakukan aktiviti pada keamatan sederhana seperti berjalan pantas dan latihan kekuatan selama 30 minit, sekurang kurangnya lima kali seminggu.

Aktiviti senaman seperti berenang dan berjoging dengan menggunakan pakaian yang sesuai disarankan untuk mengelakkan iritasi pada kulit dan meminimumkan ketidakselesaan pesakit untuk bersenam.

Mengelakkan Pengambilan Alkohol dan Merokok

Gejala psoriasis boleh meningkat dengan pengambilan alkohol yang berlebihan kerana tindakan tersebut mengurangkan kesan ubat dan meningkatkan keradangan. Selain itu, pesakit boleh mengalami dehidrasi dan kekeringan kulit. Oleh sebab itu, pengurangan pengambilan minuman beralkohol amatlah digalakkan.

Selain itu, kandungan nikotin di dalam asap rokok boleh memburukkan lagi gejala psoriasis. Oleh hal yang demikian, pesakit disarankan untuk berhenti merokok.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.