5 Mac 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kanser kolorektal yang juga dikenali sebagai kanser usus ialah barah yang bermula di bahagian usus besar (kolon) atau rektum. Kanser usus biasanya bermula dengan pertumbuhan tisu abnormal atau ketumbuhan (polip) pada dinding usus dan boleh menjadi kanser jika tidak dikesan dan dirawat awal.

Kanser usus ialah satu daripada jenis kanser yang biasa didiagnosis dalam kalangan masyarakat. Di Malaysia, kanser kolorektal ialah kanser kedua yang paling kerap dikesan untuk kedua-dua jantina, iaitu lelaki dan perempuan. kanser paru-paru ialah kanser yang paling kerap dikesan bagi lelaki, manakala kanser payudara ialah kanser yang paling kerap dikesan dalam kalangan wanita.

Di samping itu, kanser usus turut merekodkan kadar kematian yang tinggi. Kanser jenis ini merupakan kanser ketiga dan kedua tertinggi yang menyebabkan kematian dalam kalangan pesakit kanser.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2020, anggaran kadar baharu bagi kanser usus ialah 1 931 590 kes, manakala kadar kematian pula direkodkan sebanyak 916 000 kes. Kes kematian yang tinggi ini mungkin berkaitan dengan fasa kanser tersebut dikesan. Jika majoriti pesakit yang menghidapi kanser kolon ini dikesan pada tahap lewat, maka kadar kemandirian mereka adalah rendah.

Malaysian National Cancer Registry Report (MNCR) 2012-2016 melaporkan lebih 70 peratus kanser kolorektal dikesan berada pada tahap tiga dan empat, iaitu tahap akhir yang sukar untuk dirawat dan dipulihkan. Tambahan pula, kes kanser usus yang lewat dikesan ini menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 58.7 peratus pada tahun 2007 hingga tahun 2011 kepada 63.7 peratus pada tahun 2012 hingga tahun 2016.

Selain itu, disebabkan kebanyakan kes kanser usus dihidapi oleh individu yang tidak menunjukkan gejala awal, maka saringan awal adalah penting bagi pengesanan dan rawatan awal bagi kanser usus. Pengesanan awal kanser usus juga dapat meningkatkan kadar kemandirian dan kualiti hidup pesakit.

Kesedaran tentang kanser memainkan peranan penting dalam pengesanan awal dan membolehkan mereka mendapatkan rawatan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika semakin ramai yang memahami risiko kanser usus dan mengambil langkah tertentu untuk mengurangkan risiko ini seperti mengamalkan pemakanan sihat dan mengadakan saringan kanser secara berkala, maka semakin tinggi peluang untuk mengesan kanser usus pada peringkat awal.

Dalam konteks rakyat di Malaysia, kesedaran terhadap faktor risiko dan gejala bagi kanser kolon masih lagi rendah. Jika diteliti dengan lebih mendalam, kita akan dapati bahawa kesedaran penduduk bandar mengenai hal ini adalah lebih tinggi berbanding dengan penduduk di luar atau pinggir bandar. Hal ini berpunca daripada kemudahan kesihatan dan kempen kesedaran yang lebih mudah dicapai di kawasan bandar. Oleh sebab itu, pendedahan tentang kanser usus perlu dipergiatkan, terutamanya di luar bandar dan kawasan pedalaman. Program saringan kanser secara besar-besaran juga harus dijalankan, sama ada oleh pihak kerajaan mahupun organisasi swasta.

Selain itu, ahli keluarga terdekat yang mempunyai latar belakang pendidikan kesihatan juga sangat memainkan peranan dalam memberikan kesedaran dan mempengaruhi keputusan seseorang seperti membuat pilihan untuk menjalani saringan kanser usus. Dalam hal ini, ahli keluarga tersebut boleh memberikan sokongan emosi dan moral, memberikan informasi tentang pentingnya menjalani ujian saringan dan cara untuk melakukannya. Ahli keluarga yang mempunyai ilmu kesihatan ini juga boleh memberikan nasihat tentang gaya hidup yang sihat seperti pemakanan yang seimbang dan senaman yang dapat mengurangkan risiko kanser usus.

Menurut Clinical Practice Guidelines: Management of Colorectal Carcinoma versi tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ujian saringan seperti ujian immunochemical fecal occult blood (iFOBT) atau kolonoskopi seharusnya ditawarkan kepada orang ramai yang berusia antara 50 tahun hingga 75 tahun.

Jika saringan iFOBT adalah negatif, orang ramai disarankan untuk mengulangi ujian tersebut pada tahun berikutnya. Saringan iFOBT hanya melibatkan kos sebanyak RM20 untuk satu ujian. Ujian tersebut boleh dilakukan di klinik kesihatan kerajaan dan Pusat Saringan Kesihatan Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI).

Sementara itu, ujian kolonoskopi disarankan untuk dilakukan pada setiap 5 tahun jika keputusannya ujian adalah negatif.

Tanda dan ujian saringan bagiĀ  penyakit kanser usus.

Terdapat beberapa faktor risiko bagi penyakit kanser usus. Antaranya termasuklah faktor usia. Menurut statistik, sebanyak 80 peratus daripada golongan masyarakat yang berusia 45 tahun ke atas cenderung untuk menghidap kanser usus. Walau bagaimanapun, data ini tidak menafikan golongan muda yang boleh menghadapi risiko kanser usus sekiranya gejala kanser usus wujud pada individu terbabit.

Selain itu, faktor genetik juga menjadi satu daripada faktor risiko bagi penyakit kanser usus. Hal ini bermaksud jika dalam rekod kesihatan keluarga, terdapat individu yang menghidap kanser atau kanser usus, maka risiko untuk seseorang itu untuk menghidap kanser usus adalah lebih tinggi berbanding dengan individu yang tidak mempunyai rekod kanser dalam kalangan ahli keluarganya.

Kanser usus juga berkait rapat dengan corak pemakanan. Dalam konteks ini, pengambilan serat yang tidak mencukupi serta pengambilan daging merah seperti daging lembu dan kambing serta makanan pemprosesan seperti sosej dan patti burger yang berlebihan akan meningkatkan risiko terhadap pencetusan kanser usus.

Corak pemakanan rakyat Malaysia dilaporkan agak tidak sihat. Fakta ini dibuktikan dengan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dilakukan setiap empat tahun sekali. Dalam tinjauan ini, hampir 95 peratus rakyat Malaysia tidak mengambil sayur-sayuran seperti yang disarankan oleh KKM.

Bagi meningkatkan kesedaran dan kadar saringan kanser usus dalam kalangan masyarakat, UMBI yang merupakan antara Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) Kementerian Pengajian Tinggi telah menjalankan beberapa projek komuniti tentang kesedaran dan penyaringan awal bagi kanser kolorektal. Kumpulan sasaran projek ini terdiri daripada mereka yang rentan terhadap kanser seperti individu yang mempunyai sejarah keluarga bagi kanser usus atau yang tidak mampu membiayai kos saringan.

UMBI ialah satu-satunya Pusat HiCoE yang berfokuskan kajian biopenanda kanser bagi pengesanan awal dan rawatan jitu kanser. Beberapa siri kempen kesedaran dan saringan awal telah dijalankan secara percuma di projek perumahan rakyat (PPR) di Desa Tun Razak, Flat Sri Kota dan Flat Sri Sabah. Peserta yang berkeputusan positif dalam saringan ini turut diberikan rawatan susulan kolonoskopi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) secara percuma.

Kempen kesedaran dan saringan kanser usus dalam komuniti.

Bulan kesedaran kanser kolorektal disambut pada Mac setiap tahun. Sempena bulan kesedaran ini, orang ramai disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah kanser kolorektal. Orang ramai juga digalakkan untuk menjalani ujian saringan secara berkala jika berusia antara 50 tahun hingga 75 tahun, lebih-lebih lagi sekiranya mempunyai gejala awal kanser kolorektal.

Jangan berlengah untuk melakukan saringan awal, menjalani pemeriksaan lanjut dan mendapatkan nasihat doktor sekiranya anda berisiko tinggi untuk menghidap kanser kolorektal. Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati.

_______________________________________________________________

Aaina Suraya binti Ahmad ialah Pembantu Penyelidik di UMBI, UKM.

Goh Ying Xian ialah Pegawai Penyelidik di UMBI, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.