Oleh Lutfi Zahid
11 Februari 2023, 18:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar telah mengharumkan nama negara kerana berjaya dipilih oleh ‘The Royal College of Physicians Ireland (RCPI)’ sebagai Pusat Peperiksaan Antarabangsa Peringkat Pascasiswazah dalam Perubatan Dalaman yang pertama di utara Malaysia. Sijil pengiktirafan sebagai pusat pelaksanaan peperiksaan tersebut telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil oleh wakil RPCI, iaitu Dr. Geoff Chadwick selaku Ketua Pemeriksa Antarabangsa dan Sinead Freeeman, Pengurus Peperiksaan Antarabangsa dalam satu majlis yang diadakan di Galeri DiRaja Arau.

Menurut wakil bagi Asia Tenggara merangkap Penasihat RCPI negara, Datuk Seri Prof.  Dr. Paras Doshi, berikutan pengiktirafan yang istimewa ini HTF Kangar kini sudah layak diiktiraf sebagai salah sebuah tempat khas, iaitu Pusat Peperiksaan Antarabangsa di dunia selain di negara Timur Tengah. Jelas beliau lagi;

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda sedang mendengar ucapan daripada Datuk Seri Prof. Dr. Paras Doshi berkenaan pengiktirafan ini.

Peperiksaan antarabangsa yang bermutu tinggi ini merupakan langkah yang terakhir sebelum seseorang calon itu akan bergelar pakar perubatan dan piawaian sebegini amat diperlukan bagi sesebuah pusat tertentu untuk melaksanakan peperiksaan ini.  Sekali gus perkara ini membuktikan pengendalian kualiti para pesakit dan organisasi Jabatan Perubatan di HTF menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Pengiktirafan ini amatlah sukar diperolehi disebabkan tahap piawaiannya yang sangat ketat.

Kejayaan ini merupakan bukti yang jelas bahawa di bawah teraju Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda, keunggulan boleh dicapai di Perlis. Pada pandangan RCPI, komitmen dan keyakinan yang dibuktikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan Hospital Tuanku Fauziah di bawah naungan baginda berdua ialah faktor yang penting dalam penganugerahan kehormatan tersebut.

Tuanku Raja Muda Perlis bertukar pandangan bersama-sama wakil RCPI, Dr. Geoff Chadwick.

Perlis akan menjadi tumpuan negara serta di arena antarabangsa apabila semua calon peperiksaan  dalam dan luar negara serta para pemeriksa yang terkenal akan datang ke HTF.

Persediaan dan pelbagai aktiviti serta perkongsian yang akan dilaksanakan oleh pihak HTF dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis bagi menjadikan negeri ini sebagai hab  dan seterusnya mengangkat sektor kesihatan ke peringkat yang lebih tinggi sedang dipergiat semaksimum mungkin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.