22 Januari 2023, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peningkatan jumlah pesakit pada setiap hari dan kekurangan tenaga kerja serta fasiliti telah mempengaruhi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan. Situasi ini perlu ditangani secara menyeluruh dengan merangka penyelesaian untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang bersama-sama pemegang taruh untuk kesejahteraan rakyat dan sektor kesihatan negara.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam kenyataan medianya hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif melalui Program Perubatan, Program Kesihatan Awam dan Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal di bawah Timbalan Ketua Pengarah masing-masing untuk menyemak dan menganalisis data di hospital dan klinik kesihatan. Tindakan ini bertujuan untuk melihat keberkesanan pelaksanaan inisiatif seperti pelanjutan waktu bekerja di fasiliti tertentu.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa usaha untuk memperkasakan lean healthcare system sedang dipertingkatkan, terutamanya di hospital yang berhadapan dengan masalah kesesakan di Jabatan Kecemasan.

Pelaksanaan short stay ward (wad jangka masa pendek) bagi hospital yang mempunyai ruang telah dilaksanakan di beberapa buah hospital. Kriteria wad ini perlu ditambah baik bagi mengelakkan pesakit menunggu terlalu lama, khususnya di zon kuning. Sistem pengurusan katil pesakit juga terus diperkemas supaya penggunaan katil di hospital dapat dikawal selia dan diuruskan dengan baik.

Tambah beliau, KKM akan bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan isu ini dalam jangka masa sederhana dan panjang. Usaha untuk mendapatkan lebih banyak tenaga kerja juga akan terus dilaksanakan.

Selain itu, bagi memastikan isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dapat ditangani dengan berkesan, KKM akan terus melihat model kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan dan sektor swasta yang semestinya memerlukan dana yang khusus.

Jelas beliau lagi, pelbagai solusi dan intervensi digital dalam perkhidmatan kesihatan telah diperkenalkan di negara lain. Oleh yang demikian, Malaysia perlu menyokong aspirasi ini agar perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien. KKM akan terus komited dalam menaik taraf sistem teknologi maklumat dan komunikasi sedia ada kepada sistem digital yang berpotensi membantu mengatasi masalah yang wujud.

“KKM memahami bahawa untuk membina sebuah sistem kesihatan yang kukuh dan lestari bukan usaha bersendirian. Hal ini dikatakan demikian kerana kesihatan adalah milik semua sekali gus menuntut kebersamaan kita dalam usaha ini. Pembangunan Kertas Putih Kesihatan akan merangkumi kesemua perkara ini dan dapat menjana perubahan makro dan mikro dalam mereformasikan sektor kesihatan negara,” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.