20 Januari 2023, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kes harian COVID-19 di Malaysia masih kekal di bawah 500 kes sejak pembukaan sempadan negara Republik Rakyat China (RRC) pada 8 Januari 2023 lalu.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam kenyataan medianya hari ini, hanya seorang daripada 28 705 orang pengembara dari RRC yang tiba di Malaysia dikesan mengalami demam semasa saringan COVID-19 dijalankan. Namun begitu, ujian RTK-Ag yang dilakukan terhadap pengembara tersebut adalah negatif. Setakat ini, tiada pengembara dari RRC yang dikesan positif COVID-19 di pintu masuk antarabangsa negara.

Sejak kebelakangan ini, pengambilan dos penggalak kedua di fasiliti kesihatan di seluruh negara berlaku peningkatan. Berbanding pada 1 Januari 2023, pengambilan dos penggalak pertama telah meningkat daripada 49.8 peratus kepada 49.9 peratus. Bagi dos penggalak kedua pula, berlaku peningkatan kepada 2.2 peratus berbanding dengan 1.9 peratus sebelum ini.

Berdasarkan rekod, pengambilan dos penggalak kedua di Sarawak juga telah meningkat kepada 76 369 dos pada 17 Januari 2023 berbanding dengan jumlah dos sebanyak 56 462 pada 1 Januari 2023 lalu. Hal ini bermakna, jumlah pengambilan dos penggalak kedua di negeri ini telah bertambah 20 kali ganda, yakni sebanyak 2085 dos sehari berbanding 101 dos pada 31 Disember 2022.

Perkembangan jangkitan COVID-19 di dalam negara dan di luar negara akan terus dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan kerjasama dengan negara ASEAN serta RRC. Langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya juga akan dilaksanakan secara berterusan.

Individu yang belum menerima dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin tersebut bagi melindungi diri dan orang tersayang, terutamanya menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.