Oleh Firdaus Mul
19 Januari 2023, 20:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gaya hidup sihat merupakan tuntutan kehidupan seorang manusia yang dipraktikkan bukan sekadar untuk menjamin kecergasan badan, malah menjamin kecerdasan akal fikiran seseorang. Menjaga kesihatan jantung adalah satu daripada corak pengamalan gaya hidup sihat.

Ketua Unit dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBhg. Profesor Dr. Imran Zainal Abidin.

Demikian kupasan daripada Ketua Unit dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi, Jabatan Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya, YBhg. Profesor Dr. Imran Zainal Abidin ketika menyentuh perihal kesihatan jantung dalam sesi temu bual anjuran Radio Televisyen Malaysia, semalam. Beliau membuka lembaran perkongsiannya dengan menyatakan hubung kait antara tekanan dengan kesihatan jantung.

Dalam sesi temu bual itu, beliau menyatakan bahawa kesihatan mental boleh mempengaruhi kesihatan jantung dan berpaksi kepada pengawalan tekanan darah. Apabila seseorang itu mengalami tekanan yang berlebihan dan berterusan akan menyebabkan peningkatan tekanan darah.

Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan bahawa permasalahan kesihatan yang melibatkan tekanan darah adalah hal yang tidak boleh dipandang ringan. Hal ini demikian kerana faktor utama serangan jantung adalah disebabkan oleh tekanan darah.

Menurutnya lagi, keadaan yang mengundang tekanan dalam diri seseorang adalah apabila seseorang itu tertekan dan banyak berfikir serta dimarahi ataupun memarahi orang lain sekali gus menyebabkan hormon adrenalina di dalam badan meningkat. Oleh sebab itu, apabila seseorang itu sering tertekan, maka hormon adrenalinanya sentiasa tinggi dan mengakibatkan jantungnya berdenyut dengan lebih laju, salur darahnya menjadi lebih sempit dan tekanan darahnya lebih tinggi daripada biasa.

Beliau juga mengakui bahawa mengawal tekanan adalah suatu perkara yang sukar, terutamanya tekanan yang melibatkan kewangan. Walau bagaimanapun, seseorang itu sangat digalakkan untuk berusaha mengawal tekanan yang dihadapi dengan sebaik-baiknya.

Jelas beliau, sakit dada atau rasa tekanan di dada, terutamanya di bahagian tengah tulang dada adalah satu daripada simptom serangan jantung. Rasa sakit di dada biasanya berlaku serentak dengan keadaan emosi yang terganggu.

Pesakit yang telah dikenal pasti menghidap penyakit jantung seharusnya mempunyai bekalan ubat yang mencukupi, manakala bagi individu yang baru memiliki simptom serangan jantung dinasihatkan agar segera ke klinik atau pusat kesihatan yang berdekatan.

Kebanyakan individu yang berumur di bawah 40 tahun dan mengalami sakit jantung adalah disebabkan oleh tekanan yang tidak terkawal. Apabila tertekan, mereka akan mencari jalan untuk mengurangkan tekanan tersebut termasuklah melakukan sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan seperti merokok. Tindakan ini akan menyebabkan risiko tambahan seperti meningkatkan tekanan darah.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut, beliau menyarankan agar setiap individu berusaha untuk mengawal atau mengurus tekanan dengan baik. Beliau juga menegaskan bahawa penerapan gaya hidup sihat fizikal dan mental seharusnya menjadi keutamaan setiap individu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.