19 Januari 2023, 09:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Projek rintis pembayaran tanpa tunai, Cashless@PEDi telah dilancarkan di 28 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) terpilih di seluruh negara oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet).

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh MCMC, projek rintis ini bertujuan untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan masyarakat luar bandar melalui pameran dan aktiviti yang bakal diadakan melalui PEDi.

Projek dengan kerjasama PayNet yang merupakan pengendali rangkaian pembayaran runcit kebangsaan dan perkongsian infrastruktur berpusat untuk pasaran kewangan Malaysia ini adalah selaras dengan matlamat mempertingkatkan tahap literasi pembayaran digital di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

Kajian cerapan pembayaran digital PayNet 2022 (PayNet Digital Payments Insights Study 2022) mendapati sebanyak 78 peratus rakyat di negara ini masih cenderung menggunakan pembayaran tunai pada tahun 2021, yakni kurang 11 peratus berbanding pada tahun 2020. Namun begitu, trend penggunaan pembayaran tunai kembali meningkat pada tahun 2022, terutamanya di kawasan luar bandar.

Susulan daripada projek rintis ini yang bermula di PEDi PPR Sri Pantai dan PEDi PA Seri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Disember lalu, penduduk setempat diberikan pendedahan dengan maklumat dan kelebihan kaedah pembayaran tanpa tunai serta berpeluang untuk menikmati pengalaman berbelanja tanpa tunai melalui pelbagai kaedah e-pembayaran yang dikendalikan oleh PayNet seperti kad debit (MyDebit), JomPay dan DuitNow QR.

Untuk makluman, kempen Cashless@PEDi diteruskan lagi di PEDi Taman Kelisa dan PEDi Felda Soeharto, Selangor dan diikuti di beberapa PEDi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada bulan ini. Sebelum program ini diperluaskan lagi di PEDi lain di seluruh negara, MCMC dan PayNet akan mengkaji keberkesanan projek rintis yang sedang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.