17 Januari 2023, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Semua wanita berisiko untuk mendapat kanser serviks, namun bergantung pada keadaan. Penyebab utama kanser ini ialah virus melalui jangkitan papilomavirus manusia (HPV). Sebanyak 90 peratus wanita yang terdedah kepada hubungan seksual adalah berisiko tinggi untuk mendapat kanser serviks.

“Kanser serviks ialah kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pada setiap tahun, didapati lebih kurang 800 kes kanser serviks telah dilaporkan,” ujar Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), YBrs. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Yusof ketika sesi temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, semalam.

Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), YBrs. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Yusof ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Beliau memaklumkan bahawa saringan utama untuk menangani kanser serviks adalah dengan melakukan ujian pap smear yang perlu dilakukan oleh ahli profesional seperti doktor atau jururawat dengan menggunakan peralatan khas.

Namun begitu, sejak tahun 2019, terdapat inisiatif baharu bagi menggantikan ujian pap smear, iaitu ujian HPV DNA. Wanita yang melakukan ujian HPV DNA perlu membuat persampelan diri (self-sampling). Para wanita dinasihatkan untuk membuat ujian ini di klinik bagi membolehkan doktor atau jururawat dapat menerangkan cara penggunaan alat ujian tersebut dengan lebih jelas.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa syarat untuk seseorang itu melakukan ujian HPV DNA adalah sama seperti syarat sebelum melakukan ujian pap smear, iaitu tidak melakukan ujian ini ketika kedatangan haid. Selain itu, elakkan melakukan hubungan intim bersama-sama pasangan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum melakukan ujian HPV DNA bagi mengelakkan keputusan yang diperoleh tidak tepat.

“Apabila melakukan ujian HPV DNA, keputusannya dilihat berdasarkan jenis HPV tersebut. Untuk makluman, HPV mempunyai lebih daripada 100 jenis. Walau bagaimanapun, punca utama yang mengakibatkan kanser serviks adalah disebabkan oleh 14 jenis HPV yang menjadi penyumbang kepada 90 peratus terjadinya kanser serviks,” terangnya lagi.

Oleh yang demikian, golongan wanita dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin HPV di klinik atau di LPPKN. Pihak LPPKN juga pernah melakukan program pemberian vaksin HPV, begitu juga dengan KKM yang sedang giat menjalankan program berkaitan dengan kanser serviks.

Vaksin HPV boleh diambil sekali dalam seumur hidup, misalnya wanita itu boleh mengambilnya sebelum melangsungkan perkahwinan. Dos bagi vaksin ini pula bergantung pada jenis vaksin HPV yang diambil.

Menurut beliau lagi, wanita yang telah membuat saringan biasanya tidak mengalami apa-apa simptom. Antara simptom kanser serviks termasuklah berlakunya pendarahan tanpa henti pada masa yang tidak sepatutnya, berasa sakit ketika melakukan hubungan intim dengan pasangan dan wanita yang telah menopaus mengalami pendarahan.

Virus HPV boleh hilang dalam tempoh satu tahun hingga dua tahun, namun terdapat juga virus ini yang tidak boleh hilang dan mengakibatkan berlakunya kanser serviks. Oleh sebab itu, dengan adanya ujian HPV DNA,  virus tersebut boleh dikesan 10 tahun lebih awal.

Beliau juga berkongsikan maklumat bahawa sebanyak 70 ribu wanita yang telah disaring dalam program kesedaran kanser serviks yang dianjurkan oleh LPPKN setakat ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima ribu wanita telah positif HPV DNA dan selebihnya berada pada tahap prakanser dan menghidap kanser serviks. Wanita yang berada pada tahap prakanser akan dirujuk kepada pakar untuk membuat rawatan yang selanjutnya dan peluang untuk pulih adalah tinggi. Oleh sebab inilah pentingnya keperluan membuat saringan awal bagi kanser serviks.

Untuk makluman, sebanyak 49 buah Klinik Nur Sejahtera LPPKN di seluruh Malaysia. Pelbagai program kesedaran berkaitan dengan kanser serviks juga dianjurkan oleh LPPKN sepanjang Januari 2023. Oleh yang demikian, para wanita digalakkan untuk berjumpa terus dengan doktor di klinik yang berhampiran bagi mendapatkan maklumat tentang kanser serviks.

Pada masa yang sama, LPPKN juga mengadakan program untuk mendekati golongan wanita yang sukar untuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan sebagainya. Susulan daripada itu, LPPKN membuat program di pusat beli-belah, di kawasan kampung atau di dewan di kawasan tertentu supaya dapat mencapai sasaran yang sebenar bagi mengenal pasti pesakit kanser serviks.

Bulan Januari yang merupakan bulan kesedaran kanser serviks diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada golongan wanita untuk membuat saringan awal kanser serviks. Jika saringan awal ini dilakukan, peratusan kes kanser serviks dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan peluang untuk menghapuskan jangkitan kanser serviks di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.