13 Januari 2023, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan Program Tarif Elektrik Hijau atau Green Electricity Tariff (GET) yang diperkenalkan pada tahun 2022 akan diteruskan pada tahun ini. Susulan daripada peningkatan kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) serta permintaan yang menggalakkan daripada pengguna elektrik, penawaran kuota GET bagi tahun 2023 adalah lebih tinggi, iaitu hingga 6600 GWj berbanding dengan 4500 GWj pada tahun lepas.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan medianya, kuota GET tersebut ditawarkan pada kadar tarif premium sedia ada sebanyak 3.7 sen/kWj.

Menerusi program GET ini, pengguna yang mahu mengurangkan pembebasan gas rumah kaca boleh melanggan bekalan elektrik yang dijana daripada sumber TBB. Pelanggan akan dibekalkan dengan bekalan elektrik yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi. Mereka juga akan menerima sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah daripada TBB melalui sijil Malaysia Renewable Energy Certificates (mREC) yang berdaftar dengan badan persijilan antarabangsa.

Bermula Januari 2023 hingga Jun 2023, kerajaan mengekalkan ciri utama program GET termasuklah pemberian insentif pengecualian caj Imbalance Cost Pass Through (ICPT). Pada masa yang sama, semakan semula insentif ini bagi tempoh enam bulan berikutnya, iaitu Julai 2023 hingga Disember 2023 sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga agar lebih jelas dan mengambil kira aspek jaminan daya harap dan kemampanan sistem bekalan elektrik secara holistik.

“NRECC akan terus komited untuk menawarkan bekalan elektrik yang bersih daripada sumber TBB kepada pengguna elektrik, terutamanya syarikat komersial dan industri yang berhasrat untuk mengurangkan jejak karbon demi memastikan kelestarian alam sekitar.”

Beliau juga menyatakan bahawa program ini turut menyediakan pilihan kepada entiti perniagaan, pelabur dan organisasi yang beroperasi di Malaysia dalam memenuhi komitmen Environmental, Social and Govemance (ESG) melalui penggunaan elektrik daripada sumber TBB.

Mengulas dengan lebih lanjut, pengguna yang ingin memperbaharui atau melanggan program GET boleh membuat permohonan di laman sesawang Tenaga Nasional Berhad atau menghubungi talian kedai TNB yang berhampiran.

Untuk makluman, sebanyak 1994 orang pengguna daripada kategori domestik, komersial dan industri telah menyertai program GET pada tahun lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.