12 Januari 2023, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Produk kosmetik di Malaysia dikawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengguna disarankan untuk menggunakan produk kosmetik yang bernotifikasi. Walaupun produk kosmetik tidak didaftarkan dengan KKM, namun produk ini bernotifikasi sebelum dijual, dipasarkan, diimport atau dikilangkan.

Susulan daripada itu, Pegawai Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi KKM, Puan Siti Hawa Mohd Nor diundang bagi menjayakan rancangan Selamat Pagi Malaysia untuk membincangkan isu ubat pemutih kulit dan risiko penggunaannya, hari ini.

Menurut beliau, produk pemutihan kulit ini kebanyakannya disasarkan kepada golongan wanita, terutamanya golongan yang terlalu obsesi untuk menjadi cantik. Terdapat juga segelintir lelaki yang suka akan kecantikan dan mempunyai standard yang tidak realistik yang mengatakan bahawa kecantikan ini hanya apabila seorang wanita atau lelaki itu berkulit putih, manakala orang yang berkulit sawa matang atau gelap itu tidak cantik. Oleh sebab itu, banyak pengguna yang taksub untuk memutihkan kulit mereka.

Perbincangan tentang isu ubat pemutih kulit dan risiko penggunaannya yang berlangsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia bersama-sama Pegawai Farmasi, Program Perkhidmatan Farmasi KKM, Puan Siti Hawa Mohd Nor (kiri).

Tambah beliau, melanin pada kulit seseorang dapat membantu untuk melindungi kulit daripada sinaran ultraungu (UV) daripada matahari. Jika individu itu tidak memakai pelindung mentari (sun screen) boleh menyebabkan risiko menghidap kanser kulit. Oleh yang demikian, jika pengguna memakai produk pemutih kulit, produk ini boleh menjejaskan penghasilan dan pembentukan melanin sekali gus mempengaruhi kulit menjadi lebih cerah.

Terang beliau lagi, penghasilan melanin akan berkurangan apabila kulit menjadi cerah dengan penggunaan produk pemutih ini dan meningkatkan risiko lain yang berbahaya. Walau bagaimanapun, jika pengguna ingin mendapatkan kulit yang cerah dengan cara yang betul, pengguna perlu mencari produk kecantikan yang mengandungi bahan pencerah seperti Alpha Arbutin, vitamin C dan ekstrak tumbuhan lain yang selamat untuk digunakan.

Untuk makluman, produk kosmetik diklasifikasikan sebagai produk yang disapu di bahagian luar kulit sahaja seperti krim, serum, pelembab dan pencuci muka. Suntikan pula bukan di bawah pengelasan kosmetik. Hal ini adalah kerana suntikan ini telah dicucuk dan masuk ke dalam badan serta bukan digunakan untuk kegunaan luaran. Sebagai contohnya, produk suntikan vitamin C yang kini berleluasa adalah tidak berdaftar dengan KKM dan jika digunakan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Kebanyakan produk pemutih boleh didapati di farmasi atau di kedai ubat tetapi bagi sesetengah produk yang tidak mempunyai notifikasi mengandungi bahan yang terlarang atau yang tidak sepatutnya terdapat dalam produk kosmetik. Antara bahan terlarang tersebut ialah merkuri, Hidrokuinon dan Betamethasone, yakni ubat berdaftar yang hanya boleh didapati melalui pemantauan oleh ahli profesional kesihatan.

Jelas beliau, apabila ubat terkawal ini dimasukkan ke dalam produk kosmetik dan tidak dipantau oleh doktor serta dos bahan ubat terkawal tersebut tidak diketahui, risiko kesan sampingan yang teruk dan serius boleh berlaku kepada pengguna adalah tinggi.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan diri daripada membeli produk kosmetik yang tidak bernotifikasi, pengguna boleh memastikan sama ada produk yang ingin dibeli itu mempunyai notifikasi ataupun tidak dengan melayari laman sesawang Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) atau muat turun aplikasi NPRA Product Status di telefon pintar masing-masing. Pengguna boleh memasukkan nama produk atau nombor notifikasi produk tersebut dan dapat melihat sama ada produk berkenaan bernotifikasi ataupun tidak. Jika tidak bernotifikasi, hal ini bermakna produk berkenaan tidak dimaklumkan kepada KKM sebelum dipasarkan.

Namun begitu, terdapat juga produk yang bernotifikasi tetapi ditarik balik penjualan produk itu kerana mengandungi bahan yang terlarang. Senarai produk yang telah dibatalkan notifikasinya juga boleh dilihat di laman sesawang NPRA.

Menjawab persoalan berkenaan implikasi daripada produk yang perlu dimakan seperti kapsul, beliau menyatakan bahawa kapsul yang mengandungi asid traneksamik yang biasanya digunakan untuk menghentikan pendarahan jika diambil tanpa sebab akan memberikan kesan sampingan kepada pengguna tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana kapsul yang mengandungi asid traneksamik ini membantu untuk membekukan darah. Jika seseorang itu memakannya boleh mengakibatkan serangan jantung, bengkak di kaki, kesesakan nafas dan sebagainya. Situasi ini menunjukkan komplikasi yang serius, namun pengguna tidak nampak komplikasi berkenaan disebabkan oleh keinginan untuk memutihkan kulit yang tinggi.

Lanjutan daripada itu, beliau juga menjelaskan bahawa suntikan vitamin C sama ada suntikan itu dilakukan secara tunggal ataupun dicampurkan dengan kolagen, namun masih tiada bukti klinikal yang membuktikan suntikan ini menyebabkan keanjalan kulit dan mencerahkan kulit. Apabila pengguna melakukan suntikan ini di premis peribadi atau pusat kecantikan yang tidak berdaftar, dikhuatiri pengguna akan mendapat kesan sampingan disebabkan oleh penggunaan dos yang tinggi sekali gus boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, batu karang dan penyakit lain.

Pada masa yang sama, pengguna juga tidak mengetahui individu yang memberikan suntikan vitamin C itu dilakukan oleh pihak yang bertauliah ataupun tidak di samping teknik suntikan itu juga diragui sama ada dilakukan dengan betul ataupun sebaliknya. Teknik suntikan yang salah boleh memberikan risiko gumpalan dalam darah dan jika persekitaran tidak bersih juga mengakibatkan jangkitan kuman dalam darah serta meningkatkan penularan penyakit berjangkit seperti human immunodeficiency virus (HIV) dan hepatitis.

“Keinginan yang tinggi untuk memutihkan kulit tidak terhad kepada masyarakat di Malaysia sahaja. Situasi ini boleh berlaku di mana-mana negara. Pada pandangan saya, keadaan ini bergantung pada persekitaran atau tanggapan masyarakat setempat terhadap penggunaan produk kosmetik ini,” ujarnya di akhir rancangan berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.