10 Januari 2023, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hingga 8 Januari 2023, sebanyak 84.3 peratus rakyat Malaysia telah mendapatkan dos vaksinasi primer yang lengkap. Walau bagaimanapun, bagi pengambilan dos penggalak pertama, hanya 50 peratus sahaja individu yang mendapatkannya, manakala hanya dua peratus rakyat di negara ini yang mengambil dos penggalak kedua.

Demikian kupasan tentang status liputan imunisasi di Malaysia oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan, Cawangan Kesiapsiagaan, Survelan dan Respons, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBrs. Dr. Hazlina Yahaya dalam sesi temu bual menerusi siaran radio Nasional FM, semalam.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan, Cawangan Kesiapsiagaan, Survelan dan Respons, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBrs. Dr Hazlina Yahaya dalam sesi temu bual menerusi siaran radio Nasional FM.

Susulan daripada itu, KKM ingin menggesa kepada semua individu yang layak mengambil vaksin dan belum melengkapkan dos vaksinasi primer disarankan untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Di Malaysia, kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas sudah layak untuk mengambil vaksin. Remaja yang berumur 12 tahun hingga 17 tahun boleh mendapatkan dos penggalak pertama sekurang-kurangnya selepas enam bulan pengambilan dos vaksinasi primer, manakala individu yang berumur 18 tahun ke atas pula boleh mengambil dos penggalak pertama selepas tiga bulan pengambilan dos vaksinasi primer.

“Semua individu yang berumur 18 tahun ke atas termasuklah golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit kencing manis dan pesakit penyakit kronik lain, ibu hamil dan golongan yang terlantar di hospital disarankan untuk mengambil dos penggalak kedua,” jelasnya.

Dalam sesi temu bual itu juga, beliau menyatakan bahawa orang ramai perlu mengemas kini aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing bagi memudahkan proses menempah janji temu untuk mendapatkan vaksin di klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

Pada masa yang sama, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) swasta juga telah dibuka bagi membolehkan orang ramai mendapatkan dos penggalak. Orang ramai boleh membuka laman sesawang ProtectHealth untuk melihat senarai PPV swasta yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Menjawab persoalan sebab utama untuk mendapatkan dos penggalak, beliau menerangkan bahawa seperti kebanyakan vaksin lain, ketahanan atau imuniti yang terbentuk selepas mengambil vaksin COVID-19 akan menurun selepas tempoh tertentu, biasanya dalam tempoh empat bulan hingga enam bulan. Hal ini bermakna, risiko untuk mendapat jangkitan atau gejala teruk COVID-19 akan meningkat semula selepas tempoh ini.

Sejak April 2022, masyarakat telah hidup dengan vaksin kerana sudah beralih kepada fasa endemik dan boleh terdedah kepada virus ini pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan jangkitan yang serius dan seterusnya mengurangkan risiko kematian, ambillah dos penggalak mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau juga memaklumkan bahawa KKM belum lagi mengesyorkan pengambilan dos penggalak ketiga dan seterusnya buat masa ini.

“Sebelum keputusan pemberian dos tambahan vaksin dibuat, kumpulan kerja teknikal KKM akan mengkaji perkara ini dengan lebih teliti terlebih dahulu termasuklah membuat perbandingan untuk melihat manfaat dan risiko yang akan dihadapi,” hurainya lagi.

Pada masa yang sama, beliau juga menjelaskan isu berkenaan kemunculan subvarian BA.5.2 dan BF.7 di China. Menurutnya, subvarian BA.5.2 dan BF.7 juga sebenarnya telah ditemukan di Malaysia. Subvarian baharu yang muncul daripada varian Omicron setakat ini biasanya mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi tetapi kurang menyebabkan penyakit yang teruk berbanding dengan varian Delta yang menyerang negara ini pada tahun 2021.

Jelas beliau lagi, KKM mengesyorkan agar rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara, sama ada bagi tujuan melancong atau bekerja hendaklah mengambil vaksin COVID-19 yang lengkap bersama-sama dos penggalak. Keperluan vaksinasi untuk memasuki negara luar bergantung pada negara berkenaan. Terdapat negara yang mewajibkan vaksinasi lengkap dan menerima jenis vaksin tertentu sahaja. Oleh itu, masyarakat perlu mengambil maklum tentang hal ini.

KKM juga menasihatkan orang ramai agar melakukan ujian COVID-19 terlebih dahulu sekiranya bergejala. Jika didapati positif COVID-19, tangguhkan perjalanan ke luar negara dan melaporkan hal ini dalam aplikasi MySejahtera, mengasingkan diri daripada orang lain, memaklumkan kepada saudara-mara dan orang terdekat serta mendapatkan rawatan jika gejala semakin teruk.

“Dalam masa 14 hari selepas pulang dari luar negara, sesiapa yang mengalami gejala COVID-19 seperti demam, batuk atau sesak nafas perlulah mendapatkan nasihat perubatan atau rawatan dengan segera di klinik atau hospital yang berhampiran,” ujarnya sebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.