7 Januari 2023, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Inisiatif Label Ubat Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu pesakit OKU penglihatan dalam urusan pengambilan ubat.

Dalam satu kenyataan media KKM yang dikeluarkan semalam, Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa menyatakan bahawa label ubat yang diberikan kepada pesakit OKU penglihatan mempunyai tulisan Braille untuk menjelaskan cara pengambilan atau dos ubat. Sebagai contohnya, label tersebut merujuk pengambilan dua biji ubat dan diambil sebanyak tiga kali sehari.

Selain itu, label ubat tersebut juga mempunyai indikasi ubat yang menerangkan kegunaan ubat seperti demam, batuk atau selesema. Tambah beliau:

Inisiatif peluasan kepada Program Kenali Ubat Anda bagi menyokong Malaysian Patient Safety Goals 2.0 di bawah Medication Safety: Medication Without Harm ini akan dilaksanakan di 250 buah fasiliti kesihatan KKM terpilih di seluruh negara.

Untuk makluman, Malaysia adalah antara negara yang terawal di Asia yang melaksanakan inisiatif berkenaan. Dalam konteks ini, KKM menjangkakan sebanyak 55 000 orang OKU penglihatan bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Bagi memastikan OKU penglihatan mendapat hak untuk menerima maklumat yang tepat dalam urusan pengambilan ubat secara selamat, pihak kerajaan telah menunjukkan kesungguhan dan keprihatinannya menerusi pelaksanaan inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan. Pada masa yang sama, inisiatif ini dapat meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa selaras dengan Konvensyen mengenai Hak OKU dan Akta Orang Kurang Upaya 2008,” ujarnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan, boleh layari Facebook rasmi KKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.