4 Januari 2023, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2021–2025 yang menggariskan pengukuhan sistem kesihatan awam berteraskan digital membuktikan bahawa pentingnya pendigitalan sistem kesihatan dalam memperkasakan perkhidmatan awam.

Menurut Pegawai Perubatan, Bahagian Kesihatan Awam Digital (INTERIM) KKM, YBrs. Dr. Muhammad Shameer Haqeem Omar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia semalam, pelbagai manfaat yang dapat diperoleh apabila menggunakan sistem digital ini, antaranya termasuklah menjimatkan masa dan kos. Hal ini dikatakan demikian kerana kakitangan kesihatan yang bekerja di lapangan mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan laporan, sama ada laporan klinikal ataupun bukan klinikal.

Pegawai Perubatan, Bahagian Kesihatan Awam Digital (INTERIM) KKM, YBrs. Dr. Muhammad Shameer Haqeem Omar.

Beliau berkata, “Terdapat kajian yang melaporkan bahawa lebih kurang 30 peratus daripada masa diambil oleh setiap kakitangan hospital ataupun klinik kesihatan semata-mata untuk membuat laporan. Oleh hal yang demikian, dengan adanya penggunaan sistem digital ini, laporan data pesakit itu dapat diperoleh dengan cepat, efisien, mengurangkan masa kakitangan untuk membuat laporan pesakit sekali gus dapat memberikan fokus terhadap rawatan dan penjagaan pesakit.”

Tambah beliau, sistem ini juga membantu pengguna untuk membuat tempahan janji temu dimana-mana sahaja tanpa perlu pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan.

Pendigitalan sistem kesihatan ini sangat memberikan kesan positif yang banyak, terutamanya semasa pandemik COVID-19 seperti penggunaan aplikasi MySejahtera yang membolehkan masyarakat menggunakan sistem janji temu bagi membolehkan orang awam mendapatkan vaksin COVID-19. Sebagai kesannya, KKM dapat memvaksin sebanyak 90 peratus populasi Malaysia dalam tempoh empat bulan, melebihi sasaran yang ditetapkan oleh KKM.

Selain itu, aplikasi MySejahtera mampu membantu mengesan individu yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19. Hal ini sekali gus dapat mengurangkan beban kakitangan kesihatan di lapangan untuk mengesan pesakit yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.

Jelas beliau, KKM sangat komited dengan penggunaan sistem digital kesihatan ini. Hal ini dapat dibuktikan dengan usaha KKM dalam mendigitalisasikan beberapa modul kesihatan awam seperti modul saringan kesihatan, modul program imunisasi kebangsaan dan modul janji temu.

Modul janji temu itu berasal daripada aplikasi COVID-19 dan dikembangkan kepada aplikasi kesihatan awam. Sistem ini memberikan laluan kepada orang awam untuk membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang membolehkan pengguna memilih beberapa perkhidmatan fasiliti berdekatan mengikut tarikh dan masa mereka. Setiap perkhidmatan yang ditawarkan oleh KKM menerusi sistem digital kesihatan ini mendapat sambutan dan penerimaan yang memberangsangkan daripada orang awam.

Dalam program berkenaan juga, beliau menyatakan bahawa aplikasi MySejahtera merupakan sebuah aplikasi yang mesra pengguna. Aplikasi ini memberikan kemudahan kepada para pengguna termasuklah golongan berisiko seperti warga emas untuk membuat tempahan janji temu dengan cepat dan mudah.

Sesi temu bual bersama-sama Pegawai Perubatan, Bahagian Kesihatan Awam Digital (INTERIM) KKM, YBrs. Dr. Muhammad Shameer Haqeem Omar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang lalu, beliau percaya bahawa warga emas juga sudah menggunakan telefon pintar pada masa ini dan sudah biasa dengan penggunaan aplikasi MySejahtera serta mengetahui cara untuk menggunakannya.

“Namun begitu, bagi warga emas yang tidak mengetahui untuk mengaplikasikan sistem ini, KKM telah mengambil inisiatif dengan memasukkan fungsi tanggungan dalam aplikasi MySejahtera bagi membolehkan anak-anak warga emas ini menempah sesi janji temu untuk ibu bapa mereka”, ulasnya lagi.

Seiring dengan galakan pengambilan dos penggalak kedua oleh Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa, aplikasi MySejahtera juga mempunyai fungsi untuk mana-mana pengguna yang ingin menempah slot janji temu bagi mendapatkan dos penggalak COVID-19 tersebut.

Beliau menerangkan bahawa KKM amat komited dalam usaha mendigitalisasikan keseluruhan proses manual yang terdapat di hospital kerajaan dan mana-mana fasiliti kerajaan. Melalui modul kesihatan awam yang telah digitalisasikan didapati bahawa hampir keseluruhan hospital kerajaan, klinik kesihatan dan klinik desa telah menggunakan sistem digital berkenaan.

“KKM sangat berbesar hati untuk melihat rakyat Malaysia menggunakan sistem digital ini dan perkhidmatan yang ditawarkan. Diharapkan agar sistem ini dapat digunakan sampai bila-bila dan dimanfaatkan oleh semua pengguna bagi memudahkan urusan di klinik ataupun di hospital,” katanya sebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.