2 Januari 2023, 21:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Musim persekolahan yang baru bermula perlu diberikan perhatian oleh masyarakat, terutamanya golongan ibu bapa. Hal ini adalah kerana biasanya pada beberapa hari awal selepas persekolahan dibuka, jumlah pesakit kanak-kanak bertambah di hospital dan keadaan ini sedikit sebanyak membimbangkan.

Untuk mengupas isu ini, pihak rancangan Selamat Pagi Malaysia Istimewa Edisi Tahun Baharu telah mengundang Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Hospital Pakar An-Nur merangkap ahli Medical Mythbusters Malaysia, YBrs. Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid bagi membincangkan isu tersebut dengan lebih lanjut.

Menurut beliau, keadaan semasa di dalam wad kanak-kanak di hospital beliau bertugas adalah penuh dan biasanya beberapa hari selepas sekolah dibuka, jumlah pesakit akan bertambah. Sebenarnya, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk memastikan kesihatan anak-anak mereka. Antaranya termasuklah memberikan makanan yang sihat, mempunyai vitamin dan zat yang mencukupi serta mengurangkan makanan segera, makanan ringan dan makanan yang diproses.

Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Hospital Pakar An-Nur merangkap ahli Medical Mythbusters Malaysia, YBrs. Dr. Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid (kanan) ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan agar memastikan anak mereka terdedah kepada cahaya matahari melalui aktiviti di luar rumah, mendapatkan kaedah pencegahan vaksin untuk melindungi diri anak serta mengajar anak tentang etika kesihatan yang betul. Tambah beliau:

Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak yang tidak sihat mendapatkan rawatan dan tidak menghantar mereka ke sekolah jika masih belum sihat sepenuhnya.

Ibu bapa perlu memahami gejala tidak sihat yang terdapat pada diri anak masing-masing. Suhu normal bagi badan manusia adalah antara 36.0 darjah Celsius hingga 37.5 darjah Celsius. Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan suhu badan anak mereka dengan menggunakan termometer agar rawatan awal dapat diberikan. Gejala awal ini perlu diberikan perhatian supaya gejala serius tidak berlaku. Jelas beliau lagi:

Cara sentuhan dengan menggunakan tangan untuk mengetahui sama ada anak tersebut demam ataupun tidak adalah bukan cara yang efektif dan sesuai. Hal ini adalah kerana sentuhan akan memberikan bacaan yang tidak tepat. Setiap rumah sewajarnya mempunyai termometer untuk memeriksa suhu badan anak masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau juga menjelaskan bahawa terdapat ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak ke sekolah kerana beranggapan gejala yang ada pada anak mereka adalah tidak serius. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui dan mengenal pasti dengan lebih teliti gejala yang ada pada diri anak-anak. Sebagai contohnya, seseorang yang menghidap penyakit asma biasanya akan lebih mudah batuk dan tidak semua gejala batuk boleh berjangkit. Ulas beliau:

Sebenarnya pihak sekolah perlu lebih memudahkan proses ketidakhadiran pelajar ke sekolah agar tidak berlakunya jangkitan di sekolah.

Mengulas dengan lebih lanjut, ibu bapa perlu menyediakan ubat demam di rumah masing-masing dan memberikan dos yang betul kepada anak-anak mereka. Ubat demam tidak boleh diberikan lebih daripada empat kali sehari kepada kanak-kanak kerana boleh memberikan kesan kepada organ hati. Terang beliau:

Jika anak mempunyai gejala demam, ibu bapa boleh menggunakan kain yang dibasahkan dengan air suam dan lapkan di seluruh badan anak. Tuala tersebut tidak perlu diletakkan pada kepala kerana tindakan tersebut boleh memerangkap haba dan seterusnya boleh menyebabkan berlakunya sawan.

Di samping itu, ibu bapa perlu memberikan ruang kepada anak untuk berehat dan sembuh sebelum hadir semula ke sekolah. Beliau juga berharap agar tidak menjadikan anak sebagai penyebar penyakit berjangkit kerana mungkin kanak-kanak tersebut hanya mengalami gejala ringan tetapi orang yang dijangkiti berkemungkinan boleh menghidap jangkitan penyakit yang lebih serius.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.