2 Januari 2023, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara dan kesiapsagaan bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.

Demikian menurut Menteri Kesihatan, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media hari ini. Beliau memberikan perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di China dan sekatan yang telah dibuat oleh beberapa buah negara lain terhadap pengembara dari China. Hal ini sememangnya menjadi keutamaan KKM pada masa ini.

Menurutnya lagi, dengan pelanjutan Malaysia sebagai “kawasan tempatan jangkitan” hingga Jun 2023, perkara ini memberikan ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera apabila diperlukan termasuklah mengubah dasar yang sedia ada, terutamanya penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan di semua pintu masuk negara.

Tambah beliau, tindakan ini akan dilaksanakan bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China, malah bagi mereka yang tiba dari semua negara di dunia. KKM juga sentiasa bersedia dalam meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Perbincangan antara KKM dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara China dan rakan negara Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) juga sentiasa diadakan dari semasa ke semasa. Selain itu, KKM juga sering mengambil polisi berpandukan sains serta data yang tepat. Berdasarkan laporan, WHO telah mengadakan mesyuarat dengan China bagi urusan perkongsian data terkini dan akan diteruskan bagi mengetahui maklumat, situasi dan pengurusan COVID-19 di negara tersebut secara terperinci. Tambah beliau lagi:

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan oleh negara China kepada WHO, varian dan subvarian yang terdapat di China juga telah dikesan di Malaysia. Oleh yang demikian, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberikan perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus ini dan sepatutnya dapat mengurangkan kemasukan pesakit ke hospital.

Jelas beliau, vaksin bivalen juga akan dibekalkan ke negara ini tidak lama lagi seiring dengan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini. Pengumuman akan dibuat selepas bekalan vaksin tersebut diterima bersama-sama kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.

Orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan dinasihatkan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen. Hal ini adalah kerana vaksin monovalen yang sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian.

Mengulas dengan lebih lanjut, peratusan pengambilan dos penggalak diharapkan akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia yang telah mendapatkan vaksin dos penggalak pertama dan 1.9 peratus sahaja yang telah mengambil dos penggalak kedua ketika ini.

Rakyat dinasihatkan agar terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi nasihat kesihatan yang sering disarankan oleh KKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.