29 Disember 2022, 17:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati bahawa tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di Malaysia hingga kini. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya semasa melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar.

Kebimbangan penularan kes ini adalah disebabkan oleh laporan berita berkenaan dengan kes pertama jangkitan Naegleria Fowleri yang berlaku di Korea Selatan. Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) telah mengesahkan bahawa seorang lelaki warga Korea Selatan yang berusia dalam lingkungan 50 tahun telah meninggal dunia selepas dijangkiti ameba Naegleria Fowleri. Lelaki tersebut dilaporkan telah menetap di sebuah negara di Asia Tenggara selama empat bulan sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember 2022 yang lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya, Naegleria Fowleri ialah ameba termofilik atau dikenali sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemukan di seluruh dunia, terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas dan di dalam tanah. Namun begitu, ameba ini tidak ditemukan di dalam air masin seperti di lautan. Tambah beliau:

Ameba Naegleria Fowleri juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan pada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Ameba ini juga mampu untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa melakukan aktiviti berkaitan dengan air tawar. Walau bagaimanapun, tiada bukti jangkitan ini boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.

Jangkitan otak yang teruk seperti primary amoebic meningoencephalitis (PAM) adalah satu daripada kesan jangkitan ameba ini dan boleh membawa maut. Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain, misalnya sakit kepala, demam, loya atau muntah. Selain itu, gejala yang lebih serius juga boleh berlaku seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang lain dan persekitaran di sekelilingnya, sawan, halusinasi dan koma.

Pada kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti. Tambahan pula, keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat, iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hari hingga 18 hari daripada permulaan berlakunya gejala.

Penyakit ini didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri di dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti. Pemberian gabungan ubat-ubatan adalah satu daripada rawatan untuk mengubati penyakit ini, namun rawatan tersebut adalah sangat terhad disebabkan oleh perkembangan penyakit ini yang berlaku dengan sangat cepat.

Orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai kerana habitat ameba biasanya berada di kawasan berkenaan. Aktiviti seperti menyelam atau melompat ke dalam air yang berkemungkinan dicemari oleh ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus juga perlu dielakkan.

Pada masa yang sama, KKM juga menyarankan supaya orang ramai supaya sentiasa mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air serta segera mendapatkan rawatan apabila mengalami gejala penyakit ini secara tiba-tiba.

Dalam konteks ini, KKM akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri sama ada di dalam negeri atau di luar negeri dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat terjamin. KKM juga sentiasa komited dalam menyalurkan sebarang informasi yang tepat dan responsif jika terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.