22 Disember 2022, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam saingan perlawanan bola sepak yang serba kompetitif, setiap faktor yang menyumbang kepada kualiti persembahan dan kelancaran permainan adalah diambil kira, khususnya dalam kejohanan bertaraf dunia yang melibatkan penajaan, pemasaran, dan pengiklanan yang paling luas di dunia. Kejohanan bertaraf dunia yang dimaksudkan ialah kejohanan bola sepak Piala Dunia Fédération Internationale de Football Association (FIFA) edisi terkini yang telah berlangsung di Qatar sejak November hingga 18 Disember lalu.

Satu daripada faktor penting yang amat diberikan perhatian dalam Piala Dunia FIFA yang selalu disebut sebagai Piala Dunia ialah gelanggang permainan yang merujuk permukaan padang. Sudah tentulah yang dimaksudkan ialah penggunaan rumput yang memberikan impak optimum kepada persembahan dan permainan bagi setiap pasukan yang bertanding.

Bagi Qatar, selaku tuan yang rumah yang kaya dengan hasil pendapatan minyak, pembinaan kompleks sukan dan stadium berkapasiti besar bukanlah menjadi suatu masalah. Namun begitu, masalah sebenar timbul apabila negara tersebut berhadapan dengan suhu yang ekstrem hingga menyebabkan suhu pada permukaaan padang mencecah 100 darjah Celcius, khususnya antara Mei hingga September. Hal ini secara langsung mempengaruhi pertumbuhan rumput yang meliputi permukaan padang menjelang pertandingan yang bakal berlangsung tidak sampai dua bulan selepas itu.

Walaupun Qatar telah menyediakan sistem penyejuk di atas permukaan padang, hasil teknologi yang dirintis oleh Dr. Saud Ghani yang membina sistem penyejuk seperti pendingin yang boleh menyejukkan kereta tetapi dalam skala yang lebih besar. Namun begitu, kriteria yang paling utama ialah pemilihan rumput yang hendak digunakan.

Berkenaan dengan jenis rumput yang digunakan, berjuta-juta benih rumput telah diimport dari Amerika Syarikat untuk kegunaan permukaan padang di lapan buah stadium utama dan 136 kawasan latihan. Setiap permukaan padang itu memerlukan sebanyak 50 ribu liter air sehari ketika musim panas bagi mengelakkan rumput menjadi kasar, kering dan keras.

Air yang banyak diperoleh melalui proses penyahgaraman air laut seperti yang dilaporkan oleh Joe Bernstein dalam artikelnya yang berjudul “REVEALED: World Cup organisers have flown hundreds of tons of grass seed from the US and faked winter conditions to perfect pitches in Qatar… with a farm north of Doha the size of 40 pitches growing reserve grass just in case!” yang dikemaskini dalam Daily Mail pada Oktober 2022.

Pembekal rumput yang telah dilantik oleh penganjur Piala Dunia FIFA 2022 ialah Atlas Turf International yang berpengalaman luas dalam pembangunan dan penyelidikan tentang rumput komersil yang digunakan di serata dunia, khususnya di padang golf, latihan padang dan stadium.

Dalam Piala Dunia FIFA 2022 yang diadakan di Qatar, jenis rumput yang telah dipilih secara rasmi oleh penganjur ialah Platinum TE™ Paspalum. Antara kelebihan rumput ini termasuklah:

  1. Sangat lasak untuk permukaan panas dan musim panas yang boleh digunakan untuk permainan luar seperti golf, latihan padang, sukan padang, dan landskap.
  2. Berkualiti baik dalam kualiti air yang teruk, terutamanya yang mempunyai darjah kemasinan yang tinggi.
  3. Berprestasi baik dalam keadaan cahaya malap.
  4. Memerlukan input minimum untuk penambahbaikan kelestarian.
  5. Mempunyai warna yang menyegarkan, iaitu hijau gelap berkilat dengan bilah daun yang sangat halus.
  6. Mempunyai darjah toleransi yang sangat tinggi dan serba boleh kerana boleh dipotong mengikut ketinggian pemotong.
  7. Mempunyai darjah penggunaan yang sangat tinggi dan baik, yakni cepat pulih daripada kecederaan.
  8. Mudah menghijau pada awal musim bunga.
  9. Profil genetiknya mudah dibezakan daripada kultivar genus rumput lain.
  10. Mempunyai ketahanan warna yang sangat tinggi dan mampu bertahan pada musim sejuk.
  11. Kepala benih naik secara minimum apabila terdapat tindak balas cahaya atau tekanan persekitaran. Hal ini menjadikan rumput tidak menjadi tinggi dan mudah dipelihara.
  12. Mengurangkan keperluan untuk menyelia.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, keadaan cuaca Qatar yang ekstrem telah menyebabkan kajian tentang rumput yang meliputi permukaan padang stadium dan kawasan latihan dilakukan dengan penuh teliti. Penganjur Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar telah melantik Aspire Sports Turf (AST) untuk mengadakan pengujian menyeluruh terhadap semua rumput yang dicadangkan oleh firma perunding rumput sukan antarabangsa, iaitu STRI Group.

Penyelidikan awal tentang rumput untuk kegunaan Piala Dunia FIFA 2022 telah bermula sejak 10 tahun lalu, iaitu pada tahun 2012. Platinum TE™ Paspalum ditanam di padang latihan di pusat kemudahan bola sepak Zon Aspire di Doha. Pada tahun 2014, STRI yang berpangkalan di United Kingdom turut mencuba pelbagai spesies rumput lain termasuklah Zoysia dan Bermuda. Percubaan uji kaji telah dilakukan termasuklah dengan mensimulasikan pelbagai cabaran yang berkemungkinan berlaku di Qatar. Antara simulasi yang dijalankan termasuklah toleransi keteduhan, toleransi ketahanan, kadar pertumbuhan dan pemulihan daripada kecederaan.

Selepas tiga tahun percubaan dilakukan, keputusan menunjukkan bahawa Platinum TE™ Paspalum ialah rumput yang paling sesuai digunakan untuk mengharungi cabaran lokasi dan jangkaan luar biasa bagi memenuhi piawaian prestasi padang rumput berkualiti Piala Dunia.

Untuk pengujian menyeluruh, AST perlu memastikan kualiti rumput di setiap padang adalah sama. Keadaan ini adalah sangat mencabar kerana proses ini memerlukan penelitian yang sangat tinggi. Bagi memenuhi tuntutan tersebut, pengurus rumput telah dilantik untuk menjadualkan dan mengkoordinasikan rancangan agronomi di setiap lokasi yang diselianya.

Setiap hari, pengurus rumput perlu mengambil ukuran harian untuk memastikan setiap padang menepati piawaian yang telah ditetapkan. Antara pengukuran harian yang diambil kira termasuklah ketegasan padang, kelembapan tanah, kekuatan tegangan dan ketahanan, terutamanya apabila bola bergolek di atas padang. Selain itu, ketinggian potongan rumput hendaklah konsisten di setiap lokasi.

Di dalam stadium, cabaran terbesar ialah bayangan yang terhasil oleh reka bentuk stadium itu sendiri. Dengan keadaan cuaca yang ekstrem, sudah tentu kebanyakan stadium di Qatar mempunyai reka bentuk yang membataskan pendedahan matahari berjam-jam di padang. Disinilah kelebihan Platinum TE™ Paspalum yang tidak memerlukan tempoh pendedahan yang lama kepada cahaya untuk mengekalkan pertumbuhan dan menyimpan karbohidrat daripada fotosintesis. Dalam tempoh yang singkat sahaja, rumput ini sudah mampu mengekalkan tenaga untuk terus hidup.

Kualiti air juga menjadi cabaran dalam Piala Dunia FIFA 2022 memandangkan Qatar terletak di kawasan teluk. Kebiasaannya, negara di kawasan teluk menggunakan air penyahgaraman untuk mengairi rumput dan landskap. Apabila populasi mula berkembang, kos penggunaan air penyahgaraman telah menjadi tinggi. Bagi mengatasi masalah tersebut, satu daripada kaedah yang paling efektif dan menjimatkan kos ialah menggunakan air kumbahan terawat yang disebut sebagai efluen kumbahan terawat (TSE) yang mengandungi garam dan unsur lain yang tinggi.

Dalam konteks pertumbuhan rumput, Platinum TE™ Paspalum mengalami pertumbuhan yang jauh lebih baik daripada Zoysia dan Bermuda apabila diairi dengan TSE. Hal ini disebabkan oleh tumbuhan paspalum mampu menyerap klorida dan unsur lain daripada air tersebut walaupun mempunyai tahap ketoksikan yang agak tinggi.

Bagi memastikan kualiti padang konsisten dengan piawaian yang ditetapkan, pasukan yang menguruskan turf AST telah berkampung di Qatar selama beberapa tahun sebelum Piala Dunia FIFA 2022 diadakan. Tempoh yang lama ini menjadikan pengurus lapangan cukup berpengalaman dan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang nuansa padang yang mereka kekalkan. Zon Aspire menjadi pusat penyelidikan utama kerana dilengkapi dengan teknologi terkini dan mempunyai keupayaan untuk mendiagnosis keadaan lapangan di kawasan tapak.

Penyelidikan rumput Platinum TE™ Paspalum sebenarnya telah dibangunkan oleh Turf Ecosystems. Tokoh yang dinisbahkan dengan kerja penyelidikan rumput ini ialah Dr. Ron R. Duncan. Beliau telah memperkenalkan rumput Platinum TE pada tahun 2007 dan mematenkannya sebagai rumput premium turf.

Rumput ini dianggap premium kerana mempunyai nilai estetika yang tinggi, iaitu berwarna hijau yang lebih gelap daripada kultivar rumput lain dan menghasilkan keupayaan jaluran yang unggul. Bilah daunnya yang halus dan jarak internod yang rapat menghasilkan permukaan kanopi yang sangat padat yang menyediakan susunan pola yang luar biasa di samping tahap boleh tempel yang sangat tinggi.

Walaupun dalam keadaan keamatan cahaya yang rendah, rumput ini mempamerkan prestasi pertumbuhan dan kemampanan yang unggul. Hal ini menjadikan rumput ini sesuai ditanam dan hidup di kawasan dengan corak iklim mendung atau hujan yang berterusan dan kualiti cahaya yang kurang.

Kepremiuman rumput ini terserlah menerusi keupayaannya mempamerkan toleransi garam yang tinggi dan rintangan penyakit daun yang sangat baik. Rumput ini mudah terbentuk dengan cepat dari ranting dan tumbuh secara agresif daripada stolon. Hal ini menjadikan rumput ini mudah tumbuh tetapi tidak menjadi tinggi menerusi tindak balas kepada perubahan fotokala atau pendedahan tekanan persekitaran walaupun pada kadar yang minimum. Dengan kadar toleransi dan kepelbagaian pemotongan yang tinggi, iaitu antara 0.070 inci hingga 1.500 inci, rumput ini menjadi pilihan yang tepat untuk mana-mana kawasan padang golf atau lapangan sukan yang memerlukan permukaan padang yang baik.

Hasil kajian Dr. Duncan telah mendapat pengiktirafan dan sambutan yang menggalakkan daripada pemilik dan pemaju lapangan sukan. Rumput ini telah ditanam di 230 tempat berprestij di seluruh dunia yang meliputi padang golf, padang besbol, stadium bola sepak, stadium ragbi dan kompleks sukan American Football.

Antara lapangan sukan yang telah ditanam dengan rumput premium ini di rantau Asia termasuklah di NARA Binh Tien Golf and Beach Resort yang terletak di Ninh Thuan, Vietnam; Aquella Golf and Country Club di Bangkok, Thailand; dan Yas Island Links Golf di Abu Dhabi, United Arab Emirates.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.