22 November 2022, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah.

Kuala Lumpur – “Syabas dan tahniah kepada pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta warga kerja DBP yang sangat komited, kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Rakyat Malaysia termasuklah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meletakkan harapan yang tinggi kepada DBP untuk mendaulatkan bahasa dan persuratan Melayu di negara ini serta menyebarluaskannya ke peringkat antarabangsa,” kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah semasa merasmikan Majlis Hari Inovasi DBP 2022, pagi tadi.

Tambah beliau, pelbagai cabaran telah diharungi oleh DBP dalam mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Terkini, usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa ialah satu lagi usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan seterusnya sebagai lingua franca di Asia.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu masih belum berakhir dan perlu diteruskan dengan pelbagai pendekatan yang positif dan berinovatif. Oleh itu, JPA akan memberikan sokongan padu melalui pelaksanaan pelbagai pekeliling dan sebagainya. Dalam zaman yang penuh mencabar ini, sikap melaksanakan tugasan dengan cara kebiasaan perlu ditinggalkan. Begitu juga dengan budaya “tunggu dan lihat” sudah pasti akan mengundang risiko yang membawa sesebuah organisasi itu ke arah kegagalan. Jelas beliau:

Pada masa ini, dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu, sikap tidak mahu bertindak di luar kebiasaan akan menyebabkan sesebuah organisasi itu ketinggalan dan menjadi semakin tidak relevan.

Dalam konteks ini, beliau menyarankan supaya seluruh lapisan karyawan DBP perlu mengamalkan budaya kaizen, iaitu perubahan kepada yang lebih baik pada setiap masa. Amalan budaya ini akan memastikan DBP sentiasa kekal relevan dan bersedia menghadapi cabaran sama ada cabaran dalaman ataupun luaran.

Menurut beliau, keupayaan untuk sentiasa berubah kepada yang lebih baik adalah suatu keperluan pada masa ini dengan ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial. Pandemik COVID-19 juga telah memberikan pengajaran kepada masyarakat agar berani untuk berubah melalui pendekatan berinovatif.

Asas kepada pendekatan berinovatif ialah pemikiran terbuka untuk bekerjasama. Sikap ini wajar ditanam dan disuburkan dalam diri semua penjawat awam. Warga kerja DBP juga digalakkan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi menterjemahkan idea yang tercetus kepada produk atau perkhidmatan yang lebih baik kepada negara.

Seterusnya ujar beliau, perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih efisien, berkesan dan produk dapat disebarluaskan, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat melalui pendigitalan. Hal ini bertepatan dengan hasrat yang dinyatakan dalam Pelan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia yang telah dilancarkan pada tahun 2021. Oleh itu, transformasi ke arah pendigitalan perkhidmatan awam akan dapat direalisasikan apabila seluruh perkhidmatan awam bersedia dengan kemahiran teknikal dan kapasiti dalam aspek inovasi.

Pada masa yang sama, penjawat awam juga dinasihatkan agar mempunyai kemahiran berinovasi bagi membolehkan teknologi dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk membangunkan pencapaian perkhidmatan yang lebih dinamik, pantas dan efektif.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menekankan bahawa pembudayaan inovasi memerlukan iltizam yang tinggi dan komitmen daripada seluruh warga organisasi. Bagi maksud tersebut, pada kebiasaannya akan diadakan satu tema yang dijadikan sebagai azimat bagi menaikkan semangat untuk berinovasi.

Tema Majlis Hari Inovasi DBP 2022 pada tahun ini masih kekal seperti tahun lalu, iaitu “Hendak Seribu Daya”. Tema ini adalah bertepatan dengan prinsip peri pentingnya karyawan DBP meningkatkan usaha bagi memastikan segala produk dan perkhidmatan yang dihasilkan dapat memenuhi tahap kepuasan pengguna dan pihak berkepentingan serta mencapai standard melangkaui jangkaan.

YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah melancarkan Panduan Umum Pemilihan dan Pemasukan Kata Entri Kamus Ekabahasa Bahasa Melayu; Panduan Pembinaan Ensiklopedia; Manual Pengurusan Buku Teks Skim Pinjaman (BTSP); dan Kad Nama Digital DBP.

Mengulas dengan lebih lanjut, komitmen untuk berinovasi dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan dalam kalangan warga DBP dapat dilihat hasilnya menerusi pelbagai kejayaan. Kemampuan DBP dalam memberikan perkhidmatan dan menghasilkan produk seperti pelantar digital DBP, iaitu JendelaDBP, penerbitan Kamus Dewan Perdana, Sistem Pengesahan Bahasa dalam Talian, Pusat Rujukan Persuratan Melayu dan Studio DBP telah membuktikan bahawa warga DBP tidak terkebelakang dalam memanfaatkan teknologi digital, berinovasi dan menyediakan perkhidmatan yang terbaik.

Inovasi bukan sekadar penekanan kepada aspek teknologi semata-mata. Teknologi insan perlu diberikan penekanan melalui pengiktirafan kepada bakat dan kepakaran yang melibatkan karyawan DBP dan pelbagai pihak yang telah menjalinkan sinergi dengan DBP bagi memastikan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh DBP mencapai tahap kualiti yang tertinggi.

Di samping itu, beliau berpendapat bahawa pembudayaan inovasi dan kreativiti secara konsisten dan terancang adalah perlu bagi menempatkan negara dalam kategori negara maju. Cetusan idea yang kreatif dan inovatif mampu memacu dan melonjakkan pencapaian sesebuah negara ke tahap yang lebih berdaya saing dan kekal relevan.

Dalam majlis tersebut, pelbagai anugerah inovasi telah diberikan kepada karyawan DBP untuk mengiktiraf sumbangan idea dan tenaga karyawan DBP sama ada secara individu ataupun secara berpasukan. Pengiktirafan ini diharapkan akan lebih menaikkan semangat para penerima anugerah dan karyawan DBP yang lain untuk berada di pentas yang sama pada tahun akan datang.

Sementara itu, beliau mencadangkan Anugerah Citra Sahabat DBP agar dapat diteruskan pada setiap tahun bagi mengiktiraf rakan sinergi dan DBP dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi. Pengiktirafan ini boleh dilaksanakan dengan memberikan ganjaran yang lebih walaupun bukan dalam bentuk kewangan. Pengiktirafan juga boleh diberikan melalui pelaksanaan beberapa program khusus di organisasi yang telah menjadi rakan sinergi bagi mengekalkan keakraban dengan organisasi berkenaan.

Sesi penyerahan cenderamata kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan disaksikan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dan tetamu yang hadir.

Dalam majlis yang sama turut diadakan pelancaran Panduan Umum Pemilihan dan Pemasukan Kata Entri Kamus Ekabahasa Bahasa Melayu; Panduan Pembinaan Ensiklopedia; Manual Pengurusan Buku Teks Skim Pinjaman (BTSP); dan Kad Nama Digital DBP.

Majlis ini diakhiri dengan sesi penyerahan cenderamata kepada YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah dan persembahan khas oleh pelajar asing dari Asia Pacific University dan Kumpulan Inovasi DBP.

Hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan; Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, YBhg. Dato’ Hajah Norison Ramli; Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, YBhg. Dato’ Dr. Shazelina Zainul Abidin; pengarah jabatan; ketua bahagian dan tetamu undangan yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.