17 November 2022, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia adalah antara 17 buah negara yang kaya dengan biodiversiti. Namun begitu,  khazanah alam ini boleh terancam sekiranya isu spesies asing invasif (IAS) tidak dibendung. Menyedari akan hal ini, Jawatankuasa Spesies Asing Berbahaya Kebangsaan telah ditubuhkan pada tahun 2016 yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Tujuan jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk menguruskan, menyelaraskan dan menangani semua isu berkenaan dengan IAS di Malaysia.

IAS ialah spesies haiwan, tumbuh-tumbuhan atau mikroorganisma yang tersebar di luar kawasan sebaran semula jadi dan berpotensi memberikan impak negatif kepada keseimbangan dan fungsi ekosistem, kepelbagaian biologi dan kesihatan manusia.

Antara sektor utama yang mempunyai risiko kemasukan IAS ialah sektor pertanian dan perhutanan, sektor haiwan dan penyakit bawaan haiwan serta sektor perikanan dan marin. Pada tahun 2021, Jawatankuasa Induk IAS Kebangsaan telah membuat penambahbaikan dengan membangunkan tiga lagi jawatankuasa teknikal, iaitu Jawatankuasa Teknikal IAS Pertanian dan Perhutanan, Jawatankuasa Teknikal IAS Haiwan dan Penyakit Bawaan Haiwan dan Jawatankuasa Teknikal IAS Akuatik.

IAS memberikan ancaman kepada persekitaran, kesihatan haiwan, ekonomi dan kesihatan manusia. Kemasukan IAS ke sesebuah negara juga boleh membawa kemungkinan mutasi kepada penyakit lain. Selain itu, IAS juga akan menyebabkan kematian haiwan. Ekonomi penternak juga turut terjejas sekali gus hal ini merugikan negara. Manusia juga berisiko terancam kerana penyakit haiwan boleh berjangkit kepada manusia, misalnya penyakit nipah yang berleluasa pada tahun 1998.

Oleh yang demikian, langkah kawalan pencegahan bagi masalah ini perlu dilakukan dengan segera melalui kawalan pintu masuk negara, pengurusan indeks penyakit, program survelan penyakit kebangsaan, program latihan dan kempen kesedaran penyakit. Program simulasi penyakit dilaksanakan pada setiap tahun agar pihak kerajaan sentiasa bersedia mengatasi masalah ini dari segi kompetensi.

Malaysia pernah mengalami beberapa serangan penyakit haiwan seperti penyakit kulit berketul (LSD). Berikutan keadaan ini, kerajaan mengambil inisiatif bagi mencegah penyakit tersebut dengan pengambilan vaksin. Selepas program pemvaksinan intensif dilakukan, kadar penyakit LSD berjaya dikurangkan. LSD telah menyebabkan ratusan haiwan terpaksa dilupuskan sekali gus mengakibatkan kerugian kepada penternak dan kerajaan.

Selain itu, suatu spesies itu dianggap invasif apabila mampu membiak dan merebak sehingga menjejaskan keseimbangan ekosistem dan menjejaskan populasi organisma asal di habitatnya. Antara IAS akuatik termasuklah ikan sepat Siam, ikan lampam Jawa, ikan kepala besar, ikan baung ekor merah Amazon, ikan baung ekor merah Mekong dan ikan bongkok.

Ikan baung merah yang berasal dari lembangan Sungai Mekong memakan ikan tempatan tanpa mengira saiz dan merosakkan rantaian makanan, sama seperti udang kara air tawar yang berasal dari Australia. Ikan merak (peacock bass) turut memakan benih ikan dan menguasai sumber makanan serta habitat lain. Punca utama ikan yang berasal dari Amerika Selatan ini terlepas ke habitat liar adalah disebabkan oleh sikap sesetengah pemancing yang melepaskannya demi hobi.

Kemasukan IAS akuatik adalah sama ada secara sengaja ataupun secara tidak sengaja. IAS merupakan ancaman kedua terbesar terhadap kepelbagaian biodiversiti, yakni selepas kemusnahan habitat dan menyebabkan kerugian, terutamanya dari segi ekonomi. Aktiviti manusia merupakan punca utama kemasukan IAS yang mengakibatkan kebanyakan ekosistem tidak dapat dipulihkan kembali.

Jabatan Perikanan telah menyediakan senarai ikan larangan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan 1990 Pindaan 2011. Ikan asing invasif akan melalui penilaian ringkas melalui Carta Kunci Penyisihan Matrik Spesies Ikan Invasif. Pengelasan carta kunci adalah melalui kod warna yang telah ditetapkan. Jabatan Perikanan turut melaksanakan sistem penilaian ikan asing invasif melalui e-Permit, yakni setiap permohonan ikan asing invasif perlu melalui sistem tersebut dan dikawal dengan ketat oleh Jabatan Perikanan.

Untuk perancangan pada masa hadapan, Jabatan Perikanan bercadang untuk bekerjasama dengan Centre for Environment, Fisheries and Aquaculture (CEFAS), iaitu sebuah organisasi di United Kingdom untuk menggunakan penilaian AS-ISK-CEFAS bagi menilai sesuatu spesies sama ada asing invasif (invasive alien) atau asing (alien) sahaja. Dari segi penguatkuasaan ikan larangan, Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan telah melakukan pemantauan kesedaran ikan larangan bagi tujuan mendidik sebelum melakukan penguatkuasaan dan sitaan.

Hingga November 2022, sebanyak 16 kes telah direkodkan yang melibatkan kes sitaan ikan larangan. Penambahbaikan berterusan perlu dilakukan agar ekosistem perairan di negara ini dapat dijaga dengan sebaik-baiknya.

Dalam sektor pertanian pula, IAS boleh tersebar melalui tiga cara, iaitu secara sengaja (pengimportan tumbuh-tumbuhan eksotik sebagai hobi, pengimportan untuk tujuan ekonomi, penyeludupan bahan tanaman serta dijadikan sebagai agen kawalan biologi), tidak sengaja (dibawa bersama-sama komoditi perladangan, pergerakan pelancong, bagasi, pakaian, peralatan, jentera dan kenderaan yang tidak dibersihkan dengan baik) serta secara semula jadi (migrasi haiwan, bencana alam dan perubahan iklim).

Di samping itu, IAS juga menyebabkan kehilangan hasil pertanian, misalnya buah padi reput akibat serangan bakteria yang dikenali sebagai bacterial panicle blight. Kemerosotan kualiti suatu hasil pertanian juga antara impak negatif IAS. Sebagai contohnya, serangan kumbang pengorek biji yang menjejaskan kualiti mangga.

Selain itu, penularan IAS juga mengakibatkan peningkatan kos seperti penggunaan penyemburan udara bagi mengawal serangan ulat ratus pada jagung. IAS juga secara tidak langsung menjadikan keluasan kawasan pertanian semakin berkurangan, menjejaskan produktiviti tanaman dan memerlukan penyelenggaraan infrastruktur yang kerap.

Jabatan Pertanian Malaysia telah menyenaraikan 57 jenis IAS yang berpotensi menjejaskan sektor pertanian di negara ini. Antaranya termasuklah kumbang merah palma yang telah menyerang pelbagai tanaman palma. Serangan ini pertama kalinya ditemukan pada tahun 2005 di Pengkalan Chepa, Kelantan. IAS ini juga telah menyebabkan kerosakan lebih daripada 465 hektar tanaman kelapa di Terengganu dan Kedah.

Sementara itu, penyakit mati rosot betik turut mengakibatkan kerugian yang besar sepanjang tahun 2003 hingga tahun 2005. Pada masa yang sama, penyakit hawa bulir bakteria dan siput gondang pomacea telah menyerang tanaman padi. Rumpai parthenium pula boleh menyebabkan tindak balas alergi kepada manusia dan haiwan ternakan, manakala rumpai salvinia menjejaskan sistem pengairan atau saliran dan pengangkutan air.

Beberapa langkah yang dilakukan untuk mengatasi masalah ini termasuklah penggunaan perangkap feromon, rawatan secara suntikan batang dan penebangan pokok kelapa bagi kes yang serius. Selain itu, Pelan Tindakan Kebangsaan Spesies Asing Invasif 2021-2025 juga mampu mengukuhkan kefahaman dan kesedaran umum berkenaan dengan IAS. Pihak yang berkaitan juga perlu menjalankan penilaian risiko terhadap spesies eksotik sebelum dibenarkan masuk ke Malaysia serta memperkasakan pemeriksaan kuarantin dan penguatkuasaan di pintu masuk dan sempadan antarabangsa.

Sebagai kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dalam menangani isu IAS. Jika masalah ini tidak dibendung dengan segera, hal ini dikhuatiri akan memberikan kesan yang teruk kepada kesihatan manusia, haiwan, tanaman dan ekonomi negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.