15 November 2022, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Isu produk konjak jeli yang tular di media sosial didakwa berbahaya dan boleh memberikan risiko kepada kanak-kanak. Sejak tahun 2001, isu ini telah menjadi perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana terdapat laporan penjualan konjak jeli yang boleh mengakibatkan kanak-kanak tercekik apabila memakannya.

Konjak ialah sejenis tumbuhan yang tinggi dengan kandungan serat dan dikenali sebagai glukomanan. Industri yang berkaitan menggunakan bahan tambahan makanan tersebut yang berfungsi sebagai bahan pemekat dalam penghasilan jeli. Di Malaysia, penambahan konjak bagi produk jeli adalah dibenarkan berdasarkan saiz jeli yang dihasilkan.

Faktor seperti mempunyai tekstur yang kenyal, tidak mudah larut di dalam mulut dan sukar ditelan menyebabkan produk konjak jeli ini dikawal dengan menetapkan saiz dan amaran dilekatkan pada label produk. Produk ini dikawal di bawah Peraturan 139 (konfeksi sajian) dan Peraturan 139 A (konfeksi jeli terkawal).

Peraturan 139 memperuntukkan jeli dengan diameter melebihi 45 milimeter dan boleh mengandungi konjak, manakala Peraturan 139 A memperuntukkan jeli dengan diameter kurang atau sama dengan 45 milimeter dan tidak boleh mengandungi konjak.

Berdasarkan data pemantauan yang dilaksanakan oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) dari tahun 2018 hingga kini, sebanyak 649 produk jeli telah disampel dan 352 produk daripadanya merupakan produk konjak jeli. Enam sampel produk jeli telah dikesan tidak mematuhi peraturan makanan 139 A dan telah dikenakan tindakan penarikan balik produk oleh KKM.

Oleh yang demikian, ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memantau pengambilan produk konjak jeli oleh anak-anak bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. KKM juga menyeru orang ramai agar memaklumkan sebarang maklumat berkaitan dengan penjualan konjak jeli kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang berhampiran atau melalui laman sesawang aduan awam KKM (http://moh.spab.gov.my) atau Facebook rasmi BKKM (http://www.facebook.com/bkkmhq).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.