Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada tahun lepas dan awal tahun ini, Malaysia dilanda banjir besar sehingga bukan sahaja memusnahkan banyak harta benda, malah mengorbankan berpuluh-puluh nyawa. Jika dahulu, banjir boleh dijangkakan yang lazimnya akan berlaku pada penghujung tahun di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia sahaja. Kini, banjir boleh berlaku pada bila-bila masa dan di kawasan yang tidak pernah dilanda bencana ini.
Keadaan ini disebabkan oleh perubahan iklim dunia yang ketara pada masa ini gara-gara sikap rakus manusia yang menodai bumi. Pada tahun ini, kerajaan melalui agensinya seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil beberapa inisiatif awal bagi menghadapi bencana banjir yang terjadi ketika fasa peralihan dan musim monsun timur laut di negara ini.
Iklim di Malaysia dicirikan dengan dua rejim monsun, iaitu monsun barat daya yang bermula dari akhir Mei hingga September dan monsun timur laut pula berlaku dari November hingga Mac. Monsun barat daya menunjukkan cuaca yang lebih kering, manakala monsun timur laut pula membawa hujan lebat, terutamanya ke negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah.
Tempoh peralihan antara dua monsun ini dikenali sebagai fasa peralihan monsun. Berdasarkan laman web METMalaysia, musim monsun timur laut merupakan musim hujan utama di Malaysia kerana sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur serta Sabah dan Sarawak.
Pada tahun ini, METMalaysia meramalkan monsun timur laut atau dikenali juga sebagai musim tengkujuh dijangkakan terjadi lebih awal, yakni bermula dari 7 November 2022 dan akan berterusan hingga Mac 2023. Menurut kenyataan daripada Ketua Pengarah METMalaysia, Encik Muhammad Helmi Abdullah, keadaan itu dijangkakan menyebabkan negara ini menyaksikan empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan dan berpotensi berlaku sepanjang tempoh ini.
Hujan lebat yang berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan yang berhampiran dengan sungai. Risiko banjir semakin meningkat sekiranya keadaan tersebut berlaku secara serentak dengan kejadian air pasang. Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang semasa musim ini juga boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar berlaku di perairan Laut China Selatan.
Selain persediaan yang dilakukan oleh kerajaan, masyarakat juga perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan bagi menghadapi musim tengkujuh. Persediaan ini sedikit sebanyak boleh meminimumkan kesan banjir selain mengurangkan kematian. Terdapat tiga jenis persediaan yang boleh dilakukan oleh masyarakat, iaitu persediaan sebelum banjir, semasa banjir dan selepas banjir.
Masyarakat perlu sentiasa cakna akan perubahan iklim di kawasan tempat tinggal masing-masing. Dalam dunia teknologi yang serba canggih kini, masyarakat boleh mengetahui maklumat terkini dan sahih secara dalam talian melalui laman web dan portal seperti ramalan cuaca melalui myMETdata, pemantauan hujan dan aras air sungai melalui aplikasi MyPublicInfoBanjir serta ramalan air pasang surut melalui laman web Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Portal myMETdata merupakan portal yang baru sahaja dilancarkan yang menyediakan pelbagai data meteorologi termasuklah data pencerapan cuaca seperti hujan, suhu udara, kelembapan relatif dan angin serta data pencerapan alam sekitar seperti hujan asid, aerosol dan zarah terampai bagi stesen terpilih juga.
Di samping itu, masyarakat juga perlu menyediakan pelan pemindahan selain mengetahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat bantuan bencana di kawasan masing-masing agar jika berlaku keadaan yang mendesak, masyarakat tidak cemas dan dapat menyelamatkan diri dan ahli keluarga dengan segera. Bukan itu sahaja, masyarakat juga perlu memeriksa lubang air seperti longkang atau saliran najis dan membersihkan segala halangan serta memastikan lubang sentiasa tertutup rapat supaya air banjir tidak memasukinya.
Seterusnya, setiap isi rumah juga perlu menyediakan beg kecemasan yang mengandungi barang penting seperti pakaian, kasut, selimut, wisel, wang, lampu suluh dan bateri, makanan tahan lama, kit kecemasan yang mengandungi ubat-ubatan dan kebersihan diri, minuman, telefon bimbit dan dokumen penting seperti sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen mustahak yang lain.
Semasa kejadian banjir berlaku, ahli keluarga yang lebih dewasa perlu mengawasi kanak-kanak agar mereka tidak bermain dengan air banjir kerana boleh mengundang bahaya atau meragut nyawa mereka. Jika terdapat risiko banjir kilat di kawasan masing-masing, sila berpindah ke kawasan yang selamat dan jangan kembali ke rumah tanpa arahan daripada pihak berkuasa.
Sememangnya terdapat banyak keluhan daripada pihak berkuasa yang memaklumkan terdapat segelintir mangsa banjir yang enggan berpindah walaupun telah dipujuk berulang kali. Bagi mereka yang tidak berpindah, elakkan menyentuh barangan elektronik dan sentiasa mengikuti perkembangan keadaan banjir dari semasa ke semasa.
Banjir bukan sahaja membahayakan keselamatan, malah kesihatan mangsa banjir juga terjejas kerana banjir akan menyebabkan sampah-sarap dan lumpur takungan najis keluar bersama-sama limpahan air yang tercemar sehingga membawa pelbagai jenis penyakit bawaan air.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad, terdapat pelbagai jenis kuman seperti bakteria, virus dan parasit yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air dan makanan. Kuman boleh tersebar secara langsung sama ada dengan cara termakan atau terminum sumber makanan dan minuman yang sudah tercemar dengan najis manusia dan haiwan dijangkiti serta persekitaran kotor dengan kehadiran lalat, lipas dan tikus. Mangsa banjir perlu memastikan minuman atau air yang digunakan untuk memasak adalah bersih.
Oleh yang demikian, masyarakat perlu bersedia sebelum, semasa dan selepas berakhirnya bencana banjir tersebut. Bagi mangsa yang berada di pusat pemindahan, mangsa dinasihatkan agar tidak pulang ke rumah sebelum dibenarkan oleh pihak berkuasa. Pada masa yang sama, mangsa boleh memerhatikan kawasan kejiranan dan memberikan bantuan kepada jiran yang terdiri daripada orang tua, kanak-kanak ataupun orang kurang upaya.
Semasa memasuki rumah, mangsa perlu berhati-hati kerana banyak bahaya yang tersembunyi seperti binatang berbisa dan memeriksa dengan teliti segenap ruang rumah jika terdapat tanda rekahan atau mendapan bagi memastikan keselamatan seluruh isi rumah.
Walaupun seseorang itu telah mengambil pelbagai langkah untuk menghadapi bencana banjir semasa musim monsun timur laut ini, namun sedikit sebanyak bencana ini sudah tentunya akan memberikan kesan psikologi kepada mereka yang menjadi mangsa banjir. Pakar Perunding Psikiatri dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Klinikal Management and Science University, Profesor Dr. Muhammad Najib Mohamad Alwi menyatakan bahawa reaksi psikologi kepada musibah di luar jangkaan ini amat bergantung pada tahap ketegaran psikologi individu dan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana.
Oleh itu, untuk mengurangkan kesan emosi yang kurang baik, masyarakat perlu lebih bersedia dengan mengambil langkah persediaan sebelum berlakunya banjir. Jika dahulu, isu psikologi kurang diberikan perhatian, namun masyarakat kini semakin cakna. Bahkan, kerajaan juga melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus mengambil serius akan hal ini. Menurut Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin, KKM akan menyediakan 462 orang pakar kesihatan dan pasukan kesihatan mental serta sokongan di PPS sebagai persiapan dalam menghadapi banjir.
Pada tahun 2015, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menyeru kepada pelbagai pihak untuk bekerjasama dalam menguruskan dan mengatasi kesihatan awam dengan merancang dan merangka program bersifat pencegahan dan kesedaran, pendidikan kesihatan dan intervensi bagi memperkukuh strategi daya tindak dan daya tahan dalam usaha meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa isu psikologi dan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir tidak harus dipandang enteng kerana mereka mungkin mengalami trauma akibat kehilangan ahli keluarga dan kemusnahan harta benda. Jadi, para kaunselor terlatih dan sukarelawan yang terlibat perlu mempunyai kemahiran agar mangsa banjir ini bukan sahaja diberikan bantuan secara fizikal, malah menerima bantuan dari aspek emosi kerana kebimbangan melampau dan kemurungan boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi mereka.
Tuntasnya, perubahan iklim ketara yang berlaku di seluruh dunia termasuklah Malaysia mendorong setiap individu untuk terus cakna, terutamanya semasa musim monsun timur laut berlaku. Pengalaman pada hujung tahun lalu dan awal tahun ini perlu dijadikan sebagai pengajaran. Masyarakat di kawasan yang sering dilanda banjir perlu bersedia dengan melakukan persiapan rapi agar tahap emosi mereka kurang terkesan akibat bencana banjir ini. Gunakanlah kemudahan teknologi yang ada untuk mengetahui segala perkembangan berkaitan dengan iklim di kawasan masing-masing. Bencana alam mungkin tidak berlaku jika setiap individu memainkan peranan masing-masing dalam melestarikan alam sekitar.