11 November 2022, 22:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pavilion Malaysia berjaya merangkul Anugerah Perak daripada Gulf Sustainability Awards 2022 anjuran program Anugerah Antarabangsa yang telah menerima Pengiktirafan Kepercayaan Cemerlang daripada Majlis Piawaian Anugerah Bebas.

Acara berprestij tahunan yang diadakan ini adalah untuk meraikan organisasi di Timur Tengah yang mengamalkan amalan terbaik dalam tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat. Pada tahun ini, Gulf Sustainability Awards 2022 telah mengiktiraf sumbangan daripada beberapa kategori termasuklah kemampanan alam sekitar, kesedaran kemampanan, pembangunan komuniti dan pengurusan air atau sisa.

Pavilion Malaysia adalah satu-satunya pavilion karbon sifar bersih di Ekspo 2020 Dubai yang direka seperti kanopi hutan hujan dan telah menerima pengiktirafan bagi kategori Inisiatif Karbon Sifar. Ekspo Dunia yang diadakan bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022 ini merupakan penganjuran pertama di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan serta disertai oleh hampir 200 buah negara dan organisasi.

Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) selaku agensi pelaksana.

Program ofset telah dilaksanakan untuk meneutralkan karbon yang terkandung dalam bahan karbon dioksida yang dikeluarkan sepanjang proses pembinaan Pavilion Malaysia dan semasa Ekspo 2020 Dubai berlangsung.

MOSTI telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi perolehan 4000 tan karbon dioksida bagi ofset di bawah program National Reducing Emissions from Deforestation and Forest Degradation (REDD Plus).

Pavilion Malaysia telah mengadaptasikan amalan kelestarian di bawah Sistem Pengurusan Hutan Lestari yang diguna pakai di hutan Malaysia. MOSTI juga telah melaksanakan program penanaman sebanyak 500 batang pokok dengan kerjasama KeTSA dan agensinya, iaitu Yayasan Hijau Malaysia. Usaha ini dilakukan sebagai tanda menyokong agenda nasional, yakni Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia.

Inisiatif karbon sifar telah dirancang dan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kecil yang dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), YBrs. Dr. Nor Azlina Ariffin merangkap Ketua Sekretariat Induk Penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai bersama-sama pegawai dari MOSTI, KeTSA, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, SIRIM, Jabatan Standard Malaysia, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Majlis Kayu Kayan Malaysia dan arkitek Pavilion Malaysia, iaitu Hijjas Architects and Planners serta MGTC.

Jawatankuasa ini berperanan dalam menentukan kaedah pelaksanaan inisiatif dan memastikan kaedah tersebut diiktiraf oleh badan antarabangsa.

Pavilion Malaysia yang bertemakan Memperkasa Kemampanan telah menunjukkan komitmen negara terhadap agenda kelestarian melalui pembinaan pavilion karbon sifar bersih di Ekspo Dunia tersebut. Malaysia menggalakkan orang ramai dan pelawat ekspo untuk menyertai perjuangannya melalui kempen #MyButterflyEffect. Pavilion ini dibina dengan mengambil kira pelepasan karbon rendah, elemen hijau, mampan dan penjimatan tenaga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata, “Pengiktirafan sebanyak lima anugerah antarabangsa dalam masa lapan bulan adalah sesuatu yang bersejarah bagi Pavilion Malaysia. Kejayaan ini membuktikan bahawa sebagai Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan berpegang kepada matlamat yang sama, kita boleh menggapai segala kejayaan.”

Ekspo 2020 Dubai telah menunjukkan inisiatif Malaysia ke arah masa hadapan yang lebih mampan dan memaklumkan kepada dunia bahawa Malaysia sedang menuju ke arah yang lebih hijau. Kemenangan terbaharu ini adalah sejajar dengan matlamat negara ini, iaitu untuk mencapai karbon neutral seawal tahun 2050.

Sebagai rekod, terdahulu Pavilion Malaysia telah memenangi Anugerah Emas bagi kategori Projek Mampan (Pembinaan) Terbaik Tahun 2022 oleh Global Architecture and Design Awards (GADA 2022), Anugerah Emas bagi kategori Interpretasi Tema dalam Anugerah Pavilion Ekspo 2020 Dubai anjuran Bureau International des Expositions (BIE), Anugerah Emas untuk Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan Terbaik dalam Anugerah Kempen Pemasaran Asia-Pasifik APPIES APAC 2022 dan Honourable Mention for Best Sustainable Design oleh majalah EXHIBITOR World Expo Awards 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.