10 November 2022, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tech Up Sdn. Bhd. sebagai tuan rumah kebangsaan Universal Robotics Challenge (URC) 2022, iaitu pertandingan robotik pada peringkat antarabangsa bagi pelajar sekolah rendah dan menengah rendah telah mengumumkan keputusan pertandingan maya yang menyaksikan pelajar sekolah Malaysia muncul sebagai pemenang tempat pertama dalam kesemua empat kategori yang dipertandingkan.

URC 2022 yang dianjurkan oleh Artec Co., Ltd. dari Jepun ini dihoskan secara rasmi oleh Jawatankuasa Eksekutif Universal Robotics yang terdiri daripada 38 orang hakim daripada 14 buah negara. Pusingan penilaian projek pada peringkat antarabangsa dimuktamadkan pada Oktober 2022.

Dalam acara Idea Contest (kategori junior), pemenang tempat pertama ialah pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, iaitu Ahmad Aiman Danish Ahmad Syahir, Muhammad Harith Zaeem Hizamuddin dan Adam Hariz Abdul Halim, manakala pemenang tempat pertama bagi acara Idea Contest (kategori senior) pula ialah pelajar dari Sekolah Bina Insan Yayasan MSU, iaitu Muhammad Aliff Norhamizam, Muhamad Afif Muhamad Rizuan dan Zulhafidz Ngisa.

Seterusnya, bagi acara Virtual Robotics (kategori junior), Mi’ Mar Muhammad Sinan Hafizulfahmi dari Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Amin Gombak merupakan pemenang teratas dalam pertandingan ini. Selain itu, bagi acara Virtual Robotics (kategori senior) pula, Orhan Ghazi Hafizulfahmi dari Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Gombak telah memenangi tempat pertama.

Kesemua pelajar ini ialah peserta pada peringkat akhir teratas (peringkat kebangsaan) sebelum mewakili Malaysia untuk bertanding bagi menentang peserta dari Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina dan Korea Selatan. Para pemenang URC 2022 telah menerima sebuah kit ArtecRobo 2.0 daripada Artec Co., Ltd.

URC 2022 pada tahun ini juga telah mencatatkan sejumlah 81 orang peserta dalam acara Idea Contest dan 655 orang peserta dalam acara Virtual Robotics pada peringkat pusingan kebangsaan Malaysia.

Menurut Ahli Jawatankuasa dan Presiden Artec Co., Ltd., Etsu Fujiwara, berikutan kesan pandemik COVID-19 hingga tahun ini, beliau bersyukur kerana masih dapat menganjurkan URC walaupun secara dalam talian.

Menurutnya, tema URC pada tahun ini berkisarkan keselamatan trafik. Hasil kerja setiap peserta terhadap kesedaran keselamatan yang tinggi dan kepintaran yang ditampilkan adalah sangat memberangsangkan. Beliau juga berasa bangga kerana pertandingan ini dapat mendorong peserta untuk berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah.

Tech Up Sdn. Bhd. mengucapkan tahniah kepada semua peserta URC 2022 pada tahun ini, terutamanya kepada sekolah dan peserta kali pertama yang berani mengambil langkah mempelajari ilmu robotik dan menggunakan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam pertandingan ini. Kemenangan SK Sungai Udang dalam acara Idea Contest adalah hasil daripada usaha mereka bertahun-tahun lamanya. Sekolah ini memulakan langkah dalam bidang robotik dengan menyewa sebuah set ArtecRobo dan kemudiannya mendapat sebuah set ArtecRobo secara percuma melalui program Robot4School yang dianjurkan oleh Tech Up Kids Learning pada tahun 2020. Kejayaan peserta dari sekolah ini merupakan contoh ketekalan dan dedikasi sekolah, guru dan pelajar.

Demikian ucapan penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up Sdn. Bhd, Ainaa Rosli dalam pertandingan tersebut.

Dalam acara Idea Contest, peserta diminta untuk menciptakan projek dengan menggunakan set ArtecRobo sebenar dan memuat naik video tersebut melalui YouTube, manakala bagi acara Virtual Robotics pula, pelajar diuji kemahiran mengatur cara dengan menggunakan perisian simulator robotik secara dalam talian.

Tambah Ainaa  lagi, “Tech Up Sdn. Bhd. juga berasa sangat bangga kerana perisian yang telah dibangunkan, iaitu GoTechUp x ArtecRobo dipilih sebagai perisian rasmi dalam acara Virtual Robotics untuk kali kedua oleh URC. Perisian ini berkaitan dengan keselamatan trafik yang membolehkan pelajar merancang strategi dan menghabiskan misi sambil menggunakan konsep pengaturcaraan robotik ArtecRobo.”

Tahun ini merupakan pertama kali URC menerima penyertaan daripada peserta dari negara Amerika Latin seperti Colombia dan Chile di samping peserta baharu dari China dan Filipina sejak pertandingan ini dimulakan pada tahun 2017.

 

Senarai Penuh Pemenang Universal Robotics Challenge 2022

Idea Contest (Kategori Junior)

Tempat Pertama

Ahmad Aiman Danish Ahmad Syahir, Muhammad Harith Zaeem Hizamuddin dan Adam Hariz Abdul Halim dari SK Sungai Udang, Malaysia.

Tempat Kedua

Yusei Takata dari Cands Seminar, Jepun.

Tempat Ketiga

Faiqah Hannan Muhamod Fahmir, Nur Qaseh Imanina Hassan dan Nur Ammara Arissa Mohamad Ali dari SK Datuk Nan Kaya, Malaysia.

 

Idea Contest (Kategori Senior)

Tempat Pertama

Muhammad Aliff Norhamizam, Muhamad Afif Muhamad Rizuan dan Zulhafidz Ngisa dari Sekolah Bina Insan Yayasan MSU, Malaysia.

Tempat Kedua

Takumi Matsumura dari Smile Computer School/Nagasawa Junior High School, Jepun.

Tempat Ketiga

Skylar Freya T. Ang dan Samara Fionna T. Ang dari MGC New Life Christian Academy, Filipina.

 

Peserta Cemerlang Lain dari Malaysia

Idea Contest  (Kategori Senior)

  1. Bartolomew Martinez Webster anak Bujang, Tan Si Wei dan Eleana Ting Tze Qi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, Malaysia.

 

Virtual Robotics (Kategori Junior)

Tempat Pertama

Mi’ Mar Muhammad Sinan Hafizulfahmi dari SRI Al-Amin Gombak, Malaysia.

Tempat Kedua

Ahmad Hasif Supardi dari SK Sri Kulim, Malaysia.

Tempat Ketiga

Y.N. dari Smile Kids Children’s Programming Class, Jepun.

 

Peserta Cemerlang Lain dari Malaysia

Virtual Robotics (Kategori Junior)

  1. Syed Fawwaz Azhari Syed Muhammad Rafie dari SK Setiawangsa, Malaysia.
  2. Nik Khalif Aydin Nik Hassanuddin dari SK Seri Bayu, Malaysia.
  3. Tengku Arissa Kamilia Tengku Razmi dari SK Taman Bukit Maluri, Malaysia.

 

Virtual Robotics (Kategori Senior)

Tempat Pertama

Orhan Ghazi Hafizulfahmi dari Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Amin Gombak, Malaysia.

Tempat Kedua

Mandy Lee En Ting dari SMK Bintulu, Malaysia.

Tempat Ketiga

Takumi Nagiri dari Smile Computer School/Nagasawa Junior High School, Jepun.

 

Peserta Cemerlang Lain dari Malaysia

Virtual Robotics (Kategori Senior)

  1. Muhammad Mohammad Yassir dari SMI Al-Amin Gombak, Malaysia.
  2. Nik Muhammad Zuhayr Hayyan Nik Omar dari Sekolah Menengah Sains Pendang, Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.