7 November 2022, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Keluarga Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh pada 8 November 2022. Fenomena ini akan berlaku 5.8 hari sebelum bulan berada pada kedudukan paling jauh dari bumi. Selain di Malaysia, fenomena ini juga dapat dilihat secara keseluruhan di Asia, Australia, Amerika Utara dan Amerika Selatan serta sebahagian utara dan timur Eropah.

Bagi membincangkan fenomena ini dengan lebih lanjut, rancangan Selamat Pagi Malaysia telah mengundang Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara, Encik Jong Tze Kian. Beliau menyatakan bahawa gerhana bulan penuh berlaku apabila bulan mengorbit dan melintas masuk ke dalam bayang-bayang bumi, iaitu umbra dan penumbra. Apabila bulan bergerak masuk ke dalam kawasan umbra, sebahagian bulan akan nampak gelap dan apabila bulan sepenuhnya masuk ke dalam kawasan umbra, bulan akan berwarna merah. Hal ini disebabkan oleh lintasan cahaya daripada matahari yang masuk ke atmosfera dan terbias sampai ke bulan lalu menghasilkan warna merah.

Fenomena gerhana bulan penuh pada hari Selasa ini berlaku mulai pukul 4.02 petang dan berakhir pada pukul 9.56 malam waktu tempatan. Walau bagaimanapun, fenomena ini hanya dapat dilihat di kawasan tertentu, terutamanya bagi penduduk di negeri Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau lagi, hal ini adalah disebabkan oleh permulaan fasa gerhana penumbra dan separa yang berlaku apabila bulan berada di bawah ufuk.

Bagi penduduk yang berada di Semenanjung Malaysia, fenomena tersebut hanya mula kelihatan ketika fasa gerhana maksimum hingga fasa gerhana penumbra berakhir pada pukul 9.56 malam dan para pemerhati dinasihatkan untuk berada di kawasan yang tinggi.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak Planetarium Negara akan bersiaran secara langsung melalui Facebook rasminya untuk menunjukkan kepada masyarakat fenomena gerhana bulan penuh yang akan berlaku nanti. Namun begitu, tiada pencerapan fizikal yang akan dilaksanakan pada hari tersebut.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, beliau menyeru kepada masyarakat yang berminat untuk mengetahui bidang astronomi dengan lebih lanjut agar mengikuti Facebook rasmi Planetarium Negara kerana segala maklumat akan dikongsikan dalam platform ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.