3 November 2022, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjenamakan semula Program Kitar Semula e-Sisa Mudah Alih (Mobile e-Waste) yang diperkenalkan pada tahun 2015 kepada Projek Kitar Semula Peranti Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Kecil (KITAR) berkuat kuasa pada 1 November yang lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak MCMC, identiti, logo dan slogan baharu, iaitu KITAR: Peranti Lama, Nafas Baharu bermatlamat untuk mengukuhkan dan menambah baik program berkenaan.

Penjenamaan baharu tersebut juga sebagai usaha menyemarakkan semangat menyumbangkan kembali serta menyemai budaya kitar semula dalam masyarakat selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Program ini dijayakan dengan kerjasama enam penyedia perkhidmatan, iaitu Celcom Axiata, Digi Telecommunications, Maxis, REDtone, Telekom Malaysia dan Webe.

Usaha penambahbaikan baharu program tersebut meliputi pelbagai aspek seperti pelantikan rakan usaha sama strategik, iaitu Shan Poornam Metals Sdn. Bhd. dan Flash Malaysia Express Sdn. Bhd. dalam menambah baik aktiviti kitar semula dan logistik selain penyusunan semula pusat sumbangan KITAR di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di seluruh negara. Penyusunan semula ini adalah sebagai kemudahan kepada orang ramai untuk menderma e-sisa selain penstrukturan semula Rakan Strategik kepada Rakan Advokasi.

Terdapat 120 lokasi kotak pengumpulan KITAR yang diletakkan di pusat PEDi terpilih sebagai permulaan dan hasil yang dijana daripada pembelian balik e-sisa mudah alih ini akan diberikan semula kepada PEDi yang mengambil bahagian dan disalurkan kepada acara amal serta aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Sepanjang tujuh tahun pelaksanaannya, program ini telah berjaya mengumpul lebih 4.7 tan metrik sisa elektronik melibatkan 44 rakan kongsi yang terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, industri, peruncit, sekolah, universiti, media serta komuniti termasuklah PEDi di seluruh negara.

Majlis pelancaran penjenamaan semula program tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Teknologi dan Inovasi MCMC, Encik Shamsul Izhan Abdul Majid dalam sebuah majlis yang diadakan di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!