1 November 2022, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Makanan Dunia merupakan peringatan tahunan untuk seluruh warga dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada setiap 16 Oktober bagi memperingati penubuhan Food and Agriculture Organization (FAO) pada tahun 1945.

Menurut FAO, pada masa ini, hampir satu daripada 10 manusia secara global berada dalam keadaan malnutrisi, manakala lebih daripada tiga bilion manusia masih tidak mampu mengamalkan gaya hidup sihat dan sempurna. Dengan kewujudan konflik geopolitik (perang persempadanan antara Ukrain dan Rusia), perubahan iklim yang mendadak serta peningkatan harga bahan mentah dan makanan pada pembekalan rantaian makanan telah menjadi faktor penentu utama dalam ketakjaminan makanan di seluruh dunia.

Di setiap negara yang terkesan dengan faktor tersebut, sudah pastinya pihak kerajaan di negara masing-masing (melalui kementerian yang bertanggungjawab dalam sektor pembekalan dan jaminan makanan) sedang mempertingkatkan segala usaha dengan memberikan sepenuh perhatian kepada sektor pertanian dan hortikultur bagi meningkatkan keberhasilan hasil pertanian yang lebih bernutrisi dan lestari (bebas racun perosak, menggunakan mikrobiota tambahan pada tanah dan baja tinja haiwan).

Tema Hari Makanan Dunia Tahun 2022

Tema Hari Makanan Dunia Tahun 2022 pada tahun ini ialah Leave No One Behind. Menurut kajian terkini FAO, kekangan akses dan kebolehberadaan sumber makanan yang bernutrisi telah semakin meningkat pada saban tahun disebabkan oleh situasi global terkini yang mencabar.

Antara masalah akut yang semakin membimbangkan termasuklah sejumlah 80 peratus manusia yang tinggal di kawasan pedalaman dikategorikan sebagai miskin tegar. Golongan in amat terkesan terhadap kerosakan buatan manusia dan bencana alam semula jadi. Lebih memburukkan keadaan, ada dalam kalangan mereka yang dipinggirkan disebabkan oleh jantina dan geoetnik asal keturunan. Oleh sebab itu, pihak FAO menyarankan semua negara yang sedang mengalami krisis makanan global supaya bersama-sama menggembeleng teknologi, kepakaran dan tenaga dalam menyelesaikan permasalahan ini secara sistemik dengan penuh kesepakatan sejagat.

Pembangunan dan transformasi sistem agropemakanan ke arah produktiviti, nutrisi, persekitaran dan gaya hidup yang lebih baik akan menghasilkan penyelesaian krisis yang lestari dan holistik dengan memberikan kesan tidak langsung kepada perkembangan ekonomi yang berdaya saing tinggi untuk jangka masa panjang.

Kepentingan Hari Makanan Dunia

Pada peringkat global, sekitar satu daripada lima orang kanak-kanak di bawah umur lima tahun dikategorikan sebagai bantut dan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai nutrisi yang lengkap. Berdasarkan laporan dalam The UN’s Food and Agriculture Organization’s State of Food Security and Nutrition pada tahun 2022, kebuluran dunia meningkat secara drastik pada tahun 2021, manakala sebanyak 828 juta orang secara global dianggarkan terkesan akibat kebuluran.

Keadaan ini bertambah buruk dengan ketidakstabilan arah alir pemulihan sosioekonomi dalam kalangan negara yang terjejas akibat COVID-19 dan kadar pemulihan taraf hidup yang perlahan bagi menggantikan sumber pendapatan yang hilang ketika musim wabak tersebut memuncak. Pihak FAO turut menyasarkan bahawa situasi ini bakal menyebabkan sebanyak 670 juta manusia berhadapan dengan risiko kebuluran menjelang tahun 2030. Oleh hal yang demikian, sasaran kelaparan sifar yang termaktub dalam agenda utama Matlamat Pembangunan Mampan pada tahun 2015 perlu dipertingkatkan dengan lebih serius dan pantas.

Ketakjaminan Makanan yang Semakin Membimbangkan

Pihak PBB mendefinisikan jaminan makanan dalam konteks manusia itu adalah mendapat akses secara fizikal, sosial dan ekonomi kepada sumber makanan yang bernutrisi, selamat dan mencukupi serta menepati ciri diet makanan yang membolehkan seseorang itu kekal aktif dan menjalani gaya hidup yang sihat.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh FAO pada tahun 2021, lebih 2.3 bilion manusia di dunia telah direkodkan mengalami ketakjaminan makanan pada tahap sederhana dan membimbangkan. Bahkan, sebelum kedatangan pandemik COVID-19, sebanyak 11.7 peratus populasi dunia pada tahun 2020 telah pun menghadapi ketakjaminan makanan pada yang peringkat yang teruk, iaitu melibatkan lebih daripada tiga bilion manusia yang masih tidak mampu mendapatkan akses kepada diet makanan yang sihat.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan peningkatan inflasi, kebimbangan berterusan terhadap pandemik COVID-19 dan konflik berterusan antara Ukraine dengan Rusia yang telah menyebabkan pengurangan bekalan makanan penting yang semakin membimbangkan, terutamanya di negara yang mempunyai kadar kemiskinan tegar yang tinggi.

Umum mengetahui bahawa Ukraine dan Persekutuan Rusia membekalkan sebanyak 30 peratus dan 20 peratus bekalan eksport gandum dan jagung selain menjadi pembekal utama baja pertanian dunia. Dalam hal ini, sekurang-kurangnya 50 negara dunia merupakan pengimport utama, yakni sebanyak 50 peratus sumber gandum dan sebahagian besarnya daripada negara di benua Afrika dan negara kurang membangun. Konflik geopolitik tersebut telah menyebabkan pengurangan pembekalan yang mendadak dan dilihat amat membimbangkan sekiranya tiada pelan kontingensi segera diwujudkan oleh kerajaan pengeksport tersebut.

Menangani Isu Ketakjaminan Makanan dan Nutrisi Yang Lemah

Pihak FAO menyarankan semua pihak kerajaan di dunia untuk mula menilai kembali dan memberikan sokongan dalam semua sudut; sektor huluan (pertanian) sehinggalah sektor hiliran (pemprosesan dan produk makanan berkualiti dan selamat). Segala polis pertanian yang tidak relevan atau lestari (mesra alam dan bebas racun serta logam berat), pasaran perdagangan fiskal, polisi keselamatan dan penyediaan subsidi yang tidak seimbang pada sepanjang pembekalan rantaian makanan perlu dilihat kembali dengan lebih telus dan sistemik agar promosi penghasilan produk makanan yang lebih bernutrisi, murah dan selamat dapat dipertingkatkan.

Intervensi terhadap profil pasaran dan perdagangan semasa juga dilihat lebih perlu diutamakan kerana hal tersebut sangat berkait rapat dengan kebolehupayaan kuasa membeli para pengguna untuk mendapatkan sumber makanan yang berkhasiat dan sihat.

Kebanyakan negara di dunia memberikan subsidi yang banyak kepada sumber makanan ruji utama dan jarang-jarang tertumpu kepada komoditi lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang. Oleh hal yang demikian, FAO menyarankan supaya pihak kerajaan untuk mula mempelbagaikan sumber makanan utama dengan mempromosikan sumber makanan alternatif baharu yang lebih berkhasiat, mudah diperoleh dan mempunyai daya tahan serangan penyakit atau makhluk perosak yang tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.