Oleh Asmah Sabtu
28 Oktober 2022, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perpustakaan merupakan pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat yang telah beroperasi sejak sekian lamanya. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengangkat martabat ilmu melalui perpustakaan untuk memenuhi fungsi asasnya sebagai pusat perkongsian sumber maklumat yang sahih dan memiliki kredibiliti yang tinggi. Usaha ini jelas berpaksikan kepada agenda mengarusperdanakan pembelajaran sepanjang hayat, terutamanya dalam kalangan mahasiswa.

Sejak tertubuhnya perpustakaan akademik pertama di Pakistan sekitar tiga ribu tahun lalu, fungsi perpustakaan telah memberikan manfaat yang sangat besar terhadap jutaan pengguna di seluruh dunia. Dewasa ini, kemajuan teknologi dan pembangunan aplikasi pintar telah mencipta medium baharu perkongsian sumber maklumat dan tempoh masa untuk memperoleh maklumat juga semakin pantas.

Konsep perkhidmatan diperibadikan (personalized services) telah menjadi tarikan baharu dalam kalangan penyedia perkhidmatan moden. Perkhidmatan ini menyediakan pengalaman pelanggan yang disesuaikan dengan keperluan dan pilihan individu. Dalam hal ini, perkhidmatan perpustakaan yang berpotensi menjadi pilihan pengguna masa kini adalah tidak terkecuali bagi memenuhi keperluan orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang tepat, pantas dan terkini.

Menyedari keperluan semasa ini, Perpustakaan Digital Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah membangunkan aplikasi mudah alih dan portal perpustakaan yang dikenali sebagai Mobile App@UiTM dan portal My Knowledge Management (MyKM). Kedua-dua perkhidmatan digital ini menawarkan perkhidmatan perpustakaan secara peribadi dengan pengaksesan di seluruh dunia pada bila-bila masa, khususnya buat pengguna perpustakaan di UiTM.

Antara kelebihan utama aplikasi Mobile App@UiTM ini ialah ketercapaian terhadap perkhidmatan dan koleksi perpustakaan secara mudah, pantas dan tanpa melibatkan kos. Mobile App@UiTM boleh diperoleh dengan mudah, iaitu dengan memuat turun aplikasi tersebut daripada laman web Perpustakaan Digital UiTM.

Aplikasi Mobile App@UiTM menawarkan maklumat tentang perpustakaan yang perlu diketahui oleh pengguna, khususnya mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti. Aplikasi ini dibangunkan dengan cukup ringkas, padat dan interaktif yang bersesuaian dengan gaya hidup pada masa ini. Kepelbagaian akses terhadap perkhidmatan dan koleksi perpustakaan ini juga mampu melonjakkan prestasi penggunaan perpustakaan.

Aplikasi Mobile App@UiTM.

Aplikasi Mobile App@UiTM turut menawarkan menu pencarian maklumat sehenti. Umum mengetahui bahawa perpustakaan mempunyai pelbagai koleksi maklumat seperti e-buku, buku audio, e-artikel, e-jurnal, peta digital, e-tesis dan e-persidangan. Bahkan, kepelbagaian bentuk maklumat elektronik ini turut tersedia dalam bentuk bercetak.

Menerusi menu pencarian maklumat sehenti yang terdapat dalam aplikasi tersebut, kesemua bentuk maklumat ini telah diintegrasikan bagi memudahkan pemilihan maklumat penuntut, terutamanya dalam aktiviti penyelidikan. Selain itu, maklumat judul pilihan juga akan disimpan bagi memudahkan pengesanan maklumat tersebut pada bila-bila masa.

Rekod pengenalan diri sebagai mahasiswa universiti turut disimpan dalam aplikasi Mobile App@UiTM. Kemudahan ini bertepatan dengan konsep perkongsian sumber antara perpustakaan di bawah seliaan Perpustakaan Negara Malaysia yang telah membenarkan akses sumber maklumat dilakukan oleh mahasiswa universiti melalui mana-mana perpustakaan akademik di seluruh Malaysia. Dengan hanya mempamerkan pengenalan diri sebagai mahasiswa universiti, ketercapaian terhadap sumber maklumat yang amat luas dan pelbagai telah tersedia.

Selain itu, Portal MyKM ialah medium perkhidmatan secara peribadi dalam Perpustakaan Digital UiTM. Antara kelebihan utama portal MyKM ini termasuklah penyediaan maklumat secara terperinci dan disusun berdasarkan bidang pengajian mahasiswa. Dalam hal ini, mahasiswa hanya perlu klik masuk ke portal MyKM dan judul terkini koleksi perpustakaan dalam pelbagai bentuk maklumat akan tersenarai untuk dipilih oleh pengguna, termasuklah koleksi digital kertas soalan peperiksaan.

Portal MyKM dalam Perpustakaan Digital UiTM.

Sementara itu, bagi para penyelidik dan pensyarah UiTM yang telah berjaya menerbitkan hasil penyelidikan mereka dalam jurnal berindeks dan berimpak, portal MyKM turut menawarkan menu My Article. Menu ini mengandungi maklumat terkini h-indeks bagi setiap penulis. Maklumat indeks sitasi penerbitan oleh penyelidik ini sentiasa dikemas kini dan amat berguna untuk menggalakkan pengeluaran penulisan penyelidikan.

Tidak ketinggalan, aplikasi ini juga menyediakan kemudahan khusus buat golongan orang kurang upaya (OKU) bagi keperluan dalam perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan secara peribadi ini. Kemudahan pengaksesan maklumat dalam Perpustakaan Digital UiTM telah diubah suai mengikut kesesuaian dan keupayaan golongan ini. Perubahan ini demi menjamin lima perkara yang terkandung di dalam Polisi Pengajian Pelajar Kurang Upaya 2018 UiTM, iaitu terangkum, ketercapaian, kesetaraan, saksama dan kebolehubahan.

Keperluan golongan OKU dalam Perpustakaan Digital UiTM.

Sebagai kesimpulannya, aplikasi Mobile App@UiTM dan Portal MyKM merupakan medium penyebaran maklumat perpustakaan yang responsif terhadap perubahan teknologi maklumat dan proses pendigitalan pada masa ini. Perpustakaan Digital UiTM juga amat mengambil berat keperluan dan kehendak setiap lapisan kelompok pengguna dalam persekitaran universiti.

Demi mencapai matlamat strategik UiTM untuk menjadi universiti tersohor pada tahun 2025, Mobile App@UiTM dan Portal MyKM memenuhi keperluan maklumat peribadi warga universiti dalam era digitalisasi ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.