Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPerkembangan teknologi dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 turut memberikan tempias kepada teknologi kenderaan yang turut berubah dengan sangat pantas. Teknologi yang ketika dahulu hanya terdapat di dalam filem atau drama sains fiksyen seperti Knight Rider, Viper dan Back to the Future, sebahagiannya telah menjadi kenyataan.
Teknologi kenderaan berautonomi adalah antara teknologi yang cukup popular. Secara umumnya, terdapat enam klasifikasi bagi mengkategorikan sistem kenderaan berautonomi yang diwujudkan oleh Society of Automotive Engineers (SAE).
Tahap sifar merupakan tahap tanpa automasi. Secara umumnya, kenderaan dalam tahap ini merupakan kenderaan yang biasa dilihat di atas jalan raya. Pemandu masih diperlukan untuk semua keadaan atau situasi pemanduan.
Tahap satu pula dipanggil tahap bantuan pemandu. Pada tahap ini, pemandu masih perlu memandu dan hanya satu sistem automasi yang wujud seperti pengawal luncur pada kenderaan tersebut. Banyak kereta moden mempunyai sistem automasi ini.
Tahap dua pula dikenali sebagai tahap separa automasi yang merujuk kenderaan boleh mengawal stereng dan pecutan kenderaan pada keadaan atau situasi tertentu. Pemandu juga boleh mengambil alih kendalian kenderaan daripada sistem automasi pada bila-bila masa. Kereta Tesla Autopilot merupakan contoh kenderaan dalam kategori ini.
Tahap tiga merupakan tahap automasi bersyarat. Pemandu kenderaan pada tahap ini mampu mengawal pemanduan dan kelajuan secara autonomi dalam persekitaran biasa tetapi memerlukan pengawasan. Pemandu boleh atau perlu mengambil alih kendalian kenderaan daripada sistem automasi pada bila-bila masa. Antara contoh kereta dalam kategori ini termasuklah Mercedes Drive Pilot.
Tahap empat pula merupakan kenderaan berautonomi tinggi, namun sistem automasi ini tidak dapat berfungsi pada semua keadaan atau situasi. Kereta Waymo dan Magna MAX4 adalah antara contoh kereta di bawah kategori ini.
Kenderaan yang dikategorikan pada tahap 5 merupakan kenderaan berautonomi penuh, yakni kenderaan tersebut boleh bergerak tanpa memerlukan sebarang bantuan daripada pemandu dan berfungsi pada semua keadaan. Sehingga kini, belum ada kenderaan yang mencapai tahap ini. Namun demikian, hal ini bukanlah perkara yang mustahil memandangkan perkembangan teknologi kenderaan berautonomi berkembang dengan sangat pantas.
Meskipun teknologi ini tertumpu pada kereta, tidak mungkin kenderaan awam turut menggunakan teknologi ini pada masa akan datang. Namun begitu, masih terdapat sebahagian pengguna yang masih skeptikal dengan teknologi ini disebabkan oleh perasaan kurang yakin dengan keselamatan kereta dan penumpang dengan penggunaan teknologi ini. Hakikatnya, kehadiran teknologi ini dapat memudahkan banyak urusan pemanduan seperti meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang sempit dan pemanduan di kawasan berbukit.
Penyusutan bekalan bahan bakar fosil dunia bukanlah perkara yang asing lagi. Kenderaan yang pada umumnya bergerak menggunakan petrol dan diesel turut terkesan dengan keadaan ini. Atas dasar ini, banyak penyelidik telah mengorak langkah memikirkan penyelesaian yang sesuai bagi mengatasi masalah kekurangan bahan api fosil. Antara cadangan yang popular pada ketika dahulu termasuklah penggunaan biobahan api seperti biodiesel sebagai ganti kepada petrol atau diesel.
Namun begitu, cadangan itu tidak diterima ramai. Hal ini mungkin disebabkan oleh bahan api biologi masih memberikan kesan kepada alam sekitar, iaitu pencemaran udara. Hal ini menyebabkan cadangan yang lebih mesra alam sekitar, iaitu penggunaan bateri atau elektrik sebagai ganti kepada bahan bakar fosil diterima baik oleh banyak pihak.
Secara umumnya, kereta berasaskan bateri selalunya dipanggil dengan kenderaan elektrik (EV), manakala kereta yang menggunakan sistem hidrogen dipanggil kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV). Di Malaysia, bilangan EV sangatlah kecil, namun bilangan kereta hibrid, iaitu kereta yang menggabungkan kuasa bateri dan petrol meningkat dengan ketara. Maka, tidak mustahil jika berlakunya peningkatan bilangan EV secara mendadak dalam masa terdekat.
FCEV pula tidak mendapat sambutan yang tinggi di serata dunia. Hal ini disebabkan oleh kosnya yang jauh lebih tinggi berbanding dengan EV. Sebagai contohnya, kereta hidrogen Hyundai NEXO adalah 1.7 kali ganda lebih mahal daripada kereta elektrik Hyundai Kona EV.
Namun begitu, kelebihan FCEV yang mengecas kereta dengan kadar yang jauh lebih cepat daripada EV menjadikan teknologi FCEV masih bertahan dan kajian terhadap FCEV masih berjalan. Jadi, tidak mustahil jika dalam masa beberapa tahun lagi harga FCEV menurun dengan perubahan teknologi yang menyebabkan kos pembuatan FCEV menjadi optimum.
Sistem komunikasi kenderaan atau pemindahan maklumat sesama kenderaan, manusia dan infrastruktur merupakan teknologi yang mendapat perhatian dalam kalangan pembuat kenderaan. Sistem pemindahan maklumat ini terbahagi kepada beberapa jenis perpindahan maklumat seperti daripada kenderaan hubung infrastruktur (V2I) kenderaan hubung rangkaian (V2N), kenderaan hubung kenderaan (V2V), kenderaan hubung pejalan kaki (V2P) dan kenderaan hubung peranti (V2D). Rangkuman sistem ini dikenali dengan istilah sistem kenderaan hubung segalanya (V2X).
Sebagai contohnya, apabila sesebuah kenderaan bergerak dengan laju, data halaju kenderaan tersebut dipindahkan kepada kenderaan lain. Hal ini menyebabkan pelanggaran dapat dielakkan apabila pemandu kenderaan lain mendapat maklumat tersebut dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan datang daripada kenderaan yang laju itu.
Pejalan kaki pula boleh menerima maklumat mengenai jarak dan halaju kenderaan, tempoh lampu isyarat dan lain-lain lagi. Sistem ini juga membolehkan pejalan kaki dapat mengagak jadual dan masa kehadiran bas serta maklumat lain yang berkaitan dengan sesuatu kenderaan.
Sistem ini turut mempunyai sisi negatifnya yang tersendiri seperti pelanggan terdedah kepada perkongsian maklumat sulit sesama pengguna akibat penggodaman sistem sehingga berlakunya kebocoran maklumat sulit. Selain itu, antara perkara yang perlu diperhatikan termasuklah keperluan infrastruktur tambahan bagi menyokong sistem ini.
Teknologi realiti terimbuh pula adalah antara teknologi yang dibayangkan akan merevolusikan industri automotif. Dengan teknologi ini, pemandu akan memperoleh maklumat secara tepat dan data masa nyata semasa memandu. Maklumat seperti jalan yang terlalu sempit, kereta yang sangat hampir atau selekoh tajam berada di hadapan akan kelihatan secara nyata di skrin kenderaan.
Namun begitu, teknologi ini tidak terlepas daripada kritikan. Hal dikatakan demikian kerana paparan tambahan ini mampu menyebabkan pemandu lebih leka semasa memandu dan berpotensi tinggi untuk berlakunya kemalangan.
Teknologi papar pandu atau head-up display (HUD) pula adalah sistem di di cermin hadapan kereta yang memaparkan pelbagai maklumat. Teknologi ini akan meletakkan segala notifikasi daripada telefon di cermin kereta. Hal ini dapat mengurangkan kelekaan pemandu terhadap telefon. Namun begitu, sesetengah pemandu masih belum selesa dengan paparan notifikasi di cermin yang dianggap mengurangkan ruang pandangan pemandu. HUDWAY Drive merupakan antara syarikat yang terkenal membekalkan teknologi ini kepada kenderaan.
Sisi positif yang terdapat pada teknologi realiti terimbuh dan HUD menyebabkan banyak ramai syarikat dalam industri yang ingin menggabungkan kedua-dua teknologi ini. Sebagai contohnya, syarikat Panasonic Automotive membangunkan teknologi HUD realiti terimbuh dan hasil yang terpapar di cermin kelihatan lebih baik dan hampir pada keadaan sebenar.
Teknologi seterusnya ialah teknologi kereta terbang. Teknologi ini sebenarnya sudah lama dibangunkan. Meskipun peralihan teknologi ini kelihatannya mudah dan dilihat sebagai hanya perlu memindahkan teknologi daripada kapal terbang kepada sebuah kereta, namun hakikatnya teknologi kereta terbang dilihat mencabar untuk dihasilkan dengan baik. Hal ini disebabkan oleh pelbagai isu keselamatan seperti kegagalan sistem mekanikal dan elektronik pada kereta antara faktor besar yang menjadi halangan kepada perkembangan teknologi ini.
Namun begitu, faktor utama yang menjadi penghalang kepada perkembangan kereta terbang ini secara umumnya adalah disebabkan oleh sistem perundangan sesebuah negara. Hal dikatakan demikian kerana dengan wujudnya teknologi kereta terbang, risiko pencerobohan sempadan negara, pencemaran bunyi dan pertindanan dengan sistem penerbangan yang sedia ada boleh berlaku.
Walau bagaimanapun, teknologi ini bukanlah perkara yang mustahil. Sebagai contohnya, syarikat dari Slovakia berjaya mencipta kereta terbang yang yang dinamakan Klein Vision AirCar yang menggunakan enjin petrol dan kapasiti enjin 1.6 liter dengan sayap yang boleh disorokkan di dalam badan kereta. Namun begitu, kereta terbang ini menyerupai kapal terbang kerana masih memerlukan landasan untuk berlepas, tidak seperti helikopter yang boleh berlepas secara menegak.
Antara teknologi lain yang dibangunkan untuk sesebuah kenderaan termasuklah:
Secara keseluruhannya, pelbagai teknologi akan dibangunkan untuk kenderaan atau kereta secara khusus. Terdapat kemungkinan pada masa hadapan, semua teknologi ini dapat digabungkan dan kita mampu melihat sebuah kereta terbang tanpa pemandu dan mampu berkomunikasi dengan kenderaan lain dengan sangat efisien.
Namun begitu, jika difikirkan kewajarannya, seekor burung merupakan makhluk ciptaan Tuhan Yang Maha Esa mempunyai gabungan teknologi seperti di atas. Hebat, bukan?