Oleh Goh Ying Xian
12 Oktober 2022, 14:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

One Health merupakan konsep yang membawa maksud kesihatan untuk semua. Konsep kesihatan holistik ini diwujudkan untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan beberapa pihak berkepentingan seperti manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar.

Rajah 1 Konsep One Health melibatkan manusia, haiwan dan alam sekitar. Rajah pada sebelah kanan menunjukkan beberapa cabaran utama kesihatan sedunia dan hubungannya yang dititikberatkan dalam agenda One Health.

Hubungan antara manusia, haiwan dan alam sekitar adalah sangat rumit dan saling berkaitan. Kesilapan yang berlaku pada mana-mana bahagian hubungan ini mampu membawa kepada bencana yang agak serius. Oleh itu, suatu pendekatan yang komprehensif dan inklusif telah diwujudkan, iaitu pendekatan One Health.

Antara bidang yang terlibat dalam pendekatan One Health termasuklah kesihatan manusia (doktor, jururawat, pengamal kesihatan awam dan ahli epidemiologi);  kesihatan haiwan (veterinar, pengusaha dan pekerja pertanian); alam sekitar (ahli ekologi dan pakar hidupan liar atau zoologi) dan lain-lain. Selain itu, One Health turut dilaksanakan pada semua peringkat masyarakat setempat, serantau, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Rajah 2 Hubungan yang saling berkaitan antara manusia, haiwan dengan alam sekitar.

One Health dirangkakan untuk menangani beberapa cabaran global seperti penyakit zoonotik, penyakit bawaan makanan, ketahanan antibiotik dan perubahan iklim. Pada masa ini, dianggarkan sebanyak 60 peratus daripada patogen manusia diperoleh daripada spesies haiwan lain. Sebagai contohnya, pandemik COVID-19 yang melanda dunia merupakan antara contoh penyakit zoonotik. COVID-19 dikatakan berjangkit daripada kelawar kepada manusia melalui beberapa spesies haiwan yang lain. Situasi jangkitan penyakit daripada haiwan kepada manusia ini juga dikenali sebagai limpahan zoonosis (zoonotic spillover).

Selain COVID-19, antara penyakit zoonotik yang paling kerap dilaporkan Malaysia termasuklah denggi. Denggi disebarkan melalui nyamuk Aedes dan boleh menyebabkan kematian. Di Malaysia, wabak denggi secara besar-besaran dilaporkan berlaku pada tahun 1974, 1978, 1982 dan 1990. Hal ini menunjukkan kitaran jangkitan denggi berlaku pada setiap empat tahun. Menurut Health Facts 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar insiden denggi bagi setiap 100 000 penduduk meningkat dalam tempoh 12 tahun, iaitu daripada 167.76 orang pada tahun 2008 kepada 276.11 orang pada tahun 2020.

Penyakit bawaan makanan seperti salmonelosis yang disebabkan oleh bakteria Salmonella merupakan keracunan makanan yang biasa dilaporkan di Malaysia. Bakteria ini biasanya akan mengkolonisasi sistem pembiakan ayam lalu mencemari telur dan alam sekitar. Jangkitan gastroenterik yang disebabkan oleh Salmonella masih berterusan di Malaysia dan menjadi kebimbangan kesihatan awam yang amat serius.

Di Malaysia, kajian menunjukkan bahawa Salmonella yang diasingkan daripada sampel manusia, ayam, itik dan makanan berkongsi sifat genetik yang sama. Dapatan kajian ini mencadangkan bahawa pencemaran silang dan rentas medium antara manusia, ayam, itik dengan makanan mungkin wujud. Tambahan pula, Salmonella yang diasingkan ini mempunyai ketahanan antibiotik yang kuat, terutamanya terhadap Tetrasiklin dan Ampicillin.

Rajah 3 Contoh limpahan ketahanan antibiotik daripada haiwan kepada alam sekitar dan manusia dalam sektor penternakan dan pengeluaran produk ternakan.

Selain itu, krisis ketahanan antibiotik juga merupakan satu daripada cabaran utama yang cuba ditangani melalui konsep One Health. Antibiotik kerap digunakan dalam sektor ternakan negara berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia. Antibiotik ditambahkan dalam makanan haiwan ternakan untuk merawat dan mencegah jangkitan. Antibiotik juga digunakan sebagai penggalak pertumbuhan supaya kadar pertumbuhan dan pengeluaran produk ternakan dapat ditingkatkan.

Penggunaan antibiotik yang berleluasa dalam penternakan telah mendorong kepada penyebaran bakteria tahan antibiotik. Misalnya, selepas antibiotik dimakan oleh ternakan, bakteria komensal ternakan tersebut memperoleh ketahanan antibiotik supaya dapat terus hidup di dalam hosnya. Apabila ternakan itu membuang air besar dan dibersihkan dengan air, bakteria tahan antibiotik ini dikeluarkan bersama-sama lalu mencemari air.

Jika tidak dirawat, air efluen yang mengandungi sisa antibiotik dan bakteria tahan antibiotik ini akan mencemari sungai, laut, mahupun air bawah tanah. Sebagai kesannya, mikrobiom persekitaran terjejas dan lebih banyak bakteria dalam persekitaran ini akan tahan kepada antibiotik.

Sebagai kesimpulannya, One Health merupakan pendekatan berkesan dalam menangani cabaran kesihatan antara manusia, haiwan dengan alam sekitar. Beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan sejak konsep One Health ini diperkenalkan. Antaranya termasuklah pemantauan jangkitan zoonosis menggunakan pemodelan ekologi dan peninjauan jangkitan antara haiwan liar dengan haiwan ternakan di samping penyebaran ketahanan antibiotik antara haiwan tersebut.

One Health merupakan inisiatif keseluruhan yang melibatkan pakar daripada pelbagai bidang yang perlu bersinergi antara satu sama lain supaya matlamat One Health, iaitu mencipta masa depan yang lebih mapan dan sihat untuk generasi yang akan datang dapat dicapai.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.