7 Oktober 2022, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Terumbu karang terbentuk daripada kulit atau tulang karang, polip, kerang dan tiram yang mati. Kesemua bahan ini dimendapkan bersama-sama di dasar laut. Polip baharu akan tumbuh pada bahan mendap yang lama dan membentuk terumbu karang. Terumbu karang merupakan satu ekosistem marin yang unik, kompleks, tinggi produktivitinya dan paling biodiversiti di bumi ini.

Terumbu karang telah wujud sejak beribu tahun yang lalu, malah berjuta tahun dahulu dan terbina daripada organisma yang sangat kecil saiznya. Kebanyakan terumbu karang yang tua telah wujud sejak 25 juta tahun dahulu. Terumbu karang membesar dengan cepat di dalam air yang jernih dan ditembusi oleh cahaya matahari.

Cahaya matahari adalah penting dalam ekosistem terumbu karang bagi menjamin pertumbuhannya. Terumbu karang hidup subur pada suhu 20 darjah Celsius hingga 28 darjah Celsius. Terumbu karang juga didapati membesar dengan cepat di kawasan tindak balas ombak yang kuat. Ombak membawa makanan, nutrien, menyebarkan larva karang laut dan menghalang pemendapan sedimen pada terumbu karang.

Terumbu karang memainkan peranan penting sebagai tuan rumah kepada hidupan marin. Kawasan terumbu karang menjadi habitat pelbagai spesies ikan komersial untuk berlindung, membiak dan mencari makanan. Keindahan terumbu karang yang pelbagai spesies, warna dan bentuknya menjadikan pesona ekosistem hidupan marin di dasar laut.

Habitat terumbu karang di Malaysia dianggarkan berkeluasan 4006 kilometer persegi dan nilai terumbu karang negara dianggarkan antara RM10.1 juta hingga RM174 juta setahun. Hal ini tidak termasuk dengan nilai sumbangan terumbu karang kepada sektor perikanan negara, ekopelancongan, perlindungan pesisiran pantai, nilai potensi farmaseutikal dan nilai estetika.

Di seluruh dunia, terumbu karang dianggarkan menyediakan $375 bilion setahun bagi barangan dan perkhidmatan kepada manusia. Sekurang-kurangnya 94 buah negara dan wilayah mendapat manfaat daripada ekopelancongan terumbu karang.

Pelancong di seluruh dunia melawat kawasan terumbu karang untuk menikmati aktiviti rekreasi yang disediakan, termasuklah menyelam skuba, bersnorkel dan menaiki bot untuk melihat keindahan dasar lautan yang begitu memukau pandangan. Selain itu, jumlah manfaat bersih terumbu karang dunia pada setiap tahun dianggarkan sebanyak $29.8 bilion.

Malangnya, akibat aktiviti manusia yang merosakkan alam seperti yang terjadi di lokasi selaman Paradise One, Pulau Mabul, Semporna, Sabah, terumbu karang kini terancam. Kerja pemulihan kerosakan terumbu karang terpaksa dilakukan di lokasi tersebut apabila tongkang yang membawa bahan binaan dilaporkan telah melanggar terumbu karang di situ.

Kini, terumbu karang lebih terdedah kepada ancaman manusia. Hal ini berikutan susulan tindakan sesetengah individu yang menggunakan pukat tunda dan jaring hantu yang kerap tersangkut serta merosakkan terumbu karang yang berada di dasar lautan.

Selain itu, perubahan iklim dunia serta kesan antropogenik seperti peningkatan paras laut dan pengasidan air laut pula memberikan impak besar kepada kemerosotan kesihatan ekosistem marin seperti berlakunya kelunturan karang. Untuk makluman, terumbu karang mengambil masa selama bertahun-tahun untuk tumbuh semula dengan baik, terutamanya dengan adanya tekanan seperti pelunturan karang. Keadaan ini menyebabkan habitat ekosistem terumbu karang semakin terhakis.

Di perairan Malaysia, terdapat empat spesies terumbu karang yang dikenal pasti sebagai sensitif dan perlu dipulihara. Empat jenis terumbu karang tersebut adalah daripada jenis Acropora, Montipora, Millepora dan Porites. Terumbu karang jenis ini sudah diwartakan oleh kerajaan sebagai khazanah negara yang perlu dipelihara dan dipulihara supaya tidak pupus. Hasil daripada kaji selidik oleh Reef Check Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia pada tahun 2020 mendapati bahawa kesihatan terumbu karang di perairan negara ini semakin menurun.

Di Malaysia, Taman Laut ialah kawasan perairan laut yang ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat hidupan marin termasuklah terumbu karang. Taman Laut ditugaskan untuk mengurus ancaman di kawasan terumbu karang yang dilindungi. Aktiviti pemantauan dilakukan pada setiap tahun untuk mengenal pasti status hidupan marin di Taman Laut. Hal ini perlu dilakukan bagi memastikan terumbu karang yang menjadi sumber ekologi dan ekonomi negara mampu untuk terus menyediakan pelbagai perkhidmatan ekosistem kepada manusia.

Di samping itu, Taman Laut juga merupakan kawasan perairan laut sejauh dua batu nautika (kecuali Pulau Kapas di Terengganu dan Pulau Kuraman; Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Rusukan Besar di Labuan sejauh satu batu nautika) dari tikas air surut terendah yang dizonkan sebagai kawasan terhad atau pelindung sumber lautan termasuklah komuniti terumbu karang yang kaya dengan flora dan fauna.

Sebanyak 42 pulau di seluruh negara diwartakan sebagai Taman Laut membabitkan 13 perairan di Terengganu, sembilan perairan di Pahang, 13 perairan di Johor, empat perairan di Kedah dan tiga perairan di Labuan. Pengezonan perairan laut itu berikutan Malaysia antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia dan terletak dalam kawasan Segitiga Terumbu Karang yang dikelilingi oleh perairan Laut Andaman, Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut Sulawesi. Hal ini menjadikan Malaysia kaya dengan biodiversiti marin berikutan 83 peratus spesies terumbu karang di dunia telah direkodkan.

Selain menjaga ekosistem, Taman Laut turut menjadi penyumbang terbesar dalam industri pelancongan negara apabila taman ini menjadi pilihan utama pelancong untuk menikmati keindahan dasar laut serta alam semula jadi di sekitarnya. Dianggarkan nilai ekonomi keseluruhan dijana daripada perkhidmatan ekosistem Taman Laut sebanyak RM8.7 bilion setahun.

Beberapa kawasan di perairan negara juga diwartakan sebagai Taman Laut seperti Pulau Lima di Johor, Pulau Besar di Melaka, Tanjung Tuan di Port Dickson serta Pulau Songsong di Kedah. Pada tahun 2018, Taman Laut Malaysia berjaya mengekalkan dan meningkatkan tahap kesihatan terumbu karang pada tahap 26 peratus hingga 50 peratus.

Penubuhan Taman Laut pada tahun 1994 adalah hasil cetusan idea daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat sebagai usaha pengurusan sumber marin yang lebih sistematik untuk masa hadapan khazanah laut negara. Kini, Taman Laut di seluruh negara yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah diserahkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi agensinya, Jabatan Perikanan yang berkuat kuasa pada 19 Oktober 2018.

Langkah kerajaan dalam menggabungkan Taman Laut ke Jabatan Perikanan bagi menyusun semula tanggungjawab sumber perikanan di bawah jabatan berkenaan supaya peranan dan fungsi jabatan dapat dipertingkatkan. Hal ini membolehkan jabatan berkenaan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam aspek pengurusan, terutamanya hal berkaitan dengan kebersihan dan pengurusan sampah.

Sementara itu, pembabitan orang awam dalam program Taman Laut juga adalah sangat memberangsangkan apabila kempen atau mesej yang dihebahkan mendapat sambutan baik dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Usaha berkenaan menunjukkan hasil apabila generasi muda kini lebih memahami akan kepentingan pemuliharaan kehidupan marin yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sejak peringkat sekolah lagi generasi muda sudah didedahkan dengan kepentingan dalam menjaga alam sekitar termasuklah di kawasan laut menerusi media massa. Kini, media sosial memainkan peranan yang lebih penting dalam menyalurkan maklumat yang lebih cekap.

Malaysia juga akan menjadikan Taman Laut di luar negara sebagai penanda aras bagi menentukan kejayaan dalam pengurusan Taman Laut di negara ini. Jabatan Perikanan juga telah melaksanakan Tinjauan Semakan Terumbu Karang berdasarkan falsafah “Spesies Petunjuk” sebanyak dua kali dalam setahun bagi mengenal pasti organisma marin yang terdapat secara meluas pada terumbu karang.

Jabatan Perikanan juga mengadaptasi metodologi standard reef check untuk pemantauan terumbu karang yang membolehkan saintis dan pengurus mengesan perubahan pada terumbu karang dari semasa ke semasa. Tinjauan tukun secara tetap juga dilakukan bagi mengenal pasti perubahan awal terumbu karang supaya langkah pemulihan dapat diambil sekali gus memberikan peluang kepada individu berkaitan untuk menjalankan kajian dengan lebih terperinci bagi meminimumkan kerosakan kekal.

Malaysia berhadapan dengan cabaran besar dalam mengurus ekosistem marin. Namun begitu, negara tetap komited dalam melakukan pelbagai mekanisme untuk melindungi dan memulihara terumbu karang. Malaysia juga komited dalam mencapai Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan termasuklah sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan darat dan perairan pedalaman, selain 10 peratus kawasan pesisir dan laut yang dilestarikan melalui sistem perwakilan kawasan perlindungan dan langkah pemuliharaan menjelang tahun 2025.

Tidak ketinggalan juga, Malaysia ingin mencapai sasaran Hidupan di Lautan (SDG-14), iaitu menyasarkan 10 peratus kawasan pesisiran dan perairan marin dipelihara sebagai Kawasan Perlindungan Marin.

Hingga kini, sebanyak 1 510 037.3 hektar, iaitu 3.27 peratus daripada keseluruhan kawasan perairan negara diwartakan sebagai kawasan perlindungan marin. Sekiranya pengeksploitasian tidak terkawal, sumber terumbu karang berisiko dalam menghadapi kepupusan dan seterusnya menjejaskan keseluruhan ekosistem dan sumber lain. Malaysia diiktiraf sebagai antara 12 buah negara mega biodiversiti di dunia dengan industri perikanan negara berikutan menyumbang sebanyak RM14.5 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sememangnya habitat terumbu karang yang dianggarkan berkeluasan 4006 kilometer persegi menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara, terutamanya komuniti pesisiran pantai yang bergantung pada sumber marin. Oleh itu, masyarakat perlu memainkan peranan dalam memelihara terumbu karang ini daripada diancam kepupusan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.