7 Oktober 2022, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Taman MRANTI, iaitu taman teknologi dan hab inovasi terunggul di negara ini akan dinaik taraf untuk mencergaskan semula ekosistem teknologi Malaysia. Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah merasmikan Pelan Induk Baharu Taman MRANTI yang akan memberikan tumpuan pada tiga teras pembangunan, iaitu inovasi, kemampanan alam sekitar dan budaya urban atau setempat, semalam.

Menurut YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Pelan Induk Baharu Taman MRANTI ini akan memupuk keupayaan Malaysia dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan juga teknologi terkini daripada sistem Internet benda (IoT), perkhidmatan protokol Internet (IP) dan makmal kepada kemudahan pembuatan kontrak dengan teknologi canggih.

Taman MRANTI ini akan dilengkapi dengan infrastruktur moden termasuklah jalur lebar berkelajuan tinggi dan teknologi 5G selain insentif dan peluang pembiayaan yang direka untuk menarik golongan profesional muda serta mewujudkan laluan yang stabil bagi bakat berkemahiran tinggi.

Tambah beliau lagi, pelan ini juga dijangka dapat mencipta lebih 8000 peluang pekerjaan baharu untuk Keluarga Malaysia. Taman MRANTI yang mempunyai kawasan seluas 686 ekar ini telah menarik minat banyak syarikat teknologi, termasuklah InterVenn Biosciences, Dedikasi ABA Biosciences, BoomGrow, Spygene Laboratories, Vivantis Technologies dan Reszon.

Lokasi Taman MRANTI yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Malaysia, sebuah hab perniagaan global dan pemangkin transformasi Greater KL membolehkan Taman MRANTI berperanan menyelaras keluaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke pasaran menerusi ekosistem bersepadu dengan memusatkan semua aktiviti teknologi dan inovasi secara setempat.

Taman MRANTI ini juga menyaksikan kerjasama dengan lima buah koridor ekonomi, iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC), Iskandar Malaysia dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dalam mempromosikan dan mengguna pakai keluaran teknologi R&D serta pengkomersialan.

Jelas beliau lagi, lima kluster teknologi sedang dibangunkan di Taman MRANTI, iaitu teknologi dron, pertanian, kesihatan, biosains dan pemboleh 4IR dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM20 bilion dan nilai pulangan sebanyak RM2.8 bilion melalui pajakan tanah oleh MRANTI kepada para pelabur.

Pada masa yang sama, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global bagi melambangkan imej baharu yang lebih meluas serta bersesuaian dengan daya saing bidang teknologi yang tidak mengenal sempadan.

Beliau berharap MIMOS Global akan terus bekerja keras untuk membantu kerajaan memacu pembangunan dan meningkatkan penguasaan dalam sektor kepakarannya, manakala kerajaan pula bertindak menyediakan sokongan kewangan dan kemudahan yang sewajarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!