29 September 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Era digital adalah satu daripada era kehidupan, yakni segala aktiviti yang menyokong kehidupan dapat dipermudah dengan kewujudan teknologi yang canggih.

Bengkel multimedia hibrid.

Hal ini selaras dengan inisiatif Malaysia Digital yang berhasrat untuk melahirkan lebih banyak bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur yang serba lengkap dan terus memastikan keupayaan serta kapasiti negara ini kekal bertaraf dunia.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis tidak ketinggalan dalam menyahut seruan dan saranan daripada kerajaan dengan menganjurkan satu pertandingan, iaitu International Competitive Programming and Multimedia Competition (I-CPROM).

I-CPROM yang dianjurkan pada setiap tahun oleh Jabatan Sains Komputer dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Perlis ini telah menerima sebanyak 85 penyertaan bukan sahaja dari institusi pengajian tinggi di Malaysia, malah turut menerima penyertaan dari institusi pengajian tinggi di luar negara.

Pada tahun ini, I-CPROM telah mendapat kerjasama daripada pelbagai rakan strategik di dalam negara dan di luar negara. Antaranya ialah Asosiasi Perguruan Tinggi Informatika dan Ilmu Komputer (APTIKOM), Universitas Islam Negeri Sunan Ampel (UIN), Politeknik Caltex Riau, Prince of Songkla University (PSU), UTMSPACE, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pusat Teknologi Pembelajaran dan Multimedia, Universiti Sains Malaysia dan International Advertising, Communication and Technology College (IACT College).

Selain itu, I-CPROM juga bekerjasama dengan UiTM Cawangan Terengganu, UiTM Cawangan Perak, UiTM Cawangan Sarawak, UiTM Cawangan Merbok, Uniutama Sdn. Bhd. dan Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis (SSTP Jabatan Pendidikan Negeri Perlis).

Pertandingan ini juga menerima penajaan daripada pelbagai pihak termasuklah MSB Security Sdn. Bhd,, Kawalan Keselamatan BG Sdn. Bhd., The Clove Mont Resort, AUGY Global Marketing Sdn. Bhd., SSTP, Dr. Kadir dari Gleneagles Hospital Medini Johor dan Dr. Moideen dari Poliklinik Puteri dan Surgeri, Skudai, Johor.

Sebanyak dua kategori telah dipertandingkan, iaitu pertandingan pengaturcaraan dan pertandingan multimedia. Kumpulan SeeSharp dari Politeknik Caltex Riau telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah platinum bagi kategori pengaturcaraan. Kumpulan Thundercats dari Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur pula diumumkan sebagai pemenang anugerah emas, manakala kumpulan Vivid Spirit dari UiTM Terengganu merangkul anugerah perak dan kumpulan Olympus dari Politeknik Caltex Riau memenangi anugerah gangsa.

Bengkel pengaturcaraan.

Seterusnya, bagi kategori multimedia, kumpulan KOMPEN dari Politeknik Caltex Riau telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah platinum. Pemenang pingat emas telah dianugerahkan kepada dua kumpulan dari UiTM Cawangan Perlis, iaitu kumpulan Blossoms dan Elite but Chaos, manakala kumpulan Serendipity yang juga daripada UiTM Cawangan Perlis menerima pingat perak. Kumpulan Tarc Multimedia Division (TMD) dari Universiti Tunku Abdul Rahman pula mendapat pingat gangsa.

Bengkel multimedia.
Bengkel multimedia.

Walaupun sudah sedekad berlalu, objektif program I-CPROM ini masih sama, iaitu berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan bakat, kreativiti dan pemikiran kritis pelajar dalam bidang pengaturcaraan dan multimedia. Program ini juga bertindak sebagai platform untuk menapis dan memilih pelajar yang berpotensi untuk mewakili universiti bagi pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Demikian ucapan daripada Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi. Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan pelaksanaan I-CPROM berjalan dengan lancar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.