28 September 2022, 20:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Ekspo Smart Nation 2022 yang berlangsung sejak semalam di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia merupakan suatu penganjuran pameran teknologi terkini yang melibatkan ratusan pempamer dari pelbagai syarikat sama ada di dalam negara atau di luar negara.

Ekspo yang berlangsung selama tiga hari ini memberikan peluang kepada para pengunjung untuk mengetahui pelbagai teknologi digital yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi negara. Kemunculan teknologi digital, termasuklah kecerdasan buatan, robotik, Internet benda dan realiti terimbuh (AR) memberikan impak yang besar kepada hampir setiap sektor, misalnya pendidikan, pengangkutan, pertanian, penjagaan kesihatan, pembuatan, hiburan dan keselamatan awam.

Kini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan revolusi digital ini dan berusaha membuat perubahan baharu dari segi pendigitalan ekonomi negara sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat. Pada masa yang sama, kemajuan teknologi ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi dan menjadikan Malaysia lebih cekap, berdaya saing dan mampan.

Pelbagai pameran disediakan seperti pameran 5G, kecerdasan buatan, realiti maya, robotik, Internet benda serta penyelidikan dan teknologi. Para pengunjung berpeluang untuk bertemu dengan pakar teknologi maklumat dan komunikasi, pihak pembangun dan pembekal aplikasi, syarikat pembangunan infrastruktur dan pihak berkaitan yang lain semasa mengunjungi setiap reruai yang terdapat dalam ekspo ini. Peluang seperti ini memberikan manfaat kepada para pengunjung yang ingin menjalinkan kerjasama untuk kepentingan tertentu atau membolehkan pengunjung merasai sendiri pengalaman dalam menggunakan aplikasi yang terdapat dalam pameran teknologi tersebut.

Salah seorang pengunjung yang menggunakan teknologi Metaverse.

Jika dilihat dari segi pandangan umum, ekspo ini memang sangat bagus dan perlu diadakan secara kerap. Penganjuran ekspo seperti ini akan membuka minda dan menambah pengetahuan masyarakat tentang teknologi yang sentiasa berkembang dengan sangat cepat. Negara luar telah banyak mencapai kejayaan dalam bidang ini berbanding dengan Malaysia. Oleh sebab itu, penganjuran ekspo yang mempamerkan banyak pameran berkenaan dengan teknologi perlu sering diadakan bagi membolehkan Malaysia setanding dengan negara luar.

Demikian ulasan ringkas daripada Eksekutif Pensijilan, Bahagian Pensijilan dan Pemeriksaan Elektrik dan Elektronik, SIRIM International Sdn. Bhd., Encik Rezauddin Hafiz Zainal ketika diminta untuk mengulas sedikit tentang penganjuran ekspo ini.

Encik Rezauddin Hafiz Zainal (kanan) bersama-sama bahan pamerannya, iaitu Sistem Pemantauan Kesihatan Loji Pembersihan Air.

Selain itu, para pengunjung juga berpeluang untuk mengenali teknologi robotik terkini yang berfungsi dalam membantu tugasan manusia. Antaranya ialah robot Delivery Bot yang berfungsi untuk menghantar makanan, ubat-ubatan atau barangan penting lain kepada pesakit di kawasan berisiko tinggi atau pusat kuarantin dengan selamat. Robot ini memiliki kamera dan sistem bunyi yang boleh didengar serta mudah dikawal. Robot Autonomus Floor Scrubber pula berfungsi untuk membersihkan dan membasmi kuman pelbagai jenis permukaan secara berkesan pada kawasan permukaan yang besar tanpa memerlukan bantuan daripada manusia.

Robot Delivery Bot.

 

Robot Autonomus Floor Scrubber.

Sementara itu, Simposium Teknologi Smart Nation 2022 turut diadakan sepanjang ekspo ini berlangsung. Simposium ini menyediakan platform untuk pakar teknologi atau pihak yang berkaitan berkongsikan maklumat tentang teknologi yang menjadi trend pada masa ini, peraturan dan perkembangan yang akan memberikan kesan terhadap sektor ekonomi, mengenali dengan lebih mendalam tentang kecerdasan buatan, pendigitalan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan sebagainya.

Simposium Teknologi Smart Nation 2022 sedang berlangsung.

Ekspo Smart Nation 2022 ini berlangsung dari 27 September 2022 hingga 29 September 2022. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook rasmi ekspo ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.