Oleh Azizi Ahmad
26 September 2022, 22:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Setiap kali menaiki kapal terbang, kita semua akan mendengar pengumuman rutin oleh juruterbang yang menasihatkan penumpang kapal terbang untuk menetapkan peranti elektronik kepada mod pesawat. Kita juga sering dimomokkan dengan kenyataan bahawa tindakan tersebut adalah penting supaya tidak menyebabkan kecemasan kepada kapal terbang. Namun begitu, pernahkah kita terfikir mengapakah peranti elektronik seperti telefon pintar perlu ditetapkan kepada mod pesawat ketika dalam tempoh penerbangan?

Navigasi dan komunikasi penerbangan bergantung pada perkhidmatan radio yang telah diselaraskan untuk meminimumkan gangguan sejak tahun 1920-an. Namun begitu, teknologi digital yang digunakan pada masa ini adalah jauh lebih maju daripada teknologi analog yang wujud sejak 60 tahun yang lalu. Kajian menunjukkan bahawa peranti elektronik peribadi mengeluarkan isyarat dalam jalur frekuensi yang sama seperti sistem komunikasi dan navigasi pesawat lalu mewujudkan gangguan yang dikenali sebagai gangguan elektromagnet.

Pada tahun 1992, dalam kajian bebas yang dijalankan oleh Federal Aviation Administration dan Boeing berkaitan dengan penggunaan peranti elektronik dan gangguan pesawat tidak menemukan sebarang masalah dengan komputer atau peranti elektronik peribadi lain semasa fasa penerbangan yang tidak kritikal, yakni semasa kapal terbang berlepas dan mendarat.

The Federal Communications Commission juga telah mencipta jalur lebar frekuensi terpelihara yang berbeza untuk kegunaan telefon mudah alih, navigasi dan komunikasi pesawat supaya tidak mengganggu antara satu sama lain. Kebanyakan kerajaan di seluruh dunia juga telah membangunkan strategi dan dasar yang sama untuk mencegah masalah gangguan dengan penerbangan. Sejak tahun 2014, Kesatuan Eropah telah membenarkan penggunaan peranti elektronik telah dibenarkan untuk terus hidup di dalam pesawat.

Namun begitu, mengapakah industri penerbangan terus mengharamkan penggunaan telefon bimbit di dalam kapal terbang? Sebenarnya, satu daripada masalah tersebut ialah gangguan rangkaian di atas tanah bumi. Rangkaian wayarles disambungkan oleh satu siri menara di atas tanah. Pada tahun 2021, lebih daripada 2.2 bilion individu telah direkodkan menggunakan kapal terbang. Jumlah yang besar ini adalah berpotensi untuk menyebabkan rangkaian wayarles sedia ada menjadi sarat atau terlebih muatan sekiranya semua penumpang di dalam kapal terbang menggunakan telefon pada waktu yang sama.

Tidak dinafikan bahawa apabila membincangkan hal berkaitan dengan teknologi dan rangkaian mudah alih, perubahan terbesar yang berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah peralihan rangakaian kepada standard yang baharu, iaitu rangkaian wayarles 5G. Walaupun kemudahan ini diinginkan oleh masyarakat dunia untuk data berkelajuan tinggi, keadaan tersebut telah menimbulkan kebimbangan bagi kebanyakan pihak dalam industri penerbangan.

Industri penerbangan melaporkan bahawa spektrum lebar jalur rangkaian wayarles 5G adalah sangat hampir dengan spektrum jalur lebar penerbangan yang menyebabkan potensi gangguan pada sistem navigasi dan keselamatan kapal terbang. Pengendali lapangan terbang di Australia dan Amerika Syarikat juga telah menyuarakan kebimbangan keselamatan penerbangan yang dikaitkan dengan menara pencawang 5G. Walau bagaimana, kebanyakan negara dikatakan sedang menjalankan kajian lanjut tentang isu ini.

Namun begitu, kebanyakan syarikat penerbangan kini menyediakan perkhidmatan Wi-Fi dalam penerbangan, sama ada dengan bayaran tertentu ataupun secara percuma. Sistem Wi-Fi dalam kapal terbang yang telah dibangunkan dilaporkan telah diuji dan disahkan mengikut model dan sistem pesawat secara keseluruhan. Dengan kemudahan  Wi-Fi ini, secara teorinya penumpang boleh menggunakan telefon bimbit di dalam kapal terbang pada bila-bila masa.

Sebagai kesimpulannya, penggunaan telefon semasa dalam tempoh penerbangan pada masa ini tidak menjejaskan keupayaan pesawat untuk beroperasi sepenuhnya. Walau bagaimanapun, kemajuan teknologi 5G dijangka mampu “menceroboh” jalur lebar radio sistem navigasi pesawat. Perlu diingatkan bahawa fasa penerbangan yang paling kritikal ialah berlepas dan mendarat. Berlepas adalah pilihan, namun mendarat adalah wajib.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.