8 September 2022, 20:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis pengumuman penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022 telah berlangsung di Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Dr. K. Nagulendran menyatakan bahawa mendiang Dr. Ranjeet telah mewasiatkan keseluruhan hartanya yang dianggarkan berjumlah RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan penyelidikan pada setiap tahun hingga kini.

Tambah beliau, tindakan tersebut jelas menunjukkan bahawa mendiang Dr. Ranjeet merupakan seorang individu yang memiliki visi dan melihat kepentingan konsep filantropi bagi menyokong penyelidik muda tempatan tanpa mengira bangsa dan agama.

YBrs. Dr. K. Nagulendran kemudiannya mengumumkan penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2022, iaitu Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie dari Universiti Sains Malaysia. Beliau menerima geran penyelidikan berjumlah RM50 000 dengan hasil penyelidikan beliau yang bertajuk Preclinical Assessment of Human Induced Pluripotent Stem Cell-derived Pre-epicardial Cell/Cardiomyocyte Theraphy in Acute Myocardial Infarcted Rat Hearts. Penyelidikan yang dihasilkan ini bertujuan untuk mencipta sel jantung daripada sel stem untuk merawat serangan jantung.

Mendiang Dr. Ranjeet ialah seorang saintis penyelidikan perubatan tanah air terkemuka dan telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam bidang perubatan dan saintifik, khususnya dalam pembangunan makmal diagnostik di Malaysia.

Menurut beliau lagi, mendiang Dr. Ranjeet juga telah mewujudkan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh Medical Research Endowment Fund sejak tahun 1982 dengan menyumbang dana awal berjumlah RM50 000. Seluruh hartanya yang dianggarkan berjumlah RM1 juta diuruskan oleh MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM) menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh untuk digunakan bagi tujuan berkenaan.

Selain peruntukan kerajaan, MOSTI juga mengawal selia Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh. Geran ini kekal menjadi komitmen MOSTI bersama-sama ASM untuk menyokong penyelidik muda tempatan melakukan penyelidikan dalam bidang perubatan dan saintifik.

Geran penyelidikan yang diuruskan menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh sejak tahun 1997 ini telah diberikan kepada 26 orang penyelidik muda dengan jumlah dana sebanyak RM632 265.00.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden ASM, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Puan Hazami Habib.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.