Oleh Aninah Janang
17 Ogos 2022, 19:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ranau  –  Kerjasama penulisan dan penerbitan buku antara Taman-Taman Sabah (TTS) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sememangnya telah lama terjalin. Sebagai hasilnya, sebanyak enam judul buku TTS sebelum ini telah berjaya diterbitkan oleh Bahagian Buku Umum, DBP.

Hubungan akrab yang sedia ada itu diperkukuh lagi pada hari ini menerusi Bengkel Pemurnian Buku Umum TTS dan DBP yang dihadiri oleh lebih daripada 20 orang kakitangan TTS dalam kalangan penyelidik pelbagai bidang dan kepakaran, serta mewakili stesen yang terpilih, iaitu botani; ekologi; entomologi; zoologi; Taman Kinabalu/Poring; Taman Pulau Tiga; Taman Kinabalu; Taman Pulau Sipadan; Taman Tunku Abdul Rahman; dan Taman Marin Tun Sakaran.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat berkongsi pengalaman dan kepakaran beliau kepada peserta Bengkel Pemurnian Buku Umum TTS dan DBP.

Menurut Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP, Tuan Haji Razali Che Mat, menerusi Bengkel Pemurnian Buku Umum TTS dan DBP, penyelidik yang terlibat akan lebih terdedah dan lebih mendalami keperluan terpenting dalam penghasilan sesebuah buku yang pada akhirnya akan memudahkan keseluruhan proses penerbitan. Kerjasama tersebut juga, menurut Tuan Haji Razali merupakan landasan untuk mengetengahkan penghasilan buku yang benar-benar berkualiti dan mampu bersaing di pasaran kelak.

 

DBP percaya bahawa dengan kerjasama sebegini, lebih banyak buku yang berkualiti akan dapat dihasilkan. Diharapkan kerjasama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Keyakinan tersebut turut disandarkan menerusi kepakaran dan bimbingan Editor Kanan dan Editor Bahagian Buku Umum yang turut serta dan  bertanggunjawab mengendalikan bengkel pemurnian tersebut yang diketuai oleh Puan Huznah Sait; Puan Siti Mariam Othman; dan Puan Munirah Ghazali.

Antara peserta Bengkel Pemurnian Buku Umum TTS dan DBP yang hadir.

Tidak ketinggalan, TTS turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen DBP atas kerjasama penerbitan buku yang telah dirancang. Menurut Penolong  Pengarah Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu, Encik Fred Tuh Yit Yu, kumpulan penyelidik yang terlibat dalam bengkel tersebut perlu mengambil sebaik-baik ilmu dan peluang yang diberikan dalam usaha penerbitan buku yang dirancang.

Penolong  Pengarah Penyelidikan dan Pendidikan Taman Kinabalu, Encik Fred Tuh Yit Yu, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Saya percaya bahawa dengan penerbitan buku yang sedang dalam proses pemurnian ini akan dapat meningkatkan lagi semangat para penyelidik di TTS untuk lebih banyak menghasilkan buku pada masa akan datang, khususnya dengan DBP.

Perkongsian peluang penerbitan rencana dalam majalah terbitan DBP dan portal digital, JendelaDBP oleh Timbalan Ketua Editor, Bahagian Majalah, Aninah Janang.

Dalam bengkel tersebut, para peserta turut didedahkan dengan peluang penerbitan rencana dalam 11 majalah terbitan DBP, khususnya majalah Kosmik dan Dewan Masyarakat, serta portal digital JendelaDBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.