11 Ogos 2022, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arang batu masih menjadi sumber utama bagi penjanaan tenaga elektrik di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Sudah berdekad lamanya, Malaysia bergantung pada sumber arang batu untuk menjana elektrik di seluruh negara. Malaysia membeli sebahagian besar sumber arang batu dari Indonesia (63 peratus), Australia (24 peratus), Rusia (11 peratus), dan Afrika Selatan (dua peratus). Suatu ketika dahulu, arang batu dihasilkan di Batu Arang, Selangor. Kini, Sarawak merupakan satu-satunya tempat arang batu dilombong di Malaysia.

Arang batu ialah sejenis bahan enapan hitam mudah terbakar yang terdiri daripada karbon berserta unsur lain seperti hidrogen, sulfur, oksigen dan nitrogen. Sifatnya yang mudah terbakar menjadikan arang batu digunakan dengan meluas sebagai bahan bakar, terutamanya untuk menjana elektrik. Arang batu dianggap sebagai sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kerana bahan ini memakan masa jutaan tahun untuk terbentuk.

Walau bagaimanapun, pembakaran arang batu banyak mendatangkan risiko kepada persekitaran dan manusia. Pembakaran arang batu turut membebaskan karbon dioksida yang menyumbang kepada perubahan iklim. Dari sudut kesihatan pula, antara risiko pembakaran arang batu termasuklah pencemaran udara yang boleh menjejaskan sistem pernafasan. Sehubungan dengan itu, sudah sampai masanya tumpuan dan komitmen kerajaan Malaysia diberikan kepada usaha penjanaan elektrik yang lebih bersih.

Sebagai rekod, Malaysia mempunyai empat loji arang batu dengan penggunaan teknologi super ultracritical. Empat loji tersebut ialah Stesen Loji Janakuasa Elektrik Manjung 4 dan 5 di Perak, Stesen Loji Janakuasa Elektrik Tanjung Bin Energy di Johor dan Stesen Loji Janakuasa Elektrik Jimah East Power di Negeri Sembilan.

Kesemua loji tersebut mempunyai reka bentuk moden yang bergantung pada suhu dan tekanan air yang amat tinggi bagi membolehkan pembakaran arang batu bagi setiap MW/jam. Hal ini membolehkan loji tersebut menghasilkan kecekapan yang lebih tinggi sehingga 40 peratus dengan pelepasan karbon dan bahan lain yang lebih rendah dengan lebihan sedikit sisa.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sedang meneroka daya maju loji arang batu sedia ada yang lain dalam usaha mempercepat proses peralihan kepada tenaga bersih seperti penyerapan, penggunaan atau penyimpanan karbon dan bagi memperkasa semula loji dengan teknologi baharu. Inisiatif ini adalah untuk mempercepat usaha merealisasikan aspirasi kemampanan bagi pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050 seperti yang diumumkan oleh TNB pada tahun lepas.

Dalam konteks ini, penjanaan elektrik melalui sumber tenaga boleh diperbaharui adalah lebih baik daripada arang batu. Tenaga boleh diperbaharui ialah tenaga yang boleh diganti atau ditambah apabila digunakan. Tenaga boleh diperbaharui dihasilkan daripada sumber semula jadi seperti matahari, angin, hujan, air pasang surut, ombak, biojisim dan geoterma. Tenaga boleh diperbaharui juga mempunyai perspektif yang sangat baik bagi pembangunan mapan dan teknologi hijau kerana sumber ini sentiasa tersedia dan tidak akan habis walaupun digunakan dalam kuantiti yang banyak.

Antara aspek penting penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam konteks pembangunan lestari ialah tenaga ini tidak mencemarkan alam sekitar. Pendirian kerajaan Malaysia untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baharu merupakan langkah yang tepat dalam memberikan sinar baharu kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjana elektrik. Tindakan ini juga dianggap sebagai langkah ke hadapan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.

Pihak TNB selaku pemain utama dalam penjanaan elektrik utama negara perlu memulakan usaha untuk melabur dalam tenaga boleh diperbaharui. Memandangkan masa yang kian suntuk, sempatkah Malaysia melepaskan kebergantungan terhadap arang batu bagi menepati janjinya untuk bersifat lebih mesra alam? Meskipun Malaysia mempunyai rancangan jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan ke atas arang batu, adalah sukar buat Malaysia merealisasikannya sekiranya tiada rangka tindakan yang komprehensif.

Pada tahun lepas, penggunaan arang batu di Malaysia dianggarkan sebanyak 42.9 juta tan metrik, 94 peratus daripadanya digunakan untuk menjana elektrik. Oleh sebab itu, usaha berterusan diperlukan untuk mencapai sasaran dalam mencari alternatif untuk menjana tenaga elektrik yang lebih hijau pada masa hadapan. Sememangnya tenaga boleh diperbaharui merupakan sumber yang mahal untuk dilaksanakan pada masa ini, tetapi tindakan ini merupakan langkah yang menguntungkan pada masa depan.

Sumber tenaga boleh diperbaharui yang terawal dibangunkan di Malaysia ialah tenaga hidro. Tenaga hidro atau hidroelektrik merujuk pertukaran tenaga daripada pengaliran air kepada tenaga elektrik. Hidroelektrik menyumbangkan lebih 90 peratus tenaga elektrik dunia yang dihasilkan daripada tenaga boleh diperbaharui. Hidroelektrik menyumbangkan sebanyak 2559.9 MW tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dan menjadikannya sebagai penyumbang terbesar tenaga boleh diperbaharui di negara ini. Malaysia mempunyai hampir 20 stesen janakuasa hidroelektrik yang diselenggara oleh TNB, Sarawak Hidro Sdn. Bhd. dan Sabah Electricity Sdn. Bhd.

Di samping tenaga hidro, terdapat beberapa sumber tenaga boleh diperbaharui lain yang berpotensi untuk menjana tenaga elektrik termasuklah tenaga geoterma. Geoterma ialah tenaga yang dijana daripada haba yang berasal dari dalam bumi. Kebiasaannya, haba dari dalam bumi dialirkan hampir ke permukaan oleh mata air panas. Selain mata air panas, medium lain yang menjana haba dari dalam bumi ialah takungan hidrotermal lain, air garam yang mengalami geotekanan, batuan kering panas dan magma.

Walau bagaimanapun, medium lain selain mata air panas memerlukan teknologi tinggi untuk mengekstrak tenaga haba. Suhu minimum bagi tenaga geoterma yang diperlukan untuk penjanaan tenaga elektrik ialah 125 darjah Celsius melalui stim yang dijana yang bertekanan tinggi.

Di Malaysia, sumber sedia ada tenaga geoterma bagi penghasilan elektrik terletak di Apas Kiri, Tawau, Sabah. Kajian pada tahun 2007 mendapati bahawa kawasan seluas 50 kilometer persegi ini mempunyai takungan geoterma pada kedalaman tiga kilometer dengan suhu air mencecah 235 darjah Celsius. Mata air panas yang terdapat di sini berasal daripada aktiviti volkanik.

Selain itu, antara sumber tenaga boleh diperbaharui lain termasuklah biojisim dan biogas. Biojisim ialah sumber semula jadi yang terhasil daripada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Sumber biojisim terdiri daripada bahan organik seperti sisa tumbuhan, sisa haiwan, tanaman serta bahan buangan sampah pepejal yang boleh ditukarkan kepada tenaga elektrik. Bahan organik ini mudah mereput hasil daripada tindak balas bakteria melalui proses anaerobik. Proses ini menghasilkan gas metana atau biogas yang boleh menjana tenaga elektrik.

Biojisim ialah sumber tenaga keempat terbesar di dunia dan merupakan sumber yang paling banyak di negara ini. Malaysia ialah negara pengeluar minyak sawit mentah kedua terbesar di dunia. Hampir 70 peratus daripada jumlah pemprosesan buah sawit dijadikan sisa buangan. Industri minyak sawit Malaysia menjana lebih kurang 80 juta tan kering biojisim pada setiap tahun.

Tenaga solar sememangnya telah diketahui umum sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui melalui pancaran cahaya matahari. Malaysia berada di kedudukan khatulistiwa dan menerima jumlah cahaya matahari yang tinggi pada sepanjang tahun. Iklim di Malaysia dengan purata suhu antara 21 darjah celsius hingga 32 darjah Celsius menjadikan tenaga solar mempunyai potensi yang besar dalam penjanaan tenaga elektrik. Penggunaan tenaga solar di Malaysia menggunakan kaedah fotovoltan atau panel solar. Kebanyakkan tenaga yang dihasilkan digunakan untuk tenaga elektrik di luar bandar, telekomunikasi, lampu jalan dan navigasi.

Kuasa angin adalah satu daripada potensi sumber tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. Tenaga elektrik juga boleh dihasilkan menggunakan angin. Angin yang bertiup akan memusingkan bilah kipas pada turbin angin. Turbin angin ini disambungkan dengan penjana yang menghasilkan tenaga elektrik. Malaysia boleh dianggap sebagai kawasan yang mempunyai kelajuan angin yang tinggi berbanding dengan negara lain.

Di Semenanjung Malaysia, Mersing dan Kuala Terengganu telah dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai kelajuan angin yang tinggi, manakala di Malaysia Timur pula, Kudat merupakan kawasan yang berpotensi tinggi untuk menerima kelajuan angin yang lebih tinggi. Kuasa angin di Malaysia boleh mencecah sehingga 1.5 MW. Kedudukan Malaysia yang dikelilingi lautan dan mempunyai garis pantai yang luas menjadikan tenaga ombak amat sesuai untuk dipertimbang bagi menerajui satu daripada tenaga boleh diperbaharui dalam penjanaan elektrik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.