10 Ogos 2022, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perokok pasif merujuk seseorang yang tidak merokok tetapi menghidu atau menyedut asap rokok yang dihasilkan oleh perokok aktif tanpa disedari. Apabila perokok aktif merokok, asap yang terhasil akan dilepaskan ke udara. Asap ini boleh berada di udara selama dua jam atau lebih dalam sesuatu ruang walaupun tingkap sudah dibuka.

Perkara yang paling penting untuk diketahui ialah walaupun kita tidak melihat atau menghidu asap rokok, tidak semestinya asap rokok itu tidak ada lagi di kawasan tersebut. Asap rokok juga boleh “kekal’ di dalam rumah dan melekat di permukaan makanan, mainan, perabot dan pakaian. Sesiapa yang terdedah kepada asap ini melalui sentuhan permukaan, mereka dikenali sebagai perokok tertier (thirdhand smoker).

Kajian membuktikan bahawa merokok bukan sahaja menyebabkan kesan sampingan ke atas diri perokok itu sendiri, malah orang sekeliling juga berisiko untuk mendapat pelbagai penyakit akibat menyedut asap rokok. Asap rokok mengandungi lebih daripada tujuh ribu bahan kimia dan sesetengahnya merupakan bahan karsinogenik atau dikenali sebagai bahan yang boleh menyebabkan kanser.

Antara kesan sampingan asap rokok kepada perokok atau perokok pasif ialah risiko untuk mendapat penyakit jantung koronari pada usia muda, lemah paru-paru dan penyakit angin ahmar atau strok.

Wanita dan kanak-kanak merupakan mangsa utama kepada pendedahan asap rokok, terutamanya di kawasan awam. Kesan sampingan bagi perokok pasif yang utama kepada wanita dan kanak-kanak ialah serangan asma yang berlaku secara kerap dan teruk.

Kita perlu sedar bahawa tiada tahap yang selamat bagi pendedahan kepada asap rokok. Oleh sebab itu, kebanyakan kerajaan di serata dunia mengambil tindakan melindungi rakyatnya daripada bahana asap rokok sekunder. Walau bagaimanapun, tindakan yang diambil adalah menjurus kepada mewartakan kawasan larangan merokok di tempat kerja ataupun di tempat awam.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama dua belas bulan dan diikuti dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.

Dengan melarang perokok daripada merokok di kawasan tersebut, kajian mendapati bahawa telah berlakunya pengurangan dari segi bilangan pesakit yang dirawat di hospital akibat penyakit jantung dan asma. Diharapkan juga langkah penguatkuasaan yang telah diambil oleh pihak berwajib dapat membantu melahirkan generasi yang lebih sihat dan bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.

 

Dr. Iskandar Mirza Amran ialah Pakar Kardiologi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.