5 Ogos 2022, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyatakan bahawa berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, tiada sebarang radiasi atau unsur radioaktif dikesan pada dua objek yang disyaki sisa serpihan roket China yang jatuh dan ditemukan di Sarawak baru-baru ini.

MOSTI memaklumkan perkara itu telah disahkan oleh pasukan siasatan awal dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan yang melakukan siasatan terhadap dua objek yang dijumpai di Kampung Kuala Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri, Sarawak.

Empat orang pegawai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) Bintulu bersama-sama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu telah menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.

Berdasarkan ukuran dan hasil siasatan awal di Bintulu telah mendapati bahawa objek pertama yang disyaki bersaiz sekitar lima inci tersebut tidak mengeluarkan sebarang radiasi dan tiada unsur radioaktif, manakala ukuran dan hasil siasatan awal terhadap objek kedua yang disyaki di Batu Niah, Miri juga menunjukkan hasil yang sama.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh MOSTI. Hal ini bermakna kedua-dua objek tersebut adalah selamat untuk dijalankan siasatan dan analisis selanjutnya.

MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kedua-dua objek yang ditemukan itu bagi menentukan sama ada objek tersebut mempunyai kaitan dengan insiden kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik negara China ataupun tidak.

Hasil siasatan dan analisis akan dimaklumkan kemudian dan tindakan sewajarnya akan dipertimbang selaras dengan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) dan triti antarabangsa berkaitan dengan angkasa di bawah kendalian United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA).

Sementara itu, dalam satu kenyataan daripada Agensi Angkasa China mendapati bahawa kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik negara China dikesan pada pukul 12.55 pagi, 31 Julai 2022 waktu Malaysia. Sisa serpihan tersebut direkodkan telah jatuh di sekitar Laut Sulu, iaitu kawasan di antara latitud 9.1 darjah utara dengan longitud 119.0 darjah timur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.