11 Julai 2022, 19:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teknologi digital merupakan penyimpanan, penjanaan atau pemprosesan data melalui penggunaan peranti elektronik. Terdapat pelbagai jenis peranti elektronik dengan sambungan Internet yang memudahkan komunikasi dan interaksi secara maya, terutamanya di platform media sosial. Beberapa jenis skrin peranti elektronik yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian seperti telefon pintar, komputer tablet, komputer riba, televisyen, jam pintar dan papan iklan digital.

Kecanggihan skrin kini dapat dilihat pada fungsinya yang pelbagai, kandungan media yang bervariasi, kepelbagaian medium untuk mencari informasi dan sebagainya. Penggunaan skrin yang interaktif memberikan pengalaman yang menarik kepada pengguna seperti membolehkan komunikasi dengan individu lain seperti dalam permainan video. Saiz peranti digital yang semakin canggih juga memudahkan para pengguna untuk membawa peranti digital mereka ke mana-mana sahaja pada bila-bila masa.

Sebaik sahaja negara ini dilanda pandemik COVID-19, arahan sekatan pergerakan telah dijalankan. Kebanyakan individu terpaksa bekerja dari rumah, pelajar tidak dapat menghadiri sesi persekolahan, taman permainan menjadi sunyi sepi, jalan raya menjadi lengang dan terdapat juga sebilangan rakyat Malaysia yang terkandas di negara jiran. Hal ini menjadikan orang ramai lebih bergantung pada peranti digital yang mempunyai pelbagai fungsi, terutamanya sebagai medium pembelajaran, membeli-belah, melaksanakan pelbagai jenis kerja, mengadakan perbincangan, sumber hiburan dan bersosial secara dalam talian. Menurut Tinjauan Pengguna Internet oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengguna Internet di Malaysia telah bertambah daripada 84.7 peratus pada tahun 2018 kepada 88.7 peratus pada tahun 2020. Pandemik COVID-19 juga telah mengukuhkan lagi platform digital sebagai satu-satunya cara untuk orang ramai mengekalkan hubungan sosioemosi.

Oleh sebab wujudnya pelbagai jenis skrin dan masa penggunaannya yang semakin panjang, konsep screenome telah pun dilahirkan. Screenome merupakan rekod pengalaman seseorang individu yang diwakili sebagai turutan skrin yang dilihat dan interaksi antara skrin dengan orang ramai dari semasa ke semasa. Konsep ini membentuk kehidupan psikologi dan sosial seseorang terhadap peranti digital. Screenome juga mempunyai kaitan dengan pelbagai aspek kehidupan seseorang, termasuklah kesihatan. Masa skrin pula merujuk tempoh penggunaan skrin dan kepelbagaian aktiviti yang dilakukan menggunakan peranti digital, sama ada untuk melakukan tugasan kerja atau digunakan semasa waktu lapang sebagai hiburan. Kategori pengguna skrin terbahagi kepada tiga, iaitu ringan, sederhana dan berat.

Kategori pengguna skrin menurut Tinjauan Pengguna Internet oleh SKMM pada tahun 2020.

Antara aktiviti dalam talian yang biasa dilakukan oleh rakyat Malaysia menurut Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT pada tahun 2021 merupakan aktiviti media sosial (99 peratus), memuat turun gambar, video, filem, muzik dan permainan video (91.8 peratus) dan mencari informasi (89.4 peratus). Bagi tujuan komunikasi, perisian Whatsapp merupakan aplikasi yang paling biasa digunakan (98.7 peratus), diikuti oleh Facebook Messenger (53.9 peratus) dan Telegram (40.1 peratus). Selain itu, bagi aplikasi media sosial pula, pengunaan yang tertinggi ialah Facebook (91.7 peratus), Youtube (80.6 peratus) dan Instagram (63.1 peratus).

Seiring dengan kemajuan teknologi, masa penggunaan skrin yang berlebihan telah menyebabkan kebimbangan yang serius. Situasi ini telah pun menggesa para penyelidik untuk membangunkan sebuah perisian yang dipanggil sebagai Screenomics untuk menyimpan data untuk digunakan dalam kajian kesan penggunaan skrin yang berlebihan terhadap kehidupan manusia. Perisian ini merekod, menyulitkan dan menghantar tangkapan skrin secara automatik tanpa mengganggu pengguna pada setiap lima saat setelah skrin dihidupkan. Sekiranya pengguna skrin menggunakan beberapa peranti digital dalam satu masa, tangkapan skrin akan diambil pada waktu yang sama setelah skrin dihidupkan. Sebagai hasilnya, penyelidik telah mengumpul lebih daripada 30 juta tangkapan skrin ataupun screenome yang diperoleh daripada lebih daripada 600 individu.

Menurut kajian, penggunaan skrin yang berlebihan dikatakan memberikan impak yang besar kepada kesihatan fizikal dan mental seseorang individu. Masa skrin yang berlebihan sering dikaitkan dengan masalah obesiti dan kelesuan. Penggunaan skrin dalam kehidupan seharian menyebabkan pergerakan fizikal manusia menjadi terhad, lalu menyebabkan proses pembakaran lemak di dalam badan tidak dapat berlaku. Hal ini menjadikan seseorang itu lebih terdedah dengan risiko obesiti. Obesiti turut menyebabkan masalah kesihatan lain seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Kesan penggunaan skrin secara berlebihan.

Selain itu, penggunaan skrin yang berlebihan juga mampu menjejaskan kesihatan mental seperti masalah psikologi, emosi yang kurang stabil, kemurungan dan kerisauan. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan individu mudah berasa tertekan dan berlumba-lumba apabila terdedah dengan aktiviti media sosial yang berlebihan. Kebanyakan individu, terutamanya golongan remaja gemar untuk membandingkan kehidupan mereka dengan kehidupan orang lain yang ditonjolkan melalui media sosial. Hal ini menyebabkan mereka berasa tewas dengan kehidupan masing-masing jika dibandingkan dengan kehidupan orang lain yang jauh lebih baik.

Kajian melaporkan bahawa kanak-kanak dan remaja kurang melakukan aktiviti fizikal dan aktiviti di luar rumah serta mengamalkan gaya hidup kurang aktif sejak pandemik melanda. Hal ini menunjukkan bahawa mereka lebih banyak mengisi waktu lapang dengan menggunakan skrin atau tidur dengan lebih banyak. Selain itu, mereka juga mudah berasa jengkel apabila menghadapi masalah kelajuan Internet yang tidak memuaskan dan lebih sukar untuk fokus akan sesuatu perkara. Penggunaan skrin sebelum waktu tidur akan menyebabkan seseorang individu lebih sukar untuk tidur.

Sementara itu, pendedahan skrin yang terlalu awal kepada bayi dan kanak-kanak boleh menyebabkan proses perkembangan otak kanak-kanak menjadi terbantut dan mengakibatkan masalah lambat bertutur, kemahiran motor yang perlahan seperti lambat berjalan dan sebagainya. Selain itu, kanak-kanak yang diberikan pendedahan skrin digital sejak awal usia dikatakan mempunyai masalah tingkah laku seperti masalah hiperaktif dan kesukaran kawalan emosi. Peranti digital juga memberikan kepuasan segera dan melambatkan fungsi minda eksekutif.

Untuk mengehadkan pendedahan skrin kepada kanak-kanak, American Academy of Pediatrics and National Association for the Education of Young Children menyarankan penggunaan skrin adalah tidak melebihi tempoh satu jam sehari bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun hingga empat tahun, manakala penggunaan bagi kanak-kanak berusia kurang daripada dua tahun adalah tidak digalakkan. Kandungan media yang dilanggan oleh kanak-kanak juga perlu dipantau bagi menjamin kualiti penggunaan masa skrin mereka.

Secara keseluruhannya, teknologi digital boleh memberikan manfaat kepada setiap individu sekiranya digunakan secara optimum. Hal ini amat penting kerana dunia pada masa ini berada dalam abad ke-21 yang sedang berkembang pesat berikutan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam Revolusi Perindustrian Keempat. Kesedaran dalam masyarakat mengenai amalan penggunaan skrin yang sihat juga perlulah diterapkan supaya kesejahteraan digital untuk setiap individu adalah terjamin.

 

 

Nur Farisha Irwayu Kadir dan Goh Ying Xian ialah pembantu penyelidik di Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.