17 Mei 2022, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) merupakan penyakit yang tidak berbahaya. Walau bagaimanapun, penyakit ini mempunyai kadar keberjangkitan yang sangat tinggi. Penyakit HFMD ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada 10 tahun.

Punca penyakit ini disebabkan oleh virus daripada kumpulan enterovirus yang tergolong dalam keluarga Picornavirus. Terdapat sebanyak 67 serotip manusia yang terdiri daripada serotip virus Coxsackie, poliovirus, ekovirus, dan enterovirus. Daripada kumpulan enterovirus ini, kebanyakan jangkitan adalah disebabkan oleh virus Coxsackie A16 dan enterovirus 71.

Berdasarkan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dari bulan Januari 2022 hingga 13 Mei 2022, sebanyak 28 957 kes penyakit HFMD telah dilaporkan berbanding dengan hanya 4239 kes pada tahun 2021. Negeri Sembilan melaporkan kes HFMD tertinggi, iaitu sebanyak 1446 kes dan diikuti dengan Pahang sebanyak 1288 kes. Kebanyakan kes berpunca daripada jangkitan dari fasiliti pusat penjagaan kanak-kanak seperti taska dan rumah pengasuh.

Tiada rawatan yang spesifik untuk merawat penyakit HFMD. Walau bagaimanapun, dengan mencuci tangan secara kerap dan menjauhi kanak-kanak daripada mereka yang dijangkiti penyakit ini dapat mengurangkan risiko anak anda mendapat penyakit HFMD. Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang menghidap penyakit HFMD mempunyai gejala yang ringan berserta simptom seperti demam, sakit tekak, berasa tidak sihat dan letih, ruam yang menyakitkan di bahagian lidah, gusi dan di dalam mulut, ruam melepuh yang tidak gatal di bahagian tangan, kaki dan punggung serta hilang selera makan.

Biasanya, tempoh masa infeksi dari permulaan jangkitan penyakit HFMD hingga kanak-kanak mendapat simptom adalah dari tiga hari hingga enam hari. Demam merupakan simptom awal penyakit HFMD dan diikuti dengan sakit tekak dan berasa tidak sihat serta hilang selera makan. Selepas dua hari atau tiga hari mengalami demam, ruam yang menyakitkan akan mula timbul di bahagian hadapan mulut dan di bahagian tekak. Ruam melepuh di bahagian tangan, kaki dan ada masanya di bahagian punggung kanak-kanak pula akan mula muncul selepas satu hari atau dua hari.

Lazimnya, penyakit HFMD hanya berlarutan untuk beberapa hari. Namun begitu, jika anak-anak anda tidak mempunyai selera makan disebabkan oleh ruam yang sakit di bahagian tekak atau keadaan anak anda semakin lemah atau teruk, mereka perlu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan kanak-kanak tersebut mempunyai kadar hidrasi dan garam dalam darah yang mencukupi.

Sementara itu, penyakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan daripada virus Coxsackie A16 termasuk dalam kumpulan virus yang dinamakan sebagai non-polio enterovirus. Biasanya penyakit ini tersebar melalui kemasukan virus Coxsackie A16 ke dalam mulut dan tersebar kepada kanak-kanak lain melalui cecair hidung (hingus) atau tekak, air liur, cecair daripada ruam melepuh, najis, dan hembusan titisan pernafasan semasa batuk atau bersin.

Selain itu, penyakit HFMD kebanyakannya berlaku kepada kanak-kanak di fasiliti pusat penjagaan kanak-kanak seperti di rumah pengasuh atau taska kerana kekerapan penukaran lampin pakai buang, penggunaan tandas yang lebih kerap oleh kanak-kanak ini di fasiliti tersebut dan kanak-kanak juga gemar untuk meletakkan tangan mereka ke dalam mulut mereka. Oleh sebab itu, penularan wabak penyakit ini lebih mudah berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.

Walaupun kanak-kanak yang menghidap penyakit HFMD mempunyai kadar keberjangkitan yang tinggi pada minggu pertama jangkitan berlaku, virus masih boleh berada di dalam badan kanak-kanak selama berminggu-minggu selepas simptom tersebut telah reda. Hal ini bermakna pesakit tersebut masih boleh menjangkiti kanak-kanak lain walaupun mereka sudah tiada simptom penyakit HFMD. Selepas dijangkiti penyakit ini, kanak-kanak akan mendapat imuniti daripada penghasilan antibodi oleh sistem imuniti badan. Walau bagaimanapun, orang dewasa masih boleh mendapat jangkitan penyakit HFMD walaupun pernah mendapat penyakit ini semasa usia kanak-kanak.

Terdapat beberapa komplikasi penyakit HFMD. Antara komplikasi yang paling kerap berlaku ialah dehidrasi, iaitu kekurangan air di dalam badan. Selain itu, ruam di bahagian mulut dan tekak yang menyakitkan membuatkan kanak-kanak hilang selera makan kerana kesakitan semasa menelan makanan atau minuman. Sesetengah kanak-kanak perlu dimasukkan ke dalam wad bagi mendapatkan rawatan hidrasi air melalui intravena.

Walaupun kebanyakan simptom penyakit ini adalah sederhana, terdapat juga beberapa pesakit yang mendapat komplikasi yang serius seperti meningitis (jangkitan virus pada selaput otak dan cecair otak yang berada di kawasan otak dan saraf tunjang) dan ensefalitis (keradangan otak). Kedua-dua komplikasi ini jarang-jarang berlaku dan boleh membawa kepada kematian.

Seterusnya, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko kanak-kanak mendapat penyakit HFMD. Antaranya ialah mencuci tangan dengan kerap, terutamanya selepas menggunakan tandas, menukar lampin bayi, sebelum menyediakan makanan, dan sebelum makan. Jika tandas tidak mempunyai sabun, gunakan tisu basah atau gel alkohol yang mempunyai kesan antibakteria.

Langkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan memastikan tempat yang mempunyai risiko jangkitan kuman ini seperti tandas dan tempat penukaran lampin bayi sentiasa dibersihkan dengan kerap menggunakan cecair pembasmi kuman. Pusat penjagaan kanak-kanak seharusnya mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan premis sentiasa bersih dan dapat mengurangkan risiko transmisi penyakit HFMD. Mereka seharusnya sentiasa membersihkan semua ruangan utama di premis tersebut, termasuklah permainan kanak-kanak kerana virus ini boleh melekat pada permukaan permainan kanak-kanak selama beberapa hari.

Di samping itu, kanak-kanak perlu diajar untuk menjaga kebersihan diri dan memastikan diri mereka sentiasa bersih. Kanak-kanak juga perlu diingatkan agar tidak meletakkan tangan, jari atau objek seperti alat mainan ke dalam mulut. Perkara yang paling penting ialah kanak-kanak yang mendapat penyakit HFMD ini perlu diasingkan (kuarantin) daripada kanak-kanak lain kerana kadar keberjangkitan mereka adalah sangat tinggi. Bagi memudahkan ibu bapa untuk menjaga anak mereka di rumah, kerajaan Malaysia menyediakan kemudahan cuti menjaga anak yang dikuarantin selama lima hari.

Walaupun penyakit HFMD tidak mempunyai rawatan yang spesifik, beberapa ubat akan diberikan bagi mengurangkan simptom penyakit ini seperti ubat demam dan ubat tahan sakit. Jika rawatan tersebut tidak memberikan kesan dan keadaan pesakit semakin lemah, ibu bapa perlu membawa anak mereka berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan pemeriksaan yang selanjutnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!