19 April 2022, 00:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apakah definisi jatuh? Kejatuhan ditakrifkan sebagai peristiwa yang akan mengakibatkan seseorang itu secara tidak sengaja tersandung di atas tanah atau  permukaan dengan paras yang berbeza. Kejatuhan juga boleh dianggap sekiranya sebahagian daripada anggota badan seperti punggung atau lutut bersentuhan dengan tanah atau lantai. Keadaan jatuh ini merupakan suatu bentuk kemalangan dan perkara yang sering ditakuti oleh semua orang, terutamanya dalam kalangan warga emas.

Kini, penambahan bilangan warga emas di Malaysia kian bertambah. Statistik menunjukkan bahawa enam peratus (31 833 964 orang) daripada jumlah penduduk merupakan warga emas dan dijangkakan akan terus meningkat hingga 15 peratus menjelang tahun 2035. Fenomena ini amat membimbangkan kerana golongan warga emas merupakan kumpulan sasaran yang berisiko tinggi untuk jatuh.

Terdapat kajian di Amerika Syarikat yang mendapati bahawa nisbah satu daripada tiga orang yang berumur 65 tahun dan ke atas mengalami insiden jatuh pada setiap tahun. Oleh itu, jatuh ini merupakan perkara atau elemen penting untuk dicegah dan perlu dikurangkan risikonya bagi membantu warga emas mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

Ternyata, setiap warga emas yang jatuh pasti akan mengalami beberapa komplikasi yang teruk seperti tulang patah, kecederaan, perasaan untuk takut jatuh, dimasukkan ke hospital, dan boleh mengakibatkan berlakunya kematian. Antara anggota yang sering berlakunya kepatahan ialah tulang pinggul, tulang belakang, pelvis, dan tangan.

Selain itu, terdapat juga kecederaan serius yang lain direkodkan bagi warga emas yang mengalami insiden jatuh ini seperti pendarahan atau kecederaan pada otak, yang memungkinkan mereka dimasukkan ke hospital dalam jangka masa yang lama. Perkara ini amat membimbangkan kerana boleh memberikan komplikasi yang lebih teruk dan berpanjangan seperti radang paru-paru, trombosis dan pulmonari embolisme yang boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat.

Faktor risiko untuk jatuh dalam kalangan warga emas ini termasuklah peningkatan umur, penggunaan ubat-ubatan yang berlebihan, gangguan kognitif, dan defisit organ deria. Namun begitu, jika diteliti dengan lebih mendalam, terdapat beberapa faktor luaran, dalaman dan situasi yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh dan kebanyakannya boleh dicegah.

Faktor dalaman merujuk perubahan fizikal dan mental yang biasanya berkaitan dengan penuaan (tetapi tidak dikaitkan dengan penyakit) yang dapat mengurangkan kekuatan dan kefungsian anggota badan.  Sebagai contohnya, penglihatan kabur, kekurangan persepsi kedalaman, kemerosotan periferal dan vestibular, kurang rangsangan deria sentuhan dan getaran, kurang daya keseimbangan badan, mobiliti pergerakan yang lemah, otot kaki lemah, penyakit akut dan kronik yang menjejaskan fungsi deria, neurologi, kognitif, dan otot, kecacatan kognitif serta polifarmasi (penggunaan empat atau lebih jenis ubat preskripsi). Akibatnya, pesakit warga emas akan menjadi lebih mudah terjatuh apabila mereka berhadapan dengan sebarang cabaran atau halangan ketika bergerak.

Sementara itu, faktor luaran seperti pencahayaan yang kurang baik, tangga yang tidak selamat dan permukaan lantai yang tidak teratur atau licin serta penggunaan alat bantuan berjalan yang tidak sesuai menjadi penyumbang kepada faktor insiden jatuh ini. Keadaan ini sangat berisiko kepada warga emas dan kebanyakannya faktor ini boleh diubah suai.

Ahli fisioterapi boleh memainkan peranan penting dalam pencegahan jatuh dalam kalangan warga emas. Peranan utama ahli fisioterapi, termasuklah memberikan pendedahan risiko dan kesan insiden jatuh, mengajar dan membantu warga emas ini cara untuk bangun dari lantai dengan selamat dan memastikan kekuatan anggota badan warga emas yang jatuh berada dalam keadaan yang optimum.

Seterusnya, aktiviti senaman yang berstruktur dan berdisiplin dapat membantu mencegah risiko jatuh dalam kalangan warga emas. Senaman berstruktur berkonsepkan santai dengan pelbagai elemen sangat sesuai untuk mencegah insiden jatuh. Berikut merupakan beberapa aktiviti senaman asas dan berstruktur yang sering dipreskripsikan oleh ahli fisioterapi:

Bil.

Jenis Senaman (Individu atau Berkumpulan)

Aktiviti

1.

Regangan (anggota tangan dan kaki).

· Boleh dilakukan dalam keadaan duduk atau berdiri.

· Regangan tangan boleh dilakukan dengan tangan menyentuh belakang badan dan ditolak dengan menggunakan tangan sebelah lagi.

· Regangan paha perlu dibuat dalam keadaan kaki lurus dan tangan perlu mencuba untuk menyentuh ibu jari kaki.

· Senaman regangan perlu bertahan selama 15 saat dan diulang sebanyak tiga kali hingga lima kali.

2.

Keseimbangan badan.

· Di atas tanah rata atau beberapa permukaan yang lebih mencabar (tidak sekata atau lembut).

· Dilakukan pada satu kaki atau dua kaki atau dalam kedudukan separuh melutut (ada kerusi untuk keselamatan atau berteman).

· Dengan mata terbuka atau tertutup.

· Setiap aktiviti boleh dilakukan dalam seminit atau dua minit.

3.

Kekuatan (anggota tangan dan kaki).

· Boleh menggunakan beban atau anggota badan sendiri atau theraband ketika bersenam.

· Senaman kekuatan tangan boleh dilakukan dengan mengangkat beban ke atas dan menghala ke siling serta membengkokkan siku.

· Senaman anggota bawah boleh dilakukan dalam keadaan duduk dengan menggunakan theraband dan mengikatnya pada pergelangan kaki serta meluruskan lutut ke hadapan.

· Senaman “duduk-bangun-duduk” juga boleh dilakukan bagi meningkatkan kekuatan anggota bawah.

· Berjengket dengan teman atau menggunakan kerusi untuk meningkatkan kekuatan di otot betis.

· Senaman kekuatan boleh dilakukan sebanyak 30 ulangan.

4.

Aerobik (kecergasan paru-paru).

· Jalan setempat, turun naik tangga atau berjalan di taman selama 10 minit hingga 20 minit dapat meningkatkan daya tahan atau aerobik.

Senaman di atas  boleh dilakukan selama 30 minit untuk lima hari setiap minggu atau dilakukan selama 50 minit untuk tiga hari setiap minggu dengan intensiti sederhana rendah.

Sebagai kesimpulannya, insiden jatuh boleh menjadi perkara yang membimbangkan dan boleh mengakibatkan kecederaan. Insiden jatuh juga menyebabkan keyakinan seseorang itu untuk bergerak akan berubah serta goyah. Dengan melakukan senaman berkonsepkan pelbagai komponen atau mempunyai asas kekuatan dan keseimbangan selama tiga kali atau lima kali dalam seminggu, keseimbangan dan mobiliti seseorang itu dapat ditingkatkan dan mobiliti dan seterusnya mencegah insiden jatuh dalam kalangan warga emas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.