15 April 2022, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Syarikat telekomunikasi Maxis dengan kerjasama Hewlett Packard Enterprise (HPE) menjadi perintis dalam memperkenalkan sistem penyelesaian digital untuk perniagaan yang dikenali sebagai Multi-access Edge Computing (MEC).

MEC ialah teknologi yang membolehkan masa tindak balas pengkomputeran sepantas satu digit milisaat dengan data yang diproses dan disimpan di pinggir rangkaian. Teknologi ini juga membolehkan sumber awan menjadi lebih dekat kepada pengguna akhir.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, teknologi MEC akan memperkasakan semua pelanggan perusahaan mereka dengan teknologi generasi akan datang.

“Penggunaan kelebihan pengkomputeran rangkaian akan mengurangkan keperluan untuk memindahkan sejumlah besar data ke pusat data yang jauh. Maklumat yang diproses atau disimpan juga lebih dekat dengan sumber dan proses pemindahan data dilakukan melalui rangkaian capaian berkelajuan tinggi yang selamat dan boleh dipercayai seperti 4G, 5G dan Wi-Fi,” katanya lagi.

Tambahnya, MEC amat menarik kepada perniagaan yang mengendalikan aplikasi kelebihan masa kritikal seperti analisis data, kecerdasan buatan, automasi dan pembelajaran mesin.

 Melalui sistem MEC ini, kecekapan dan ketepatan dapat ditingkatkan dengan ketara dalam masa nyata, seterusnya meminimumkan kos ketersambungan dan penyimpanan data.

“Pada masa ini, Maxis sedang membangunkan siri percubaan MEC yang memanfaatkan teknologi rangkaian boleh atur cara Maxis, awan (cloud), Internet Benda dan penyelesaian pintar,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan HPE Malaysia, Robert Lye memaklumkan bahawa HPE sangat teruja dengan kerjasama ini dan berharap sokongan yang diberikan ini akan mencetuskan penggunaan teknologi canggih yang lebih berinovatif di Malaysia.

“MEC ialah teknologi perkhidmatan perusahaan yang berbeza, bernilai tinggi dan kami mengharapkan lebih banyak perusahaan muncul untuk menerima kelebihan yang boleh ditawarkan oleh MEC,” ujar beliau.

MEC berpotensi untuk digunakan dalam kamera video keselamatan berdefinisi tinggi yang memerlukan analisis masa nyata, pengecaman muka dan objek serta realiti terimbuh dan realiti maya dengan video analitik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.