Oleh Azizi Ahmad
14 April 2022, 15:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahukah anda bahawa kesihatan manusia turut memberikan kesan kepada bumi? Seiring dengan tema Hari Kesihatan Sedunia pada tahun ini, iaitu “Planet Kita, Kesihatan Kita”, orang ramai boleh membantu menjaga kesihatan bumi melalui penjagaan kesihatan diri sendiri.  Satu daripada cara yang boleh diamalkan adalah melalui makanan atau diet.

Kajian oleh Universiti of Leeds menyimpulkan bahawa diet sihat mempunyai pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang lebih rendah. Melalui analisis yang dilakukan terhadap lebih daripada 40 000 jenis makanan, kajian tersebut menunjukkan makanan yang tidak sihat mengakibatkan hampir satu per empat daripada pelepasan GHG yang berkaitan dengan diet, manakala satu per tiga daripada pelepasan berkaitan dengan diet itu diperoleh daripada barangan daging, minuman (15 peratus), tenusu (14 peratus), dan kek, biskut serta konfeksi (lapan peratus). Jelaslah bahawa makanan dan minuman yang diproses adalah dua kali ganda berbahaya dan boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada pelbagai risiko penyakit serta membawa kepada pelepasan GHG.

Laporan daripada Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim atau Intergovernmental Panel on Climate Change baru-baru ini menyatakan terdapat kesan pengeluaran makanan terhadap alam sekitar. Laporan tersebut juga menggariskan perubahan tingkah laku dan gaya hidup sebagai satu daripada cara untuk menjaga alam sekitar.

Selain itu, Dr. S Anitha, Saintis Kanan Pemakanan di Institut Penyelidikan Tanaman Antarabangsa Tropika Separuh Gersang (ICRISAT) telah mengkaji faedah pemakanan sekoi. Beliau mendapati bahawa pengambilan makanan ini dapat memerangi kekurangan zat makanan. Sekoi dianggap sebagai tanaman pintar kerana kualiti pemakanannya yang tidak memerlukan banyak air untuk tumbuh. Sekoi juga tahan lasak dan tidak memerlukan banyak baja. Terdapat pelbagai jenis sekoi dan setiap satunya mengandungi peratusan nutrien dari segi jumlah kalsium, zat besi, beta-karotena, dan serat makanan yang berbeza-beza.

Seterusnya, Pusat Kajian Sains, Teknologi dan Dasar, Bengaluru melaporkan bahawa penggunaan sekoi boleh menjimatkan sebanyak 50 juta tan pelepasan GHG dan sekitar 300 bilion meter padu air setiap tahun berbanding dengan penggunaan beras dan gandum.

Menurut jurulatih nutrisi, Kripa Jalan, pemakanan lestari atau mampan memberikan impak yang lebih rendah kepada alam sekitar, melindungi biodiversiti, mengoptimumkan sumber, selamat, boleh diakses, dan yang lebih penting ialah mendapat nutrisi yang mencukupi dari segi kuantiti dan kualiti. Secara ringkasnya, cara pemakanan ini memenuhi keperluan masyarakat sambil melindungi dan memelihara alam sekitar.

Kaedah lain untuk memelihara alam sekitar adalah dengan mengutamakan tumbuh-tumbuhan dalam pemakanan. Pemakanan lestari atau mampan tidak bermakna seseorang itu menolak makanan berunsurkan daging sepenuhnya. Diet yang diamalkan haruslah mengandungi lebih banyak makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pengeluaran daging adalah penyumbang terbesar kepada pelepasan GHG dan beban alam sekitar. Hal ini disebabkan oleh aktiviti penternakan dan mengangkut ternakan juga memerlukan lebih banyak makanan, air, tanah, dan tenaga daripada tumbuh-tumbuhan. Satu daripada cara untuk mengurangkan kuantiti GHG adalah dengan mengurangkan mengambilan makanan yang berasaskan daging dan tenusu. Melalui tindakan tersebut, seseorang itu bukan sahaja dapat membantu planet menjadi tempat yang lebih baik, malah dapat memperbaiki kesihatan diri dengan diet yang lebih seimbang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.