6 April 2022, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menggunakan teknologi inframerah yang dikenali sebagai Crowd Controlled System (CCS) dengan sistem kiraan untuk mengawal bilangan pengunjung yang datang ke bazar.

Kaedah sistem kawalan orang ramai secara automatik ini mempunyai binaan sensor bagi mencatat bilangan pengunjung yang memasuki bazar Ramadan pada satu-satu masa dengan tujuan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagai langkah mencegah penularan COVID-19.

Menurut Penolong Pengarah Keusahawanan Mikro MBPJ, Ahmad Hafiz Ahmad Razif, sekiranya bilangan orang melebihi had yang ditetapkan, siren amaran dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) akan menghalang orang ramai daripada memasuki bazar Ramadan.

“Kami mengehadkan bilangan maksimum orang yang dibenarkan memasuki bazar Ramadan sebanyak 500 orang sahaja pada satu-satu masa,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan penggunaan sistem ini adalah inisiatif pertama MBPJ dan melibatkan syarikat swasta untuk menyediakan sistem kawalan tersebut.

“Sistem tersebut akan memberikan data bilangan orang yang memasuki bazar Ramadan secara langsung kepada MBPJ,” tambahnya lagi.

Skrin dengan paparan papan pemuka ini diletakkan di kedua-dua belah pintu masuk dan keluar bazar yang menunjukkan bilangan orang yang masuk, keluar dan bilangan orang yang berada dalam kawasan bazar Ramadan.

“Sebagai contohnya, skrin pada pintu masuk akan menunjukkan sebanyak 300 orang dan skrin pada pintu keluar bazar akan menunjukkan 200 orang, jadi kita dapat mengimbangi jumlah orang yang memasuki bazar Ramadan,” tambahnya.

Setakat ini, sistem CSS ini buat pertama kalinya digunakan di dua bazar Ramadan terpilih, iaitu bazar Ramadan di SS 6/1, Kelana Jaya dan Seksyen 4, Damansara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.