1 April 2022, 14:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kini, sebanyak 20 peratus atau kira-kira 6 juta Keluarga Malaysia merupakan perokok. Walaupun rokok dibenarkan perdagangannya, namun begitu komoditi ini memberikan kesan buruk kepada kesihatan perokok dan orang di sekelilingnya atau disebut juga sebagai perokok pasif.

Menerusi Agenda Nasional Malaysia Sihat yang dirasmikan pada tahun 2020 dan diperkasakan pada tahun 2021, kempen Malaysia Sihat Sejahtera telah dilancarkan bagi menggiatkan pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat. Satu daripada fokus bagi merealisasikan hasrat ini ialah penggemblengan usaha Keluarga Malaysia untuk bebas daripada tabiat dan ketagihan merokok, sama ada rokok konvensional ataupun rokok elektronik.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Wan Azrin Izani Wan Mohd. Zain,  kempen yang dilaksanakan oleh KKM bertujuan untuk membebaskan generasi muda masa ini daripada tabiat merokok.

Tambah beliau, era pandemik telah menjadikan Keluarga Malaysia membudayakan kebiasaan baharu dengan sentiasa memakai pelitup muka. Hal ini bermakna orang ramai memahami bahawa pelitup muka boleh mencegah penularan virus yang menyebabkan kesihatan terancam, terutamanya berkaitan dengan saluran pernafasan.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata virus tersebar melalui titisan air liur, kemudiannya bermutasi dan kini bergerak di udara. Orang ramai lebih terdedah untuk dijangkiti virus ini dengan lebih mudah dan pantas.

Kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa para perokok berisiko mengalami jangkitan dua kali ganda berbanding dengan bukan perokok. Malaysia berada dalam peralihan fasa endemik bermula hari ini. Orang ramai memahami pihak kerajaan telah melonggarkan beberapa prosedur operasi standard berkaitan dengan pencegahan penularan COVID-19. Namun begitu, hal ini tidak bermakna orang ramai bebas untuk melakukan sebarang aktiviti, khususnya aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan individu itu atau orang lain.

Selain fasa endemik, seluruh Keluarga Malaysia juga akan menempuh bulan Ramadan, iaitu bulan suci yang sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk Keluarga Malaysia berhenti daripada tabiat merokok. Rokok telah diketahui memberikan kesan penyakit kepada perokok primer dan perokok pasif. Selain itu, tabiat merokok juga akan memberikan beban ekonomi kepada Keluarga Malaysia. Tabiat merokok turut menyebabkan ketagihan kerana rokok sebenarnya mengandungi dadah yang disebut sebagai nikotin.

Kajian yang dilakukan pada tahun 2018 mendapati bahawa remaja yang terlibat dengan rokok konvensional adalah sebanyak 202 ribu orang, manakala sebanyak 143 ribu orang pula terlibat dengan rokok elektronik, termasuklah golongan remaja perempuan. Data ini tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi negara masih dibebani dengan kesan pandemik COVID-19. Hasil kajian juga menyatakan bahawa menjelang tahun 2030, kerajaan akan menanggung kos hingga RM8.77 bilion untuk merawat tiga jenis penyakit yang diakibatkan oleh tabiat merokok.

Beliau turut menjelaskan bahawa pada bulan puasa didapati paras kotinin air liur para perokok akan menurun. Kesannya menyebabkan perokok berasa kering pada ruang mulutnya, namun begitu tetap tidak menghalang mereka untuk berpuasa. Hal ini boleh menjadi pemangkin kepada perokok untuk berhenti daripada meneruskan tabiat ini.

Beliau juga mencadangkan agar perokok hendaklah meminum banyak air kosong berserta mengambil buah-buahan semasa berbuka puasa dan digalakkan memakan kurma. Dengan meningkatkan amal ibadah dan mengunjungi masjid, yakni tempat larangan merokok juga boleh membantu para perokok kekal bebas rokok di sepanjang bulan Ramadan. Keadaan ini menjadi titik permulaan membebaskan diri daripada merokok.

KKM turut menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai yang berhasrat untuk berhenti merokok, iaitu dengan menghubungi KKM di talian 03-8883 4400. Perokok akan diberikan perundingan mengubah tingkah laku untuk berhenti merokok. Orang ramai juga dialu-alukan untuk hadir ke fasiliti KKM yang berdekatan sama ada hospital atau institusi yang berkaitan bagi mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.