Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – “Rakyat perlu bersama-sama bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan melibatkan diri dalam penanaman pokok, mengelakkan penggunaan plastik sekali guna, mengitar semula, menjimatkan penggunaan elektrik dan air serta menggunakan teknologi mesra alam,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas program penanaman pokok jati Tectona grandis bersempena dengan kempen “Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan”.
Program yang diadakan ini adalah kerjasama daripada Jabatan Perhutanan Negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Fauziah (YTF). Tujuan utama program ini adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan hutan, pemeliharaan dan pemuliharaannya demi kesejahteraan dan kestabilan alam sekitar.
Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Encik Ag. Shaffie Ag. Ahmadni yang turut hadir dalam program tersebut, Malaysia amat bertuah kerana memiliki hutan hujan tropika semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biologi hutan. Hutan tropika ini merupakan khazanah negara yang tidak ternilai dan menjadi habitat kepada flora dan fauna, perkhidmatan ekosistem dan produknya. Oleh itu, Malaysia perlulah komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.
Seterusnya, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan perasmian penutup program “Modenas Travellers Ride” dan Kembara Kemanusiaan Mac 2022 yang diketuai oleh Presiden Kelab Anita Bikers, Anita Yusop yang melibatkan 18 buah motosikal berkuasa tinggi.
Untuk makluman, Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun. Sambutan ini dahulunya dikenali sebagai Hari Perhutanan Sedunia yang telah dipersetujui oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 Mac 1972 dan disambut oleh 20 buah negara di seluruh dunia. Tarikh ini dipilih berikutan hari pertama bermulanya musim bunga di hemisfera utara. Pokok mula bertunas semula dan menghijau setelah melalui tempoh dorman sepanjang musim sejuk.