Oleh Qowariro Nabihah
10 Mac 2022, 11:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Era digital memberikan tampak yang begitu besar terhadap kehidupan dewasa ini. Banyak sektor yang mengalami transformasi dan kemajuan melalui kepesatan teknologi yang wujud dalam Revolusi Industri 4.0. Pertembungan antara manusia, mesin dan sumber tenaga lain telah menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi memberikan kesan kepada pelbagai sektor termasuklah sistem pendidikan.

Menerusi dunia digital, penggunaan inovasi teknologi menjadikan kehidupan sosial dan amalan seharian lebih mudah daripada sebelum ini. Penggunaan teknologi telah menunjukkan kesan positif bukan sahaja terhadap gaya hidup, tetapi juga telah memberi impak kepada bidang pendidikan.

Sektor pendidikan juga dipengaruhi oleh proses pengajaran dan pembelajaran yang disokong oleh teknologi. Perkembangan sistem digital dalam pembelajaran semakin mendapat perhatian, terutamanya di peringkat pengajian tinggi. Walaupun kebanyakan tenaga pengajar di seluruh dunia masih menggunakan kaedah konvensional dalam pengajaran mereka, namun alat bantu teknologi juga sering digunakan secara efektif di dalam kelas. Penerapan elemen multimedia seperti video, audio, grafik dan teks mendedahkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran yang menarik. Di samping itu, aplikasi laman web sebagai platform pembelajaran juga menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar.

Berdepan dengan Revolusi Industri 4.0, sistem pendidikan berdepan dengan cabaran untuk membentuk generasi yang kreatif, inovatif dan kompetitif.  Perkara ini dapat dicapai melalui aplikasi teknologi sebagai medium yang menyumbang hasil yang positif mengikut arus perdana. Menurut Fisk (2017), terdapat sembilan trend pendidikan era Revolusi Industri 4.0, iaitu:

  1. Pembelajaran bergantung kepada masa dan tempat yang berbeza.

Pelajar mempunyai lebih banyak peluang untuk pembelajaran jarak jauh dan secara kendiri melalui E-pembelajaran. E-pembelajaran ialah pembelajaran secara dalam talian melalui penggunaan Internet untuk mengakses bahan pembelajaran, berinteraksi dengan kandungan, pengajar, dan rakan pelajar

  1. Pembelajaran secara kendiri

Pelajar menggunakan bahan bantu pembelajaran atau peralatan yang bergantung kepada kemahiran pelajar dalam sesi pembelajaran. Pelajar yang menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran akan mendapat peluang untuk menyelesaikan lebih banyak latihan sehingga mereka dapat mencapai tahap prestasi yang diperlukan. Pelajar juga disediakan dengan latihan pengukuhan semasa proses pembelajaran secara kendiri berlangsung. Hal ini dapat menghasilkan pengalaman pembelajaran yang positif dan mengurangkan jumlah pelajar yang hilang motivasi diri terhadap kemampuan akademik mereka.

  1. Pelajar mempunyai pilihan dalam menentukan kaedah pembelajaran mereka

Walaupun setiap mata pelajaran yang diajar bertujuan untuk mencapai objektif yang sama, namun kaedahnya menjurus kepada objektif tersebut yang pelbagai. Pengalaman pembelajaran yang berorientasikan individu akan mengubahsuai proses pembelajaran pelajar melalui penggunaan bahan bantu mengajar yang diperlukan.

  1. Pembelajaran berasaskan projek

Pelajar dapat mengadaptasikan pembelajaran berasaskan projek melalui kaedah membina kemahiran dalam pelbagai situasi. Pembelajaran ini termasuklah kemahiran pengurusan, kolaborasi dan pengurusan masa.

  1. Peluang pengalaman

Kemajuan teknologi menjaminkan pembelajaran tertentu secara efektif, memberikan lebih banyak peluang ke arah membina kemahiran yang melibatkan pengetahuan pelajar dan interaksi secara bersemuka. Peluang pengalaman akan dipraktis oleh pelajar melalui kursus atau latihan membina kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan..

  1. Menginterpretasi data

Perkembangan teknologi komputer telah mengambil alih tugas analisis yang bleh dilaksanakan secara manual dan cepat. Pelajar perlu mempunyai kecekapan untuk menerap pengetahuan tentang teori kepada angka dan menggunakan kemahiran mereka untuk membuat rumusan berdasarkan logik dan data semasa.

  1. Penilaian bervariasi

Hal ini merujuk pengukuran kemahiran pelajar melalui teknik penilaian secara konvensional seperti soal jawab yang dilihat sebagai tidak lagi relevan. Penilaian seharusnya dilakukan berdasarkan perubahan, pengetahuan, fakta dan penerapan pengetahuan yang dapat diuji.

  1. Pelibatan pelajar

Keterlibatan pelajar perlu dipertimbangkan dalam reka bentuk dan perancangan kurikulum yang lebih kontemporari, mutakhir dan bermutu tinggi.

  1. Pementoran

Membantu dan memberikan panduan kepada pelajar penting untuk menjadikan pelajar itu lebih berdikari. Pementoran adalah asas kepada kejayaan pelajar. Pelajar memerlukan tenaga pengajar sebagai fasilitator yang akan membimbing melalui melalui proses pembelajaran mereka.

 

Tenaga pengajar berperanan penting memberi galakan kepada pelajar berkaitan perubahan pendidikan yang mengejar Revolusi Industri 4.0. Pelajar perlu beradaptasi dengan lebih cepat dan cekap akan perubahan ini. Hal ini akan membina mereka sebagai individu yang lebih berkompetensi, berkemahiran, berpengetahuan dan penuh potensi diri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.