Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOrgan mata merupakan anugerah yang amat bermakna kepada setiap insan, khususnya para wanita. Mata suatu aset pesona yang memukau tetapi mata juga membuatkan wanita terpedaya, menjadi boros dan tidak berhemah. Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, menerusi slot Selamat Pagi Malaysia, telah dikongsikan beberapa langkah untuk mengesan gejala glaukoma, pencegahan dan rawatan yang diberikan kepada pesakit yang menghidap glaukoma oleh Dr. Fatin Hanisah Firman, Pensyarah dan Doktor Pakar Mata, Hospital UiTM.

Menurut beliau, glaukoma ialah penyakit pada saraf mata yang berlaku kepada manusia dan boleh menyebabkan kebutaan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh medan penglihatan mata seseorang itu menjadi semakin sempit dan perlu dicegah sebelum menjadi lebih buruk yang akan memberikan kesan kepada bahagian tengah mata dan boleh menjadi buta.
Jelas beliau lagi, penyakit glaukoma ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya dapat dikesan lebih awal oleh pesakit. Oleh sebab itu, kesedaran tentang glaukoma ini perlu dipertingkatkan. Hal ini kerana jika penyakit ini dapat dikesan pada peringkat awal, rawatan yang diberikan kepada pesakit dapat mengelakkan pesakit daripada mengalami komplikasi kebutaan.
Tambah beliau, terdapat perbezaan antara rabun, katarak dan glaukoma. Rabun ialah struktur mata dalam keadaan normal, namun begitu mata tidak dapat melihat dengan jelas akan sesuatu objek. Katarak pula melibatkan kanta mata dalam keadaan legap yang menyebabkan keadaan cahaya tidak dapat masuk ke dalam mata, manakala glaukoma ialah keadaan penyakit yang dialami oleh bahagian saraf mata, iaitu di bahagian belakang di sebelah luar mata. Kerosakan saraf ini tidak boleh dipulihkan disebabkan oleh kecederaan yang telah berlaku kepada kepala saraf.
Glaukoma tidak bergejala kepada sesetengah individu. Pada kebiasaannya, glaukoma dapat dikenal pasti tanpa disengajakan semasa membuat pemeriksaan atau saringan mata. Disebabkan oleh tidak bergejala, glaukoma dianggap sebagai pencuri penglihatan senyap oleh pakar mata.
Katanya lagi, saringan mata amat penting dilakukan oleh individu yang berusia 40 tahun dan ke atas, khususnya individu yang menghidap kencing manis atau mempunyai ahli keluarga atau keturunan yang menghidap penyakit glaukoma. Golongan ini berisiko tinggi dan hendaklah segera mendapatkan pemeriksaan. Penyakit ini biasanya berlaku kepada individu yang lebih berumur, namun dalam sesetengah keadaan, bayi dan remaja atau golongan muda juga boleh mengalami glaukoma. Ibu bapa haruslah sentiasa peka dengan keadaan mata bayi dan anak-anak mereka agar dapat mengesan glaukoma dengan lebih awal.
Mengulas lebih lanjut berkaitan dengan glaukoma, keadaan tekanan mata juga merupakan satu daripada faktor individu mengalami penyakit ini selain gejala seperti sakit pada mata, pening, loya, dan muntah. Kesedaran kepada masyarakat umum tentang pemeriksaan dan saringan mata terus dilaksanakan oleh pihak Hospital UiTM dan pusat kesihatan. Tindakan ini bagi memastikan glaukoma dapat didiagnosis lebih awal dan rawatan susulan boleh diberikan agar dapat memperlahankan atau memberhentikan kerosakan pada saraf mata.

Sementara itu, bersempena dengan Hari Glaukoma Sedunia pada 6 Mac setiap tahun, Hospital UiTM telah menyediakan ruang kepada orang awam untuk membuat janji temu bagi membuat pemeriksaan dan saringan mata bermula pada 6 Mac 2022 hingga 12 Mac 2022. Orang awam boleh melayari laman web Hospital UiTM untuk mendapatkan maklumat lanjut.